Thursday, 20 February 2014

KU SEMAI RINDU DI HATI 3

“ALOR SETAR, Alor Setar,” suara pemandu bas memecah kesunyian pagi. Qaira terpisat-pisat membuka mata. Dia benar-benar mengantuk. Sedaya upaya diluaskan bukaan matanya.
            Bila menyedari dia sudah sampai ke destinasinya, kelam kabut dia bangun. Penumpang disebelahnya juga bangun serentak. Qaira mengekori belakang lelaki itu untuk turun dari bas. Sampai di bawah, Qaira cepat-cepat menuju ke bahagian luggage. Beg pakaiannya di capai.
            Ketika mahu bergerak ke tempat menunggu, Qaira rasa bahunya dicuit. Dia menoleh. Dihadapannya sekarang adalah jirannya sebentar tadi. Qaira mengetap bibir. Apahal pulak mamat ni.
            Wajah lelaki itu serius merenungnya. Qaira telan liur. Renungan lelaki itu menakutkannya.
            “Kenapa?” soal Qaira.
            “Saya nak…” lelaki itu memandangnya dari kepala turun ke kaki. Qaira rasa tak sedap hati. Beg serta merta dilepaskan.
            “Awak nak apa?” kedua-dua tangannya disilangkan ke dada. Kepala mula berfirkir bukan-bukan. Entah apa lelaki ini mahukan. Dia memang sudah mengagak lelaki ini bukan orang baik-baik. Tengok muka pun sudah tahu.
            “Stop it. Awak ingat saya ni apa? Pervert?” balas lelaki itu.
            Rupa tu ada.“Dah tu? Kenapa tengok saya macam tu? Awak jangan bukan-bukan, saya jerit nanti.” Qaira memandang keliling. Jam baru melewati pukul 5.30 pagi. Suasana masih gelap gelita. Orang pun masih belum ramai. Aduh, macam mana ni?
            “Jangan merepek boleh? Saya tak ada masa nak buat bukan-bukan dengan awak tau. Taik mata pun penuh kat mata.  Awak ingat saya selera?” lelaki itu memandangnya sinis.
            Qaira cepat-cepat menggosok matanya. Namun, perbuatannya terhenti apabila melihat senyuman menyindir di bibir lelaki itu. Sakit hati bila memikirkan dia sedang dipermainkan orang yang lansung tidak dikenalinya. Apa motif lelaki ini sebenarnya?
            “Sedap mulut aje mengata orang. Apa awak nak sebenarnya? Saya tak suka cakap dengan orang yang saya tak kenal ni,” balas Qaira. Dia memeluk tubuh. Suasana pagi terasa dingin.
            “Awak ingat saya suka? Kalau tak kerana awak ambil beg saya, tak ada maknanya saya nak beramah mesra dengan awak time macam ni,” Mata Qaira membulat. Dia melihat beg yang berada di sebelah kakinya. Baru dia perasan. Memang dia tersalah ambil beg. Aduh, macam mana boleh salah ni. Sah  sah beg aku warna pink. Beg ni warna biru. Ya Allah, Malunya.
            Qaira menarik nafas. Dia cuba berlagak biasa. Padahal malunya, hanya Allah yang tahu. Beg yang dipegangnya terus dihulur ke depan.
            “Lain kali cakaplah awal-awal. Tak adalah saya fikir bukan-bukan,” sempat Qaira membebel.
            “Lain kali cik adik buka mata tu luas-luas. Jangan pakai hidung. Kan dah menyusahkan orang nak kejar awak pulak,” perli lelaki itu. Qaira menjeling. Suka hati aje cakap aku pakai hidung. Mana ada manusia yang tak buat silap, Qaira bermonolog di dalam hati. “Ha, apa tunggu lagi? Tak reti-reti nak pergi ambil beg awak? Nasiblah kalau bas tu dah jalan,”
            Erk! Qaira serta merta memandang ke arah bas yang sudah mula bergerak. Alamak! Beg aku…
            Kala itu Qaira sendiri tidak sedar bila dia mula langkah seribu mengejar bas yang sudahmula meninggalkan Hentian Shahab Perdana itu. Yang pasti Hentian itu menjadi saksi seorang gadis membuat larian 1500 meter untuk mendapatkan begnya semula.

QAIRA bagaikan tidak percaya yang dia akan bertemu lagi dengan manusia yang menyusahkan hidupnya pagi tadi. Riyadh Fitri! Huh, perangai tidak seindah nama.
Sebab lelaki inilah dia terpaksa menahan malu mengejar bas yang sedang bergerak semata-mata untuk mendapatkan begnya semula. Hish tak pernah dalam seumur hidup dia buat perangai macam tu. Mujurlah, masa itu tidak ramai orang. Kalau tidak malu tujuh keturunan.
Qaira masih belum dapat menghadam situasi yang dihadapinya kini. Semalam Riyadh adalah lelaki asing yang menjadi penumpang disebelahnya. Dan sekarang, Riyadh berada di rumahnya. Menjadi tetamunya dan paling tidak diduga, Riyadh adalah kawan baik abangnya ketika di Universiti dulu. Kebetulan apakah ini?
Bukan dia tidak perasan wajah Riyadh ketika mereka diperkenalkan sebentar tadi. Mesti dia tidak menyangka gadis yang dikutuk-kutuknya adalah adik kawan baiknya sendiri. Padan muka, kau kutuk aku cakap dekat abang aku, bibir Qaira tersungging.
Tapi, ada lagi perkara yang dia pelik. Macam manalah Farid boleh bersahabat dengan orang yang berperangai macam itu. Farid dengan Riyadh, perangai mereka macam langit dengan bumi. Terlalu berbeza.Farid terlalu baik. Sedangkan Riyadh? Hmm, peristiwa semalam dan pagi tadi sudah menjelaskan segala-galanya.
            Qaira mengacau air kopi di dalam teko kuat-kuat. Geram pula bila terpaksa melayan lelaki kerek itu. Kalau tidak kerana ayahnya, En. Faizul yang menyuruh dia menyediakan kopi untuk tetamu, minta maaflah dia hendak buat. Lebih baik dia masuk bilik dan menyiapkan barang-barang  perkahwinannya. Tapi sebagai anak yang patuh dituruti juga segala perintah ayahnya.
            Terdengar gelak ketawa dari ruang tamu. Entah apalah yang dibualkan Riyadh dan keluarganya. Seronok benar nampak. Qaira membawa dulang yang sudah sedia tersusun dengan cawan dan teko ke ruang tamu. Diletakkannya di atas meja dengan berhati-hati. Riyadh yang memandangnya langsung tidak dipedulikan. Yang dia tahu dia mahu cepat-cepat menghidangkan air itu dan masuk ke dalam bilik. Sambil menuang air ke dalam cawan, Qaira sempat mendengar perbualan ibu bapanya bersama Farid dan Riyadh.
            “Dah lama mak cik dengar Id bercerita pasal Riyadh, sekarang ni baru boleh kenal orangya,” Riyadh tersenyum mendengar kata-kata Puan Saffiyah.
            “Mesti dia cerita yang buruk-burukkan Mak cik?” balasnya. Qaira yang masih menuang air, mencebik. Memang perangai kau buruk apa, katanya di dalam hati.
            “Hish, tak adalah. Dia selalu cakap Riyadh banyak tolong dia masa dekat Uni dulu. Maklumlah, kami ni bukan keluarga sennag . Banyak benda yang pak cik dan mak cik tak dapat sediakan untuk dia. Bila dia dapat kawan macam Riyadh, kami rasa bersyukur sangat. Tak terbalas rasanya budi baik yang Riyadh berikan,” Encik Faizul melahirkan penghargaan. Sungguh dia senang bila dapat bertemu dengan orang yang banyak membantu Farid di Universiti. Kalau harapkan gajinya yang hanya bekerja sebagai kerani di pejabat swasta, memang dia tidak mampu. Mujur juga sekarang Farid dan Qaira sudah bekerja. Sedikit sebanyak mereka membantu perbelanjaan keluarga.
            Qaira memandang Riyadh. Macam tak percaya aje, mamat mulut longkang ni baik macam tu, fikirnya.
            “Jangan cakap macam tu Pak cik. Saya bukan buat apa pun. Apa yang saya boleh tolong, saya tolonglah. Lagipun, Farid banyak bantu saya dalam pelajaran. Kalau tidak, mahu terkandas saya dekat unit tu. Maklumlah, anak murid Ali Setan,”
            “Nakal dia ni mak. Suka kacau orang,” Farid menepuk bahu Riyadh. Aku dah agak dah. Tengok pun dah tahu. Mesti perangai macam anak hantu. Oops, Qaira tersengih.
            “Yang kamu ni adik dah kenapa? Tesengih sengih. Dari tadi tuang kopi tak siap-siap lagi?” teguran  Puan Saffiyah mematikan sengihan Qaira. Hish, mak ni buat malu orang je la.
            “Err, dah siap mak.” Qaira bangun setelah menghidangkan air.  Dia mahu masuk ke dapur . Baru saja dia membuka langkah, Farid memanggilnya semula.
            “Adik buatkan air teh untuk Riyadh ni. Dia tak minum kopi,” kata Farid. Qarid mengecilkan matanya. Hish, mengada betullah, kopi pun tak minum.        
            “Lah, tak minum ke? Tak apalah suruh si Qaira buat air teh untuk Riyadh. Adik pergi buat cepat. Kesian si Riyadh ni dahaga,” En. Faizul pula menambah.
            “Eh, tak payahlah susah pak cik. Kopi ni pun dah cukup,” Riyadh cuba menahan.
            “Jangan nak menggatal. Kejap lagi perut tu berangin, aku tak nak tolong.” Farid memberi amaran. Sebenarnya dia tahu, Riyadh memang tidak boleh minum kopi. Perutnya tidak serasi dengan minuman  itu. Mulalah rasa nak muntahlah, sakit perutlah. Faham sangat dia dengan si Riyadh yang hampir 4 tahun menjadi teman sebiliknya.
            “Kau ni menakutkanlah,” balas Riyadh sambil tergelak.
          “Siapa suruh cari nahas. Nasib kaulah,” kata Farid selamba. “Apa tunggu lagi adik. Cepatlah buat air,” Qaira mencebik.
            “Nak buatlah ni.” Qaira terus masuk ke dapur. Hish, saja tau nak buli aku. Mintak-mintaklah kau cepat balik lepas minum air ni.
            Qaira membawa air teh yang sudah siap ke ruang depan. Harapannya, cepatlah Riyadh beredar. Stress dia tengok wajah pemuda itu. Tetapi, telahannya ternyata salah.
            “Riyadh tidur sini sajalah malam ni. Alang-alang dah sampai sini. Boleh si Farid ni bawa jalan-jalan dekat Alor Setar tu,” pelawa En. Faizul. Tersentak Qaira dibuatnya. Ah, sudah.
            “Eh, tak apalah pak cik. Saya dah sewa hotel dekat bandar tu. Menyusahkan Pak cik dengan Mak cik pulak nanti,” tolak Riyadh.
            “Tak ada susahnya. Tetamu jauh datang. Mestilah kena dirai. Tidur saja dekat sini,” ujar Puan Soffiya pula.
            “Ke kau tak sudi duduk rumah kecil kami ni?” Farid sengaja memprovok Riyadh. Serba salah Riyadh dibuatnya.
            “Ada pulak ke situ. Aku tak kisah pun duduk kat mana-mana,”
            “Kalau macam tu tidur saja dekat sini. Tak perlulah membazir duit bayar hotel tu,” gesa Farid lagi. Riyadh terdiam seketika. Qaira berharap Riyadh akan terus menolak. Tetapi harapannya punah juga.
            “Okaylah. Kalau tak menyusahkan, saya tidur sini sajalah” Riyadh tersenyum lebar.  


QAIRA menyusun bunga telur di dalam kota sebelum diletak di tingkat atas. Bunga telur itu dibuatnya sendiri bila ada kesempatan pulang ke rumah. Zaman sekarang pelbagai bunga telur yang siap pasang menjadi pilihan kebanyakan bakal pengantin. Maklumlah, lebih menjimatkan masa dan tenaga. Tapi bagi Qaira, dia lebih suka menyiapkannya sendiri. Walaupun mengambil masa, dia gembira dapat melakukannya. Terasa lebih tinggi nilai sentimentalnya.
            Sekarang bunga telur yang dibuatnya sudah siap hampir 3 jenis. Berbaloi rasanya sakit-sakit tangan terkena gam dan dawai bila melihat hasilnya. Qaira betul-betul rasa puas hati. Rasanya dia cuma perlu menyiapkan lagi dua jenis bunga telur. Selepas itu, bolehlah dia fokus kepada benda lain pula.
            “Adik! oh Adik.” kedengaran suara Puan Saffiyah dari bawah. Qaira yang kebetulan berada di tepi tangga menjengukkan kepalanya.
            “Ada apa mak? Adik dekat sini,”balas Qaira.
            “Tolong bagi bantal dengan selimut ni dekat abang. Kesian si Riyadh tu karang. Tidur tak cukup bantal,” Puan Saffiyah mengunjukkan bantal dan selimut di tangannya. Erk..bagi bantal? Aduh, kalau boleh dia tidak mahu bertentang mata dengan tetamu yang tidak diundang itu. Ini ibunya pula mahu dia memberikan bantal kepada lelaki itu. Punah!
            “Ala, mak panggillah abang. Adik tengah sibuk ni” Qaira berdalih.
            “Dah adik ada dekat sini, mak mintak tolong adiklah. Lagipun apa yang sibuknya?  apa Setakat susun bunga telur  tu sekejap lagi boleh buat.” Puan Saffiyah mula membebel.
            “Tak boleh tinggal ni mak. Nanti hilang mood.” Qaira cuba beralasan. Malaslah mahu menghadap si kerek itu. Penat kejar bas pun belum hilang lagi tahu!
            “Eh, budak ni banyak pulak alasan dia. Suruh bagi bantal je pun. Mak ada kerja nak buat ni, kalau tidak mak dah hantar sendiri dah,” Qaira memuncungkan bibirnya. Hish, Tak sukalah macam ni!
            “Nah ambik ni. Pergi hantar cepat. Cuba buang perangai malas tu. Dah nak jadi bini orang dah pun,”  Bila pulak aku malas ni. Ah, semua ni mamat tu punya pasal. Tengok, aku dah kena cop anak dara pemalas!
            “Yalah, adik hantar,” malas mahu mendengar ibunya terus membebel, Qaira cepat-cepat mengambil bantal itu.
            Ketika sampai di pintu bilik abangnya, kaki Qaira terhenti apabila terdengar suara orang sedang bercakap. Entah bila dia mula memasang telinga. Yang pasti, suara Riyadh yang kedengaran marah-marah menarik minatnya untuk terus mencuri dengar perbualan itu. Yang pasti Riyadh sedang bercakap telefon kerana tidak pula suara Farid kedengaran.
            “Ema, I tak tahu nak cakap macam mana lagi dengan you. Kalau bukan pasal you, I tak datang Kedah ni. I sanggup naik bas datang sini semata-mata nak jumpa you.You know why?  Because I miss u so much. Dan bila I sampai ini yang I dapat?” Riyadh menekan suaranya. Walaupun marah dia cuba mengawal agar suaranya tidak  terlalu kuat.
            “I mintak maaf Riyadh. Everything is out of control. I sendiri tak tahu boleh jadi macam ni,” Emalina teresak-esak di sebelah sana. Riyadh menarik nafas dalam-dalam.
            “Lepas you curang pada I, you boleh cakap everything is out of control. Senangnya you cakap. Kalau tak sebab I tengok dengan mata I sendiri, sampai sekarang pun I masih tunggu you macam orang bodoh. Hell!” Riyadh bengang. Penat lelahnya datang dari jauh hanya sia-sia bila gadis yang disayangi sanggup menduakan cinta. Dia baru pulang dari bekerja di Johor apabila dia mendapat khabar tentang perangai Emalina yang bekerja di Polimas, Kedah. Resahnya hati, membawa dia sampai ke sini hanya kerana mahu memastikan Emalina bukan seperti yang dikatakan. Tetapi, hatinya hancur apabila melihat sendiri kemesraan Emalina dengan lelaki lain siang tadi.
            Emalina nyata terkejut melihat kehadirannya, tetapi Riyadh hanya tenang. Gadis itu cuba menafikan pada mulanya, tetapi akhirnya dia mengaku juga apabila didesak oleh Riyadh. Hancur berkecai hati Riyadh rasanya. Cinta yang disulam hampir 5 tahun punah begitu saja. Tak tahu ke mana dia nak bawa diri ketika itu. Mujur juga dia teringat pada Zurin dan Farid yang merupakan sahabatnya di universiti. Terus dihubungi no telefon Zurin supaya membawanya bertemu Farid. Harapannya, fikirannya akan lega sedikit bila dia meluahkan segalanya pada sahabatnya itu.
            “Riyadh, I mengaku semua salah I. But, things happened for a reason,” Emalina masih cuba mejelaskan keadaan yang sebenar.
            “And what’s the reason?”
            “I sunyi Riyadh. Kita dah jauh. We were not like before. You terlalu sibuk dengan kerjaya you,”
            “Now you nak salahkan I pulak? You nak salahkan jarak antara kita. Ema, kalau I boleh setia dengan hubungan ni, kenapa tidak you. Hati I pada you tak pernah berubah. Kalau you masih cintakan I, you tak akan buat macam ni.” Begitu mudah Emalina mencari alasan untuk mempertahankan dirinya. Riyadh betul-betul kesal.
            Emalina terdiam. Hanya esakan saja kedengaran. Riyadh meraup wajahnya. Disabarkan hatinya sebaik mungkin. Walaupun pedih dia harus menerima segala-gala yang telah terjadi.
            “It’s over between us, Ema. It’s over. I harap you bahagia dengan dia. Thanks for everything,”
            “Riyadh…” belum sempat Emalina habis berbicara, Riyadh sudah mematikan taliannya. Dia duduk di atas katil. Nafas sekali lagi ditarik dalam-dalam. Ya Allah, berikan kekuatan kepadaku agar aku dapat melupakan dia. Sekiranya dia bukan untukku, kau hilangkanlah perasaan ini padanya. Riyadh cuba meraih kekuatan.
            Matanya memandang sekeliling tanpa arah. Ketika itu dia ternampak bayang bayang di sebalik langsir yang tergantung di depan pintu bilik. Perlahan dia melangkah ke situ. Langsir diselak. Qaira yang memasang telinga masih belum menyedari yang dia sudah pun tertangkap.
            “Ehem, ehem,” sepatas kilat Qaira berdiri tegak. Tangannya kejap memeluk bantal. Adoi mak, kantoi sudah!
            “Ada apa?” soal Riyadh. Wajahnya serius. Qaira telan liur. Dia marah ke ni?
            “Emm…Abang mana?” Qaira menyoal kembali.
            “Id mandi,” Riyadh masih tayang wajah ketatanya.
            “Err..err” Qaira sudah hilang kata-kata.
            “Awak stalk saya ke?” buntang biji mata Qaira mendengar tuduhan Riyadh walaupun memang betul pun dia buat.
            “Excuse me! Mak suruh saya bagi bantal ni dekat abang. Awak ingat saya ni apa nak stalk orang. Sorry okay,” balas Qaira tegas. Bantal dan selimut ditangan segera diunjukkan kepada Riyadh. Dia mahu segera berlalu.
            “Just asking. Keji kalau curi dengar perbualan orang lain. Saya rasa orang baik-baik macam awak tak akan buat benda keji macam tu kan?” berdesing telinga Qaira mendengar sindiran lelaki itu. Padan muka kau Qaira. Kena sebijik.
            “Memang taklah! Dah lah. Banyak lagi benda saya nak buat. Selamat malam! ,”Qaira terus angkat kaki. Mukanya sudah merona merah. Dah berapa kali dia memalukan diri di depan Riyadh. Benci betul.
            Tetapi, fikirannya melayang mengingati perbualan antara Riyadh dan kekasihnya sebentar tadi. Hmm, patutlah muka ketat aje, girlfriend buat hal rupanya. Kesian…
             


Monday, 17 February 2014

Ku Semai Rindu Di Hati 2

ANGIN dari sawah padi berpuput lembut. Qaira yang duduk di atas buaian yang terletak halaman rumah terasa begitu tenang. Tiada hiruk pikuk kota yang menyesakkan fikiran dan bebanan kerja yang menimbun. Aman saja rasanya.
            Cuma yang tak berapa seronok bila kepulangannya hanya seketika. Itu pun bersebab. Dia perlu menguruskan persiapan kahwinnya yang hanya tinggal 2 bulan saja lagi. Boleh dikatakan masanya sangat padat menguruskan segalanya dari sebesar-besar soal nikah sehingga ke persiapan beg cenderamata. Memang keluarganya ada menolong tapi ini perkahwinannya. Seboleh mungkin dia mahu yang terbaik. Mungkin majlisnya hanya sederhana, tetapi dia mahu hasilnya nanti memuaskan. Biarlah dia bersusah dahulu sekarang. Asalkan dia boleh tersenyum di kemudian hari.
            Cuma…dia runsing memikirkan Fathi. Sikap Fathi yang dingin menggusarkan perasaan. Mungkin status pilihan keluarga membuatkan lelaki itu tidak mahu mendampinginya. Benar, dia pilihan keluarga, bukan gadis yang diingini Fathi. Puan Rosnah ibu Fathi yang merupakan raka rapat ibunya, mendesak agar Qaira menjadi menantunya. Mereka ingin disatukan atas persetujuan kedua-dua belah pihak. Kalau diikutkan dia pun keberatan menerima lamaran ini pada mulanya. Tetapi pujukan ibunya, Puan Saffiya telah melembutkan hatinya. Cuma Fathi yang masih keras hati.
            “Hai, termenung jauh nampak? Ingat tunang tercinta ke?” sapaan Farid, mengejutkan Qaira dari lamunan. Dia tersenyum memandang abang kesayangannya itu. Tercintalah sangat!
            “Bila masa abang berdiri kat situ. Adik tak perasan pun,”.  Qaira beranjak memberi ruang kepada Farid duduk disebelahnya.
            “Itulah, termenung lagi. Sampai abang yang berdiri sebelah pun tak perasan,” usik Farid. Qaira tersengih.
            “Bukan termenung tapi berfikir,” balas Qaira kemudian.
            “Tak payah kelentong abanglah. Kalau dah gaya macam tu, bukan berfikir lagi dah. Macam orang ada masalah adalah.” Farid menarik hujung tudung Qaira.
            “Mana ada. Adik okey aje lah. Pandai je abang ni.” Qaira membuang pandang ke arah sawah yang terbentang. Gejolak dalam diri sengaja disembunyikan dari pengetahuan si abang. Farid menggeleng kepala. Faham sangat dia dengan perangai Qaira yang suka memendam perasaan. Semuanya mahu disembunyikan. Tapi, dia lupa sekarang dia sedang berhadapan dengan abangnya. Macam mana pun dia menafikan, Farid tetap mampu membaca kegalauan di hatinya.
            “Pasal Fathi?” Qaira mengeluh halus. Farid tidak pernah salah meneka isi hatinya. Dalam senyum tawar, dia mengangguk. “Dia masih tak boleh terima adik?”
            “Adik pun tak tahu nak cakap macam mana. Susah nak tahu perasaan dia yang sebenar,” balas Qaira.
            “Maksud adik? Dia marah adik ke? ” Qaira bersandar ke buaian untuk menyelesakan badan.
            “Dia tak pernah marah. Berkasar dengan adik pun tak pernah. Cuma…” Qaira terhenti seketika.
            “Cuma?” Farid angkat kening. Dia masih menunggu kata-kata seterusnya dari Qaira.
            “Cuma dia terlalu jauh dari adik. Hati dia, perasaan dia, adik tak boleh nak selam. Kami macam dua orang asing dari dunia yang berbeza. Langsung tak ada kemesraan.” Qaira telan liur yang terasa kelat. Susah benar mahu bercerita tentang sikap Fathi yang selalu mendera perasaanya. Dalam diam Qaira terluka.
            “Adik tak bincang ke dengan dia?” soal Farid kemudian. Wajah keruh Qaira ditenung.
            “Macam mana nak bincang kalau dia selalu nak mengelak dari adik. Soal nikah kahwin ni pun, banyak Mak Cik Ros yang uruskan. Dia bukan peduli sangat pun,” kali ini Qaira betul-betul mengadu. Bukan dia mahu bercerita yang buruk tentang Fathi tapi dia benar-benar tidak mampu menahan perasaan lagi. “Bukan adik tak cuba ambil hati dia, tapi dia sendiri yang tak benarkan. Kami jarang-jarang sangat jumpa. Ada pun sebab hal majlis. Kalau tidak mungkin langsung tak nampak batang hidung dia,”
            “Dari dulu lagi abang tak setuju dengan rancangan mak dan ayah nak satukan korang berdua. Entah kenapa abang rasa tak berkenan dengan Fathi. Tapi disebabkan adik terima, abang diam aje.” Qaira memandang wajah Farid. Abangnya tidak pernah bercerita mengenai perkara itu.
            “Habis tu sekarang ni macam mana? Adik nak teruskan jugak ke perkahwinan ni?” Tanya Farid.
            “Cuma tinggal dua bulan lagi abang. Semua persiapan pun dah dibuat. Adik rasa dah terlambat kalau adik nak berundur,” ujar Qaira.
            “Belum terlambat lagi adik. Masih ada masa kalau adik nak batalkan semua ni. Jangang pertaruhkan masa depan adik untuk sesuatu yang belum tentu membahagiakan adik.” Farid tidak mahu Qaira menderita kemudian hari. Belum kahwin pun adiknya dah sedih begini. Entah apa pula yang akan berlaku kalau mereka sudah hidup bersama nanti. Qaira menggeleng kepala. Untuk membatalkan semua bukan mudah. Banyak hati yang perlu dijaga. Banyak benda yang perlu dipertimbangkan.
            “Tak semudah tu abang. Adik tak nak lukakan hati mak dan ayah. Adik pun tak nak hubungan keluarga kita dengan Mak cik Ros musnah hanya kerana nak jaga hati adik. Lagipun abang kena ingat, kita banyak terhutang budi dengan keluarga mereka,” itulah yang membuatkan Qaira lebih serba salah. Pertolongan yang diberikan oleh Puan Rosnah sedikit sebanyak mengikat dirinya. Keluarganya bukan senang. Semasa Farid mahu menyambung pelajaran, pada Puan Rosnahlah tempat ibunya meminta bantuan. Begitu juga ketika dirinya berjaya menempatkan diri ke universiti, Puan Rosnah  juga yang menabur budi. Teman ibunya itu memang tidak pernah berkira. Apa saja yang boleh dibantu akan diberikan tanpa banyak soal. Dan sekarang kerana budi itu, Qaira terpaksa mengorbankan hatinya sendiri.
            “Tapi adik berhak untuk kebahagiaan adik. Banyak lagi cara yang boleh dibuat untuk membalas budi,” Farid membantah pendirian Qaira. Memang Puan Rosnah banyak menolong tapi mengorbankan diri untuk membalas budi, itu bukan cara yang boleh dia persetujui. Qaira satu-satunya adik perempuan yang dia ada. Kebahagiaan Qaira baginya adalah paling utama.
            “Kebahagiaan adik terletak pada kebahagiaan mak dan ayah. Kalau dengan cara ni mereka akan gembira, adik rela abang,” ada getar pada suara Qaira. Farid sedar Qaira terlalu mementingkan kebahagiaan orang lain. Adiknya itu terlalu baik. Sayang Fathi tidak nampak itu semua.
            “Tapi adik…”
            “Abang jangan risau. Mungkin ada hikmahnya semua ni. Mana tahu lepas kahwin nanti Fathi berubah. Adik harap abang doakan adik ye,” potong Qaira. Farid terdiam. Qaira kalau sudah membuat keputusan memang sukar diubah. Sudahnya Farid hanya mengeluh panjang.
            “Kalau itu keputusan adik, abang akan doakan kebahagiaan adik,” Farid senyum tawar. Tangannya naik menyentuh kepala Qaira yang berudung. Apa lagi yang boleh dia buat. Hanya berdoa semoga Qaira akan terus gembira.
            “Sayang abang.” Qaira memeluk manja lengan Farid. “Abang dengan Kak Rin macam mana?” sengaja Qaira mengubah topik. Dia tidak mahu Farid teru tegang dengan masalahnya.
            “Macam tulah,” balas Farid pendek. Segera ingatannya melayang mengingati wajah Zurin, teman baiknya.
            “Macam tu je? Abang dah confess belum dekat dia?”  Farid hanya tarik senyum. Macam manalah nak luah, tengok muka pun dah kelu lidah. Qaira sudah faham makna senyuman Farid. Belumlah tu.
            “Macam mana ni? Kata suka. Kenapa tak luahkan. Abang jangan biar lama-lama. Kak Rin tu cantik. Dikebas orang nanti, abang juga yang ternganga,” Sengaja Qaira memprovok Farid. Susah sangat nak luahkan perasaan padahal dia tahu sudah lama abangnya menyimpan hati kepada Zurin dalam diam. Sejak zaman sekolah lagi.
            Ternyata Farid tidak senang duduk mendengar kata-kata Qaira. Tapi, dia berusaha melindungi perasaannya yang tidak keruan.
            “Abang tahulah apa abang nak buat. Adik janganlah cakap yang bukan-bukan,” Farid menarik hidung Qaira. Tersengih Qaira melihat ulah abangnya itu.
            “Eleh, dari dulu pun cakap macam tu. Tak bertindak pun sampai sekarang,” Qaira pula membalas.
            “Sabarlah. Nanti bukan setakat cakap, abang terus masuk meminang Kak Rin tu. Adik tunggu je lah,” tutur Farid berani. Padahal dalam hati Tuhan saja yang tahu debarnya.
            “Hmm, sampai kucing bertanduk pun belum tentu lagi abang tu. Alamat terlepaslah nak merasa Kak Rin jadi kakak ipar adik,” usik Qaira lagi.
            “Adik!” Farid bengang. Qaira ketawa melihat wajah Farid yang tegang. Tahu takut.
            Kedua –dua mereka memandang kereta yang masuk ke perkarangan rumah. Qaira kenal kereta itu.
            “Panjang umur,” katanya. Siapa lagi yang datang kalau bukan Zurin. Cepat sahaja Zurin menghampiri mereka. Farid sempat merenung wajah manis gadis idamannya itu.
“Kak Rin!” suara Qaira yang kuat mengejutkan Farid. Mujur adiknya tidak perasan perlakuannya tadi. Kalau tidak mahu kena bahan sampai tahun depan.
             Zurin dan Qaira berpelukan seketika. Maklumlah, sudah lama mereka tidak bersua muka
            “Hai, peluk Qaira je? Yang sebelah ni tak nak peluk ke?” usik Farid. Merona merah muka Zurin.
            “Amboi, sibuk pulak nak peluk anak dara orang. Kalau nak peluk masuk meminanglah,” balas Qaira.
Farid menjeling adiknya yang sedang ketawa. Sukalah boleh kenakan orang tu. Farid senyum kelat.
            Zurin tergelak. Dua beradik ini memang suka merepek.
            “Dari mana ni Rin? Kerja juga ke hari ni?” soal Farid serius. Tidak berani mengusik lagi. Nanti apa pula si Qaira balas. Bukan boleh main-main.
            “Tak adalah. Rin pergi Jitra tadi. Jumpa kawan,”
            “Kawan? Siapa? Lelaki ke perempuan?” sibuk Farid menyoal. Qaira memandang abangnya. Luah perasaan tak nak, tapi sibuk nak cemburu bagai. Dia berbisik nakal.
            “Lelaki. Kawan lama,” Zurin tersenyum. Qaira perasan wajah abangnya sedikit berubah.
            “Oh!” itu sahaja yang dijawabnya. Jumpa boyfriend la tu. Pedih pulak rasa hati.
            “Rin bawak dia datang sekali tau.” Ternganga Farid mendengarnya. Apa motif si Zurin ni bawak  kekasihnya kemari. Aduh, tidak sanggup dia nak hadapi semua ini. Zurin bergegas semula ke kereta. Qaira memegang lengan Farid. Dia tahu Farid sedang mengawal rasa cemburu.
            “Id, tengok siapa dating ni,” Farid melihat orang yang Zurin maksudkan. Seketika senyumannya mula melebar.
            “Hai Bro. Apa yang kau tengok tu? Tak nak sambut aku ke?” lelaki itu melambai kepadanya. Farid ketawa kuat. Mengejutkan Qaira. Abang aku ni dah kenapa?
            Qaira memandang tidak berkelip apabila Farid mendekati lelaki itu. Mereka berpelukan. Setelah pelukan terlerai, Farid mengajak kawannya masuk ke rumah.
            “Ini kawan abang masa di uni. Riyadh Fitri..” Qaira memandang orang yang dimaksudkan Farid. Eh, dia ni…
            “Dan ini adik kesayangan aku, Qaira Damia,” dan kali ini bila pandangan mereka bersabung, mereka sama-sama tergamam.
           
  


Sunday, 16 February 2014

Ku Semai Rindu di hati 1

Assalamualaikum, 

Seperti yang dijanjikan, hari ni saya up entry baru untuk tatapan semua. Entry ni merupakan novel baru yang ideanya datang mencurah-curah sejak akhir2 ni. Harap2 saya diberikan kekuatan untuk menyiapkan novel ni hingga ke noktah terakhir. 

Oh ye, tajuk belum final lagi. 

Apa pun, selamat membaca ye. Jangan lupa komen juga. ;)

KU SEMAI RINDU DI HATI 1

‘Mana bas ni? Dah berjanggut aku tunggu. Jangankan bas, lampu bas pun pun tak nampak lagi. Ini boleh mendatangkan kemarahan,’ Qaira menggaru dagu. Jam dibelek beberapa kali. Sudah hampir 12.00 tengah malam. Matanya sudah semakin berat. Bas yang sepatutnya sampai sejam yang lalu di Hentian Duta masih belum kelihatan.
            Qaira memerhati sekeliling. Tidak ramai orang di Hentian Duta ketika ini.Tetapi kalau di musim perayaan, pasti hentian yang menjadi Stesen bas bagi negeri-negeri di sebelah utara ini dilimpahi orang ramai.
            Sesaat Qaira menghela nafas. Kalaulah dia tahu bas akan sampai lewat malam ini, tidaklah dia  kelam kabut seperti tadi. Semuanya kerana tunangnya,Anas Fathi. Pada saat-saat akhir, lelaki itu memaklumkan yang dia tidak dapat menghantar Qaira ke stesen bas pada malam ini atas alasan dia perlu ke Ampang untuk menyertai perlawanan Futsal.
            Sakitnya hati Qaira hanya Tuhan yang tahu. Sanggup Fathi membelakangkan tunangnya sendiri hanya disebabkan perlawanan Futsal. Dan dia disuruh pergi ke hentian bas sendiri menaiki teksi. Pada waktu malam pula tu. Memang tidak patut. Mujurlah, kawasan tempat tinggalnya mudah mendapatkan teksi. Tetapi, Qaira tetap terkilan dengan Fathi. Tunang yang langsung tidak seperti tunang!
            Dia bukanlah hadap sangat Fathi menghantarnya malam ini, tetapi lelaki itu sendiri telah berjanji untuk menghantarnya ke stesen bas apabila dia yang sepatutnya pulang ke kampung bersama pada minggu ini tidak dapat turut serta. Kalau tidak awal-awal lagi dia boleh meminta teman serumahnya, Marina untuk menghantarnya malam ini. Tapi, disebabkan dia memberitahu Fathi akan menghantarnya, Marina awal-awal lagi sudah keluar entah ke mana. Segalanya memang sudah tersurat. Dia akan menghadapi kesukaran malam ini.
            Sekarang bas pula lambat. Qaira mendengus dan untuk sekian kali, jam tangan direnung sekali lagi. Kesabarannya sudah semakin menipis.
“Ini tak boleh jadi,” Beg pakaiannya diseret malas ke kaunter. Entah kali ke berapa dia menapak ke situ, dia tidak ingat. Setiap kali dia menerima jawapan yang sama. “Tunggu dulu. Sekejap lagi bas sampai,”
            Naik muak pula dia melihat wajah perempuan yang menjaga kaunter itu. Tanpa secalit senyuman di bibir, layanannya terhadap pelanggan amat tidak mesra. Bukan Qaira tidak dengar rungutan dari penumpang yang membeli tiket dari syarikat bas yang sama.
            “Kak, dah sejam saya tunggu. Mana bas tak sampai lagi?” lembut lidah Qaira berbicara walaupun bila – bila masa saja dia kemarahannya boleh meledak.
            “Boleh sabar tak? Sekejap lagi bas sampai saya buat la announcement. Faham tak ni?” kasar perempuan itu menjawab. Qaira menarik nafas panjang. Kalau boleh nampak, Rasanya telinganya sudah keluar asap.
            “Kak, boleh tak cakap elok-elok sikit. Saya tanya baik-baik tau. Akak ingat saya suka ke datang tanya banyak kali ni?” Qaira mula naik angin.
            “Awak ni yang tak faham bahasa. Saya dah katakan bila bas sampai, saya akan panggil. . Yang nak marah-marah ni kenapa? Kalau tak suka pergi cari bas lain,” Qaira mengecilkan mata. Kerek perempuan ni. Mentang-mentanglah dah tengah malam, kaunter semua dah tutup, boleh dia suruh beli tiket lain. Dia ni memang nak kena ajar!
            “Sebab saya terdesak, akak boleh cakap macam tu kan? Akak ingat ye,jangan sampai saya hilang sabar dan buat aduan dekat Persatuan Pengguna tentang sikap akak ni. Tak pasal-sebab akak, company akak dapat nama buruk kerana ambil pekerja yang biadab macam akak,” bidas Qaira.
“Hey, awak jangan cuba nak ugut-ugut saya ye.” perempuan itu memberi amaran. Suaranya meninggi. Riak wajahnya tegang. Tetapi sebenarnya hatinya sudah mula kecut mendengar kata-kata Qaira. Beberapa orang penumpang berdekatan mula memandang ke arah mereka.
“Saya tak ugut akak, tapi saya cuma pertahankan hak saya sebagai pengguna. Akak jangan ingat saya tak berani buat,” Qaira mencapai telefon bimbitnya. Kamera dipasang lalu wajah perempuan itu ditangkap.
            “Ini saya dah ambil gambar akak. Jangan sampai saya hilang sabar. Akak nak gambar akak masuk Facebook dengan caption, ‘Penjaga Kaunter paling Kurang ajar di Hentian Duta’. Mesti popular akak lepas tu. Akak nak?” Perempuan itu terdiam. Dia tercengang. Namun, terus menggeleng selepas itu. Qaira perasaan wajahnya yang mula cuak. . Baru kau tahu aku siapa!
            “Sekarang beritahu saya, bila bas saya nak sampai. Dah berjam saya tunggu. Akak chek sekarang,” arah Qaira.
            “Ba..Baik,” perempuan itu menurut arahan. Dia sudah tidak berani melaser seperti tadi. “Bas diganti dengan bas lain. Sekarang dah ada dekat Pudu. Sekejap lagi akan sampai ke Duta,” tutur perempuan itu berhati-hati.
            “Kan senang cakap macam tu. Nak beritahu hal tu pun susah ke? Apa pun terima kasih atas perkhidmatan anda yang ‘best’ ni,” sindir Qaira. Dia menarik beg dan mula beredar dari situ. Tetapi tak sampai separuh jalan dia berpatah balik.
 “Akak, maaf kalau saya berkasar tadi. Tapi, akak kena ingat satu perkara, hidup atas dunia kena ada budi bahasa ada adab. Semua tu melambangkan  keperibadian kita. Tak ke mana kita kalau bersikap sombong sesama manusia. Ingat, Budi Bahasa Budaya Kita. Assalamualaikum,” sempat lagi Qaira menyekolahkan perempuan itu yang sudah tertunduk. Malam ini dia mendapat pengajarannya.

BAS yang ditunggu akhirnya tiba juga tepat 12.30 malam. Qaira menarik tiket bas dari poket seluarnya. Kepada pemandu bas, diunjukkan tiket tersebut. Dia menarik nafas lega apabila memang itu bas yang dinanti sejak tadi. Mata sudah semakin berat. Sepatutnya sekarang adalah waktu tidurnya. Kalau dirumah, pasti dia sudah lena dibuai mimpi.
            Usai meletakkan beg di bahagian luggage, Qaira cepat-cepat menaiki bas itu. Dia memerhati nombor tempat duduk satu persatu. Dalam hati, Qaira berharap benar untuk mendapat tempat di tepi tingkat sementelah tiketnya adalah untuk kerusi berkembar. Maklumlah, tiket itu dibeli di saat-saat akhir.
            “5B, 5C.” Qaira membaca perlahan nombor kerusi itu. Memang itulah tempatnya. Tempat di tepi tingkap kosong tetapi sekarang timbul pula masalah lain. Ada lelaki yang duduk di sebelahnya. Masalahnya sekarang bukan kerana penumpang disebelahnya lelaki. Qaira tidak kisah tentang semua itu. Cuma, sekarang lelaki itu telah menghalang laluannya dalam keadaan tertidur. Wajahnya diselubung dengan jaket. Manakala kakinya yang panjang dilunjurkan hingga ke kerusi depan.
            Qaira mula garu kepala.
            “Macam mana aku nak masuk ni. Langsung tak ada ruang,”  Qaira menyentuh lelaki itu sedikit.
            “Awak,” panggilnya. Langsung tiada tindak balas.
            Qaira menggoncang dengan lebih kuat.”Awak, awak,” Masih juga lelaki itu berkeadaan seperti tadi. “Hish, tidur mati ke apa dia ni,”
            Satu keluhan dilepaskan. “Aku nak langkah, macam tak sopan pulak. Hish! Stress la aku macam ni,” Qaira mengomel. Sudahlah terpaksa berhimpit dengan penumpang yang sedang lalu di tengah bas itu.
            Tidak mahu cepat berputus asa, Qaira cuba menggoyangkan tubuh lelaki itu dengan lebih kuat lagi. Baru sahaja dia ingin memegang bahu lelaki itu, tiba-tiba seorang penumpang yang datang dari belakang telah melanggarnya dengan kuat hingga dia gagal mengawal imbangan badannya.
            BUK!
            “Oh Mak Kau,” sekelip mata saja Qaira sudah selamat mendarat dia atas lelaki itu. Mamai dia seketika dan ternyata jatuhannya itu berjaya membangunkan insan yang sedang nyenyak tidur itu. Jaket diwajahnya terus ditarik. Terpisat-pisat lelaki itu memandang Qaira.
            “Awak buat apa ni?” Qaira bagaikan terkena renjatan apabila terdengar suara serak lelaki itu. Serta merta dia bangun. Memalukan betul.
            “So..sorry saya terjatuh. Saya nak masuk ke dalam,” mujur lampu agak suram kalau tidak pasti jelas kelihatan pipi Qaira yang kemerahan menahan malu.
            “Ke awak nak cabul saya?” terbeliak mata Qaira mendengar tuduhan itu. Cabul?
            “Excuse me, saya jatuh okay. Awak ingat saya ni perempuan apa? Boleh tolong turunkan kaki tu? Saya nak masuk dalam,” tegas Qaira. Suka hati dia aje nak tuduh-tuduh. Ada gaya pencabul ke muka aku ni?
            Lelaki itu menarik muka masam. Tidurnya terganggu tetapi kakinya diturunkan juga.
            “Lain kali kejutlah baik-baik. Tak payah nak terjun-terjun atas orang,” Qaira mengecilkan matanya. Dia ni memang nak cari pasalkan!
            “Hmm saya rasa saya dah kejut elok-elok tadi. Tapi tak tahulahkan kalau awak tu spesies tidur matikan?” Qaira menjawab geram namun pantas dia mengambil tempatnya disebelah tingkap.
            “Yeah, whatever,” balas lelaki itu sebelum berselubung semula seperti tadi. Qaira mencebik bibir.Berlagak betul mamat sebelah ni. Kalau ada tempat lain, sudah lama dia mintak tukar tempat duduk. Ingat best ke duduk dengan mamat perasan bagus macam ni? Bebel Qaira lagi. Tapi Cuma dalam hati. Dia tidaklah seberani mana mahu bercakap depan-depan.
            Pandangan dihala keluar. Qaira mendengus. Karenah manusia yang ditemuinya mala mini memang menguji kesabaran. Fathi dengan perangainya, penjaga kaunter dengan kereknya, sekarang penumpang sebelah dengan perilaku yang menjengkelkan. Qaira memandang ke penumpang sebelah. Lelaki itu sudah kembali terlena. Hmm baguslah, tak adalah mengganggu emosi aku sepanjang perjalanan ni, bisik hati Qaira.  
            Bas mula bergerak meninggalkan Hentian Duta. Sambil menyoroti keindahan Bandar Kuala Lumpur yang tidak pernah tidur ini, fikiran Qaira melayang mengingati Fathi. Bila agaknya hubungan mereka akan mesra seperti pasangan lain. Lagi dua bulan mereka akan disatukan tetapi Fathi tetap dingin dengan hubungan mereka. Qaira mengeluh perlahan. Dia memejam mata. Dan perlahan-lahan dia muladibawa ke alam mimpi. 

Wednesday, 12 February 2014

Idea Datang Dan Pergi....

Lama sudah tidak berupdate page patik ini. Dah bersawang bagai. Hehe

Maaflah, saya benar-benar tidak punya kesempatan untuk memuatnaik entry baru. Kalau ada pun, mesti time tu rasa letih yang amat sangat. Akibatnya, idea pun hilang.

Sebut pasal idea. Memang banyak idea yang datang dalam kepala. Sekejap cerita tu. sekejap cerita ni. Last-last cerita yang sedia ada tergantung macam tu je.. hehe

Bukan tak nak sambung tapi mood tak ada. Macam macam masalah melanda sampai menyepoilkan mood tu.(suka hati kau hancurkan bahasa ye,) Sekarang ni, rasanya saya nak berusaha untuk siapakan novel saya yang baru. Yang lama stuck lagi. huhu..

InsyaAllah, saya akan publishkan dalam sedikit masa lagi. Berikan sokongan pada saya supaya saya dapat capai impian saya nak jadi novelis yang terkemuka macam Acik Lana, Zura Asyfar, Eman Sufi, Aisya Sofea dan tak lain tak bukan Ramlee Awang Murshid.

Amin...

Terima Kasih yang bagi sokongan.