ANGIN dari sawah padi berpuput lembut.
Qaira yang duduk di atas buaian yang terletak halaman rumah terasa begitu
tenang. Tiada hiruk pikuk kota yang menyesakkan fikiran dan bebanan kerja yang
menimbun. Aman saja rasanya.
Cuma
yang tak berapa seronok bila kepulangannya hanya seketika. Itu pun bersebab.
Dia perlu menguruskan persiapan kahwinnya yang hanya tinggal 2 bulan saja lagi.
Boleh dikatakan masanya sangat padat menguruskan segalanya dari sebesar-besar
soal nikah sehingga ke persiapan beg cenderamata. Memang keluarganya ada
menolong tapi ini perkahwinannya. Seboleh mungkin dia mahu yang terbaik.
Mungkin majlisnya hanya sederhana, tetapi dia mahu hasilnya nanti memuaskan.
Biarlah dia bersusah dahulu sekarang. Asalkan dia boleh tersenyum di kemudian
hari.
Cuma…dia
runsing memikirkan Fathi. Sikap Fathi yang dingin menggusarkan perasaan.
Mungkin status pilihan keluarga membuatkan lelaki itu tidak mahu
mendampinginya. Benar, dia pilihan keluarga, bukan gadis yang diingini Fathi. Puan
Rosnah ibu Fathi yang merupakan raka rapat ibunya, mendesak agar Qaira menjadi
menantunya. Mereka ingin disatukan atas persetujuan kedua-dua belah pihak.
Kalau diikutkan dia pun keberatan menerima lamaran ini pada mulanya. Tetapi
pujukan ibunya, Puan Saffiya telah melembutkan hatinya. Cuma Fathi yang masih
keras hati.
“Hai,
termenung jauh nampak? Ingat tunang tercinta ke?” sapaan Farid, mengejutkan
Qaira dari lamunan. Dia tersenyum memandang abang kesayangannya itu.
Tercintalah sangat!
“Bila
masa abang berdiri kat situ. Adik tak perasan pun,”. Qaira beranjak memberi ruang kepada Farid
duduk disebelahnya.
“Itulah,
termenung lagi. Sampai abang yang berdiri sebelah pun tak perasan,” usik Farid.
Qaira tersengih.
“Bukan
termenung tapi berfikir,” balas Qaira kemudian.
“Tak
payah kelentong abanglah. Kalau dah gaya macam tu, bukan berfikir lagi dah.
Macam orang ada masalah adalah.” Farid menarik hujung tudung Qaira.
“Mana
ada. Adik okey aje lah. Pandai je abang ni.” Qaira membuang pandang ke arah sawah
yang terbentang. Gejolak dalam diri sengaja disembunyikan dari pengetahuan si
abang. Farid menggeleng kepala. Faham sangat dia dengan perangai Qaira yang
suka memendam perasaan. Semuanya mahu disembunyikan. Tapi, dia lupa sekarang
dia sedang berhadapan dengan abangnya. Macam mana pun dia menafikan, Farid tetap
mampu membaca kegalauan di hatinya.
“Pasal
Fathi?” Qaira mengeluh halus. Farid tidak pernah salah meneka isi hatinya.
Dalam senyum tawar, dia mengangguk. “Dia masih tak boleh terima adik?”
“Adik
pun tak tahu nak cakap macam mana. Susah nak tahu perasaan dia yang sebenar,”
balas Qaira.
“Maksud
adik? Dia marah adik ke? ” Qaira bersandar ke buaian untuk menyelesakan badan.
“Dia
tak pernah marah. Berkasar dengan adik pun tak pernah. Cuma…” Qaira terhenti
seketika.
“Cuma?”
Farid angkat kening. Dia masih menunggu kata-kata seterusnya dari Qaira.
“Cuma
dia terlalu jauh dari adik. Hati dia, perasaan dia, adik tak boleh nak selam.
Kami macam dua orang asing dari dunia yang berbeza. Langsung tak ada
kemesraan.” Qaira telan liur yang terasa kelat. Susah benar mahu bercerita
tentang sikap Fathi yang selalu mendera perasaanya. Dalam diam Qaira terluka.
“Adik
tak bincang ke dengan dia?” soal Farid kemudian. Wajah keruh Qaira ditenung.
“Macam
mana nak bincang kalau dia selalu nak mengelak dari adik. Soal nikah kahwin ni
pun, banyak Mak Cik Ros yang uruskan. Dia bukan peduli sangat pun,” kali ini
Qaira betul-betul mengadu. Bukan dia mahu bercerita yang buruk tentang Fathi
tapi dia benar-benar tidak mampu menahan perasaan lagi. “Bukan adik tak cuba
ambil hati dia, tapi dia sendiri yang tak benarkan. Kami jarang-jarang sangat
jumpa. Ada pun sebab hal majlis. Kalau tidak mungkin langsung tak nampak batang
hidung dia,”
“Dari
dulu lagi abang tak setuju dengan rancangan mak dan ayah nak satukan korang
berdua. Entah kenapa abang rasa tak berkenan dengan Fathi. Tapi disebabkan adik
terima, abang diam aje.” Qaira memandang wajah Farid. Abangnya tidak pernah
bercerita mengenai perkara itu.
“Habis
tu sekarang ni macam mana? Adik nak teruskan jugak ke perkahwinan ni?” Tanya
Farid.
“Cuma
tinggal dua bulan lagi abang. Semua persiapan pun dah dibuat. Adik rasa dah
terlambat kalau adik nak berundur,” ujar Qaira.
“Belum
terlambat lagi adik. Masih ada masa kalau adik nak batalkan semua ni. Jangang
pertaruhkan masa depan adik untuk sesuatu yang belum tentu membahagiakan adik.”
Farid tidak mahu Qaira menderita kemudian hari. Belum kahwin pun adiknya dah
sedih begini. Entah apa pula yang akan berlaku kalau mereka sudah hidup bersama
nanti. Qaira menggeleng kepala. Untuk membatalkan semua bukan mudah. Banyak
hati yang perlu dijaga. Banyak benda yang perlu dipertimbangkan.
“Tak
semudah tu abang. Adik tak nak lukakan hati mak dan ayah. Adik pun tak nak
hubungan keluarga kita dengan Mak cik Ros musnah hanya kerana nak jaga hati
adik. Lagipun abang kena ingat, kita banyak terhutang budi dengan keluarga
mereka,” itulah yang membuatkan Qaira lebih serba salah. Pertolongan yang
diberikan oleh Puan Rosnah sedikit sebanyak mengikat dirinya. Keluarganya bukan
senang. Semasa Farid mahu menyambung pelajaran, pada Puan Rosnahlah tempat
ibunya meminta bantuan. Begitu juga ketika dirinya berjaya menempatkan diri ke universiti,
Puan Rosnah juga yang menabur budi.
Teman ibunya itu memang tidak pernah berkira. Apa saja yang boleh dibantu akan
diberikan tanpa banyak soal. Dan sekarang kerana budi itu, Qaira terpaksa
mengorbankan hatinya sendiri.
“Tapi
adik berhak untuk kebahagiaan adik. Banyak lagi cara yang boleh dibuat untuk
membalas budi,” Farid membantah pendirian Qaira. Memang Puan Rosnah banyak
menolong tapi mengorbankan diri untuk membalas budi, itu bukan cara yang boleh
dia persetujui. Qaira satu-satunya adik perempuan yang dia ada. Kebahagiaan
Qaira baginya adalah paling utama.
“Kebahagiaan
adik terletak pada kebahagiaan mak dan ayah. Kalau dengan cara ni mereka akan
gembira, adik rela abang,” ada getar pada suara Qaira. Farid sedar Qaira
terlalu mementingkan kebahagiaan orang lain. Adiknya itu terlalu baik. Sayang
Fathi tidak nampak itu semua.
“Tapi
adik…”
“Abang
jangan risau. Mungkin ada hikmahnya semua ni. Mana tahu lepas kahwin nanti
Fathi berubah. Adik harap abang doakan adik ye,” potong Qaira. Farid terdiam.
Qaira kalau sudah membuat keputusan memang sukar diubah. Sudahnya Farid hanya
mengeluh panjang.
“Kalau
itu keputusan adik, abang akan doakan kebahagiaan adik,” Farid senyum tawar.
Tangannya naik menyentuh kepala Qaira yang berudung. Apa lagi yang boleh dia
buat. Hanya berdoa semoga Qaira akan terus gembira.
“Sayang
abang.” Qaira memeluk manja lengan Farid. “Abang dengan Kak Rin macam mana?”
sengaja Qaira mengubah topik. Dia tidak mahu Farid teru tegang dengan
masalahnya.
“Macam
tulah,” balas Farid pendek. Segera ingatannya melayang mengingati wajah Zurin,
teman baiknya.
“Macam
tu je? Abang dah confess belum dekat dia?”
Farid hanya tarik senyum. Macam manalah nak luah, tengok muka pun dah
kelu lidah. Qaira sudah faham makna senyuman Farid. Belumlah tu.
“Macam
mana ni? Kata suka. Kenapa tak luahkan. Abang jangan biar lama-lama. Kak Rin tu
cantik. Dikebas orang nanti, abang juga yang ternganga,” Sengaja Qaira
memprovok Farid. Susah sangat nak luahkan perasaan padahal dia tahu sudah lama
abangnya menyimpan hati kepada Zurin dalam diam. Sejak zaman sekolah lagi.
Ternyata
Farid tidak senang duduk mendengar kata-kata Qaira. Tapi, dia berusaha
melindungi perasaannya yang tidak keruan.
“Abang
tahulah apa abang nak buat. Adik janganlah cakap yang bukan-bukan,” Farid
menarik hidung Qaira. Tersengih Qaira melihat ulah abangnya itu.
“Eleh,
dari dulu pun cakap macam tu. Tak bertindak pun sampai sekarang,” Qaira pula
membalas.
“Sabarlah.
Nanti bukan setakat cakap, abang terus masuk meminang Kak Rin tu. Adik tunggu
je lah,” tutur Farid berani. Padahal dalam hati Tuhan saja yang tahu debarnya.
“Hmm,
sampai kucing bertanduk pun belum tentu lagi abang tu. Alamat terlepaslah nak
merasa Kak Rin jadi kakak ipar adik,” usik Qaira lagi.
“Adik!”
Farid bengang. Qaira ketawa melihat wajah Farid yang tegang. Tahu takut.
Kedua
–dua mereka memandang kereta yang masuk ke perkarangan rumah. Qaira kenal
kereta itu.
“Panjang
umur,” katanya. Siapa lagi yang datang kalau bukan Zurin. Cepat sahaja Zurin
menghampiri mereka. Farid sempat merenung wajah manis gadis idamannya itu.
“Kak Rin!” suara Qaira
yang kuat mengejutkan Farid. Mujur adiknya tidak perasan perlakuannya tadi.
Kalau tidak mahu kena bahan sampai tahun depan.
Zurin dan Qaira berpelukan seketika.
Maklumlah, sudah lama mereka tidak bersua muka
“Hai,
peluk Qaira je? Yang sebelah ni tak nak peluk ke?” usik Farid. Merona merah
muka Zurin.
“Amboi,
sibuk pulak nak peluk anak dara orang. Kalau nak peluk masuk meminanglah,”
balas Qaira.
Farid menjeling adiknya
yang sedang ketawa. Sukalah boleh kenakan orang tu. Farid senyum kelat.
Zurin
tergelak. Dua beradik ini memang suka merepek.
“Dari
mana ni Rin? Kerja juga ke hari ni?” soal Farid serius. Tidak berani mengusik
lagi. Nanti apa pula si Qaira balas. Bukan boleh main-main.
“Tak
adalah. Rin pergi Jitra tadi. Jumpa kawan,”
“Kawan?
Siapa? Lelaki ke perempuan?” sibuk Farid menyoal. Qaira memandang abangnya.
Luah perasaan tak nak, tapi sibuk nak cemburu bagai. Dia berbisik nakal.
“Lelaki.
Kawan lama,” Zurin tersenyum. Qaira perasan wajah abangnya sedikit berubah.
“Oh!”
itu sahaja yang dijawabnya. Jumpa boyfriend la tu. Pedih pulak rasa hati.
“Rin
bawak dia datang sekali tau.” Ternganga Farid mendengarnya. Apa motif si Zurin
ni bawak kekasihnya kemari. Aduh, tidak
sanggup dia nak hadapi semua ini. Zurin bergegas semula ke kereta. Qaira
memegang lengan Farid. Dia tahu Farid sedang mengawal rasa cemburu.
“Id,
tengok siapa dating ni,” Farid melihat orang yang Zurin maksudkan. Seketika
senyumannya mula melebar.
“Hai
Bro. Apa yang kau tengok tu? Tak nak sambut aku ke?” lelaki itu melambai
kepadanya. Farid ketawa kuat. Mengejutkan Qaira. Abang aku ni dah kenapa?
Qaira
memandang tidak berkelip apabila Farid mendekati lelaki itu. Mereka berpelukan.
Setelah pelukan terlerai, Farid mengajak kawannya masuk ke rumah.
“Ini
kawan abang masa di uni. Riyadh Fitri..” Qaira memandang orang yang dimaksudkan
Farid. Eh, dia ni…
“Dan
ini adik kesayangan aku, Qaira Damia,” dan kali ini bila pandangan mereka
bersabung, mereka sama-sama tergamam.

No comments:
Post a Comment