PERSIS seorang model, Ian Rafiq bersandar di keretanya. Ketampanannya ternyata menarik perhatian para gadis di kawasan dropoff KLIA itu. Malah, pramugari yang melalui kawasan itu juga tidak ketinggalan melambai ke arahnya. Tidak mahu memalukan mereka, Ian Rafiq senyum dan sesekali dia juga membalas lambaian mereka.
Ian Rafiq melihat jam di tangannya. Waktu sudah beranjak ke pukul 6.20 petang. Sepatutnya, keluarga Pak Ngahnya sudah tiba dari London tapi bayang-bayang mereka pun masih belum kelihatan. Dia sudah tidak sabar mahu bertemu dengan mereka yang sekian lama dirinduinya.
Pak ngahnya, Datuk Zakir akan kembali menetap di tanah air setelah hampir 22 tahun berhijrah ke London. Bagai tidak percaya Ian Rafiq apabila ibunya, Puan Norma memberitahunya yang Pak Ngahnya sekeluarga akan kembali ke Malaysia dan kali ini untuk selamanya. Bagaimana dia mahu mempercayainya kerana Datuk Zakir sendiri menyatakan yang dia tidak mungkin akan kembali ke tanah airnya lagi. Semuanya gara-gara merajuk dengan perbuatan ibu tirinya, yakni nenek tiri Ian Rafiq yang menggunakan tipu daya untuk membolot harta arwah datuknya. Akibat sakit hati, Datuk Zakir membawa diri dan keluarganya ke luar Negara. Perniagaannya yang bermula di Malaysia dikembangkan ke luar Negara sehingga dia menjadi salah seorang ahli perniagaan yang tersohor di Malaysia dan London.
Kini, Datuk Zakir pulang semula. Ian Rafiq tidak tahu apa yang mengubah fikiran Datuk Zakir. Mungkin pujukan mak ngahnya, Datin Nora telah melembutkan hati Datuk Zakir. Bukan Ian tidak tahu, Datin Nora sering mengatakan yang dia mahu kembali ke kampung halamannya. Rindu benar, katanya. Semuanya disuarakan kepada Ian Rafiq semasa pemuda itu tinggal bersama mereka ketika dia melanjutkan pelajaran di sana.
Bagi Ian Rafiq, jasa mereka kepadanya memang tidak terbalas. Selama 4 tahun dia di sana, mereka melayannya dengan baik, memberikan bantuan kewangan sekiranya dia menghadapi masalah dan pelbagai lagi. Ian Rafiq sangat terhutang budi.
Ian Rafiq mengukir senyum lebar. Wajah yang dirindui sudah muncul. Kelihatan Datuk Zakir sedang menolak troli yang sarat berisi beg pakaian mereka. Di sisinya, Datin Nora sedang melambai ke arah Ian Rafiq. Cepat-cepat Ian Rafiq mendapatkan mereka.
“Welcome home, Pak Ngah, Mak Ngah,” ucap Ian Rafiq sambil bersalam dengan mereka berdua.
“Thank You, Ian. Dah lama tunggu kami?” soal Datuk Zakir.
“Tak adalah Pak Ngah. Baru aje,” jawab Ian Rafiq. Troli di tangan Datuk Zakir bertukar tangan. Ian Rafiq menolak troli itu ke keretanya. Namun, ada persoalan yang bermain di fikirannya. Mana Hana Zulaikha, anak Datuk Zakir dan Datin Nora?
Ian Rafiq tertoleh-toleh. Mencari kalau-kalau Hana terselit di celah-celah orang ramai.
“Apa yang kamu cari tu, Ian?” tegur Datin Nora. Dari tadi dia melihat Ian Rafiq bagai tercari-cari sesuatu.
“Err..Mak ngah. Hana mana? Dia tak balik sekali ke?” soal Ian Rafiq akhirnya. Belum sempat Datin Nora menjawab, Ian Rafiq terdengar suara di belakangnya. Pantas dia berkalih.
“Hi, looking for me?” Hana tersengih. Sengaja dia bersembunyi apabila ternampak Ian Rafiq dari jauh. Mahu membuat kejutan dan mahu menguji adakah Ian Rafiq masih mengingati dirinya atau tidak.
“Hey little girl!” balas Ian Rafiq. Gembira dapat bertemu kembali dengan sepupunya itu. Hubungan mereka berdua memang agak rapat. Spontan Ian menarik hidung gadis itu.
“Cut it off…I’m not a little girl anymore. Can’t you see I’m getting bigger now?” Hana memuncung. Dulu, semasa Ian Rafiq tinggal bersama keluarganya, dia baru berusia 16 tahun. Tubuhnya agak kecil sehingga Ian Rafiq sering memanggilnya ‘little girl’.
“Is it? Hmm..let me see.” Ian Rafiq pura-pura membelek diri Hana.
“Hey, apa tengok macam tu? Pervert betul!” tukas Hana. Dia memeluk tubuh.
“La, tadi suruh tengok.” Ian Rafi tergelak dengan ulah Hana. Rindu dia mahu mengusik gadis itu.
“Tak adalah sampai macam tu sekali. Dah rupa macam perogol bersiri aje Hana tengok,” bidas Hana. Ian Rafiq mahu membalas namun dehaman Datuk Zakir mmbuatkan dia tersedar mereka masih di KLIA dan dia masih belum membuka pintu kereta untuk mereka.
“Ok, ok. I’m sorry, princess. Is that better?” Ian Rafiq mengalah. Apatah lagi, mereka diperhatikan oleh Datuk Zakir dan Datin Nora. Naik segan pula dibuatnya berbalah seperti budak-budak.
“That’s better, i think.” Hana senyum menang. Ian Rafiq terus membuka pintu keretanya.
“Naiklah, Pak Ngah, Mak Ngah. Maaflah, sibuk bergaduh dengan Hana ni sampai terlupa nak buka pintu,” ujar Ian Rafiq. Datuk Zakir dan Datin Nora melangkah masuk ke dalam tempat duduk belakang. Manakala, Hana masuk ke tempat duduk sebelah pemandu. Ian Rafiq masuk ke dalam kereta setelah menyimpan segala bagasi dan beg pakaian ke dalam but kereta Honda Civicnya.
“Tak apa. Pak Ngah dengan Mak Ngah ni fleksible. Setakat jadi tiang tunggu kamu berdua bertekak tu tak ada masalah,”perli Datuk Zakir dalam nada bergurau. Ian Rafiq menggaru kepalanya yang tidak gatal mendengar sindiran bapa saudaranya itu. Malu betul. Hana pula hanya ketawa. Sindiran itu langsung tidak berbekas di hatinya.
“Sudahlah tu Ian, Pak Ngah kamu gurau aje tu. Jom gerak cepat. Dah tak sabar nak jumpa mama kamu ni,” kata Datin Nora pula. Ian Rafiq menghidupkan enjin kereta dan mereka mula bergerak meninggalkan KLIA.
“Akhirnya balik juga kamu, Kir. Kak Long ingat kamu dah tak nak jejak kaki kat Malaysia ni lagi,” Puan Norma bermukadimah. Dia menuang air teh ke dalam cawan lalu diberikan kepada Datuk Zakir. Piring kuih lapis diunjukkan kepada adik bongsunya itu. Dia tahu Datuk Zakir memang menggemari kuih lapis.
“Kalau ikut hati, memang Kir dah tak nak balik sini, tapi fikir balik sampai bila Kir nak bawak diri. Rindu sangat dengan Malaysia ni. Lagipun, Nora banyak pujuk Kir balik sini,” kata Datuk Zakir. Sebiji kuih lapis dimasukkan ke dalam mulutnya.
“Betullah tu. Negara orang tak akan sama dengan negara sendiri. Kata orang, hujan emas negeri orang, hujan batu negeri sendiri baik lagi negeri sendiri.” Puan Norma cuba berperibahasa.
“Amboi siap berperibahasa kak Long ni,” usik Datuk Zakir. Puan Norma ketawa kcil.
“Alah, sikit-sikit,” balas Puan Norma. Seketika mereka terdiam menikmati kuih lapis yang dihidang selepas makan malam sebentar tadi.
“Kamu tinggal sini dululah sementara kerja pembersihan rumah kamu tu siap,” pelawa Puan Norma.
“Nampak gayanya macam tulah. Rumah tu dah lama kena tinggal. Banyak benda perlu dibersihkan. Ingatkan, mama nak jaga rumah tu. Rupanya terbiar macam tu aje. Dulu sibuk sangat nak berebut,” Datuk Zakir meluahkan rasa tidak puas hatinya. Dia sangkakan ibu tirinya, Puan Marni akan menjaga rumah peninggalan arwah ayahnya, Haji Basri. Rupanya, rumah itu langsung tidak dipedulikan. Malah, terbiar begitu sahaja.
“Tak tahulah Kir. Kak Long pun tak faham dengan mama tu.” Balas Puan Norma. Dia malas mahu memberi komen. Memang dia sedia maklum perbalahan antara adiknya dengan ibu tiri mereka yang entah bila akan berakhir.
“Kak Long ada jumpa dia ke?” Tanya Datuk Zakir lagi.
“Last sekali, Kak Long jumpa dia masa majlis pelancaran produk kecantikan dia yang terbaru tahun lepas. Lepas tu, memang tak ada dah,” terang Puan Norma.
“Hmm,” itu sahaja reaksi Datuk Zakir. Dia menghirup baki air teh di dalam cawannya.
“Wah, kuih lapis! Lama tak makan,” Datin Nora yang baru muncul dari bilik mengambil tempat disebelah Datuk Zainal. Selepas makan malam tadi, dia masuk ke bilik sebentar. Datin Nora teruja melihat kuih lapis. Sudah lama dia tidak merasa keenakan kuih tradisional Melayu itu.
“Makanlah Nora. Kak Long tahu kamu berdua suka. Sebab tu, Kak Long buat.” Kata Puan Norma sambil tersenyum. Datin Nora mengangguk sambil merasa kuih lapis tersebut.
“Mana Hana dengan Ian?” soal Datin Nora apabila kelibat Ian Rafiq dan Hana tidak kelihatan.
“Ian bawak Hana pergi studio gambar dia dekat Ampang tu. Beriya-iya betul budak Hana tu mengacau Ian. Tak tahu penat agaknya. Macam tak boleh tunggu esok,” rungut Datuk Zakir. Kadangkala pening dengan karenah anak daranya itu. Umur sudah 24 tahun, tetapi perangai seperti budak-budak.
“Biarlah Kir. Orang muda memang macam tu,” kata Puan Norma.
“Bukan apa Kak Long, Hana tu anak manja. Semua benda yang dia nak dia dapat. Sebab tu yang besar kepala tu,” tambah Datuk Zakir.
“Anak tunggal memang manjalah. Ian tu pun sama. Mujurlah, lepas abang Aziz meninggal dia tak pernah buat perangai. Alhamdulillah, dia anak yang mendengar kata,” Puan Norma tersenyum mengenangkan anak tunggalnya itu. Dia seorang ibu tunggal. Selapas kematian suaminya. Aziz segala tanggungjawab menjaga adan mendidik anak terletak di bahunya. Tapi dia bertuah kerana dikurniakan anak sebaik Ian Rafiq yang tidak pernah menyusahkan hatinya sebagai ibu. Ian Rafiq tahu membawa diri.
“Itulah, Nora tengok pun Ian tu berbudi bahasa budaknya. Bila nak dapat menantunya Kak Long?” Tanya Datin Nora.
“Menantu apanya? Ian tu bukan ada calon lagi. Puas dah Kak Long suruh dia kahwin, macam-macam alasan dia bagi. Tak jumpa calon lagilah, tak bersedialah. Tak tahulah budak tu,” balas Puan Norma.
“Kalau macam tu, apa kata kita satukan saja Ian dengan Hana tu? Diaorang pun nampak sepadan,” entah dari mana idea itu muncul di benak Datuk Zakir.
“Ish, nak ke si Hana tu?” Puan Norma ragu-ragu. Maklumlah, sekarang ini zaman moden. Bukan zaman dulu di mana ibu bapa bebas menentukan jodoh anak-anak.
“Nora rasa Hana tak ada masalah sebab dia pun macam suka aje dengan si Ian tu,” jawab Datin Nora yakin. Sebagai ibu, nalurinya dapat meneka perasaan Hana terhadap Ian Rafiq. Setiap kali nama pemuda itu disebut, wajah Hana kelihatan berseri-seri. Malah, anak gadisnya itu paling tidak sabar untuk balik ke Malaysia..
“Hmm…Kalau dah macam tu kata kamu, kak Long tak ada halangan. Tapi, Kak Long kena bincang dengan Ian dululah,” putus Puan Norma. Dia berharap anak lelakinya itu akan bersetuju dengan perancangan mereka bertiga. Lagipun, Hana pun tiada yang kurang.
“Kalau jadi rancangan ni, berbesanlah kita.” Datuk Zakir tersenyum gembira. Begitu juga Datin Nora. Puan Norma mengangguk-angguk.


No comments:
Post a Comment