Sunday, 30 June 2013

Cinta, Kasih Kita 18

LANGKAH kaki Rania tiba-tiba terhenti. Dia memerhati sekitar lobi Hospital Gleaneagles, tempat dia sedang berdiri sekarang. Entah kenapa tekadnya mahu melawat Baihaqi sebentar tadi seakan-akan terpadam. Dia mula keliru dengan keputusannya sendiri. Patut ke aku melawat dia?
Rania bermonolog. Dia takut dengan apa yang bakal dihadapinya sebentar lagi. Entah apa pandangan keluarga Baihaqi nanti jika mereka tahu dia yang menyebabkan pemuda itu kemalangan. Sekarang ini pelbagai perkara bermain di kotak fikirannya. Mencongak, mencerna apa yang wajar dia lakukan. Separuh hati mahu dia meneruskan niatnya. Manakala separuh lagi memaksa dia pulang saja. Kepalanya benar-benar serabut kala ini.
            “Nia!” panggilan dari Misha menyedarkan Rania yang dia bukan berseorangan di situ. Misha yang menemaninya sudah berjalan jauh ke depan. Gadis itu hanya mampu menggeleng kepala sebelum kembali mendapatkan Rania yang nyata sedang resah..
            “Penat aku membebel sorang-sorang dekat depan. Yang kau berhenti dekat sini kenapa?” soal Misha. Rania hanya mendiamkan diri. “Kenapa ni Nia?” Misha memegang bahu Rania apabila sahabatnya  itu kelihatan bingung.
            “Patut ke aku melawat dia, Sha? Aku takut nak hadapi dia. Takut nak jumpa keluarga dia. Kalau diorang tahu aku yang menyebabkan Haq eksiden, apa aku nak buat nanti?” Rania menunduk.
            Misha menarik nafas dalam-dalam sebelum melepaskannya kemudian. Sekilas dia melihat wajah polos Rania. Sebentar tadi gadis itu yang beria-ria mengajaknya ke sini. Sekarang bila sudah sampai ke tempatnya, dia boleh pula keliru dengan perasaan sendiri.
            “Sepatutnya kau fikir hal ni sebelum kau ajak aku datang tadi. Sekarang kau dah pun ada dekat sini, tak akan kau nak patah balik?” balas Misha. Kadangkala dia sukar memahami kehendak Rania yang sebenar. Mudah berubah-ubah.
            “Aku tak tahu Misha. Aku nak sangat tengok dia tapi dalam masa yang sama aku takut nak hadapi dia dan keluarga dia,” Rania meluahkan kegalauan yang bersarang di hatinya.
            “Sekarang bukan masa untuk kau rasa takut Nia. Kau dah sampai sini. Nak tak nak kau kena hadapi jugak perkara yang kau takut tu.” balas Misha. Rania terdiam. “Aku tahu kau rasa bersalah. Tapi kalau kau balik sekarang kau tak akan rasa aman. Rasa bersalah tu akan tetap menghantui kau. Kau nak macam tu?” soal Misha. Rania menggeleng lemah. Benar apa yang Misha katakan. Dia patut hadapi semuanya. Sekarang ini pun dia rasa gelisah. Benarlah kalau buat salah, memang hidup tidak akan pernah tenteram.
            “Macam mana sekarang? Nak pergi atau tak?” Misha peluk tubuh menunggu jawapan Rania. Penat juga berdiri di tengah lobi begini.
            “Betul cakap kau. Aku tak sepatutnya terus bawak rasa bersalah ni sepanjang hidup aku. Ianya sangat menyakitkan. Aku nak mintak maaf pada dia. Biarlah apa pun tanggapan dia, janji aku dah mintak maaf. At least, aku dah buat apa yang patut dan…”
            “…dan kau boleh jugak tengok keadaan buah hati kau tu. Dah macam kucing hilang anak aje,” usik Misha.
            “Mana ada buah hati,” nafi Rania.
            “Eleh, nak nafi konon. Aku tengok macam kucing hilang anak aje rupa kau. Ngaku je la Nia,” giat Misha. Rania hanya senyum. Memang kena batang hidung pun.
            “Dahla. Merepek je lah kau ni. Jom pergi. Nanti habis waktu melawat pulak,” Rania tarik tangan Misha.
            “Rania!” sekali lagi langkah Rania terhenti. Matanya mencari-cari gerangan yang memanggil dan dia akhirnya terpaku melihat insan yang berdiri di depannya.
            Ian Rafiq!

BAIHAQI merenung Rania yang sedang menuang air di dalam gelas. Alangkah indahnya rasa hati apabila insan yang didambakan berada di depan mata. Sebentar tadi dia bagaikan tidak percaya melihat kedatangan Rania dan Misha di depan pintu wad. Beberapa kali dia mencubit lengannya bagi memastikan dia tidak bermimpi. Bimbang juga kecedaraan di kepala sudah bagi kesan pada otak. Tapi kebimbangannya lenyap bila Rania mula mengambil tempat di sisinya. Malah diganti pula dengan rasa di awing-awangan. Sakit rasa bagaikan beransur pergi sebaik saja dia melihat wajah itu. Ya Allah, kenapalah aura dia ni kuat sangat kesannya pada diriku, bisik hatinya.
            “Ehem,” deheman itu nyata mampu membuatkan Baihaqi tersipu-sipu. Lupa dia seketika, mereka bertiga di dalam wad itu. Dia, Rania dan Misha, gadis yang ketika ini sedang tersengih-sengih memandangnya. “Mata awak okay ke Haq?” Tanya Misha kemudian.
            “Okay je. Kenapa?” soal Baihaqi semula.
            “Tak adalah dari tadi tengok si Rania tak berkelip-kelip. Takut jugak cedera kat kepala tu effect mata awak sekali,” kata-kata Misha membuatkan Baihaqi pula tersengih-sengih.
            “Misha,” panggil Rania yang nyata tidak gemar dengan usikan itu. Dia menyuakan air kepada Baihaqi.
            “Aku gurau ajelah.”balas Misha. “Hmm, mujurlah kecederaan awak tak teruk sangat Haq. Dengar cerita bonet depan kereta awak remuk teruk,” kata Misha. Baihaqi mengangguk.
            “Syukur Alhamdulillah. Saya pun tak sangka tragedi tu berlaku pada saya. Entah macam mana saya boleh hilang kawalan. Tiba-tiba dah berlanggar pokok,” ujar Baihaqi. Sesekali matanya menyoroti wajah Rania yang tekun mendengar. Kadang kala, gadis itu akan menunduk dengan wajah yang serba salah.
            “Tak apalah. Janji awak selamat. Itu yang lebih penting,” Misha senyum. “Kalau tidak jenuhlah saya nak pujuk orang tu menangis,”sempat juga dia mengusik Rania yang sedari tadi mendiamkan diri.
            “Apa kau ni,” tangan Rania sudah menjalar dan mencubit peha Misha. Buat malu aku aje.
            “Aduh! Macam ketamlah kau ni” Misha menggosok pehanya yang perit. Baihaqi hanya senyum. Namun, hatinya terasa berbunga-bunga mendengar kata-kata Misha. Rania menangis untuknya. Maknanya Rania masih sayang pada dia!
            “Asyik mengarut aje kau ni. Haq, jangan ambil hati. Misha ni memang suka mengarut,” kata Rania.
            “Tak apa. Saya tak kisah pun,”
            “Lagi suka adalah kan Haq?” Misha masih tidak habis menggiatnya. Sekali lagi pehanya menjadi mangsa cubitan Rania. “Hish, keturunan ketam ke apa kau ni? Sakit gila cubit orang,” Misha bangun dari kerusi.
            “Kau nak ke mana?” soal Rania. Tak akan merajuk kot kena cubit?
            “Aku nak pergi kafe kejap. Kau sembanglah dengan Haq. Nanti aku datang balik.” Misha mencapai beg tangannya.
            “Eh, kejap lagilah kita pergi sama-sama.” Rania cuba menghalang tetapi Misha terlebih dahulu bergerak ke pintu.
            “Aku dahagalah. Kau temannlah Haq. Kesian dia. Kejap lagi aku datanglah balik,” sebenarnya dia mahu member ruang pada Rania untuk berbicara dengan Baihaqi. Sejak dari tadi hanya dia yang bercakap dengan Baihaqi. Hish, buah hati siapa sebenarnya ni? Misha memebebel dalam hati sebelum menghilang ke kafe.
            Suasana hening seketika. Kekok pula bila tinggal berdua.
            “Awak nak makan buah? Saya boleh potongkan,” Rania cuba menghidupkan suasana yang sunyi. Mati kutu mahu bercakap topik apa. Sedangkan perkara yang sebenarnya ingin diucapkan sejak tadi masih tak terluah.
            “Tak nak. Saya tak lapar,” jawab Baihaqi sebelum suasana hening semula. Rania menarik nafas. Dia perlu menyatakan apa yang perlu. Jika tidak perasaanya tidak akan tenteram.
            “Awak, saya mintak maaf. Saya tahu awak hilang kawalan sebab awak tak sihatkan? Kalau awak tak kena hujan malam tu mesti awak tak demam dan tak eksiden semalam. Semua salah saya. Saya mintak maaf sangat-sangat,” Baihaqi merenung Rania. Dia tidak menyangka yang Rania akan berfikir sejauh itu. Sekelumit pun dia tidak menyalahkan Rania atas segala yang menimpanya.
            “Apa awak cakap ni? Semua yang berlaku bukan salah awak. Takdir dah tentukan semua ni,”  balas Baihaqi. Rania geleng kepala.
            “Tapi, kalau awak sihat pasti semua ni tak jadi. Saya memang menyusahkan awak aje. Awak tak sepatutnya tumpangkan saya hari tu” Rania masih menyalahkan dirinya.
            “ Nia, stop blaming yourself. Awak kena ingat, Allah yang tentukan semua. Kalau saya sihat pun, Allah tetapkan saya eksiden, saya tetap eksiden. Mungkin atas sebab yang lain. Saya terima semua ni sebgai qada dan qadar saya. Dah, jangan salahkan diri awak lagi.” Pujuk Baihaqi. Rania hanya memandangnya sayu.
            “Awak tahu saya bersyukur sangatdengan eksiden ni,” sambung Baihaqi kemudian.
            “Kenapa?” soal Rania hairan.
            “Kalau tidak saya tak akan tahu awak ambil berat pasal saya. Siap nangis lagi untuk saya,” usik Baihaqi. Muka Rania merah menahan malu.
            “Awak percaya sangatlah cakap Misha tu. Dia tu suka merepek yang bukan-bukan,” Rania cuba menafikan.
            “Saya boleh nampak tu. Tapi, saya tahu dia selalu jujur dengan apa yang dia cakap dan saya tahu apa yang dia cakap tu betul,” balas Baihaqi penuh keyakinan. Rania tidak tahu apa yang mahu dibalasnya. Memang dia menangis kerana Baihaqi dan Misha sendiri saksinya.
            “Eh, tapi awak tak maafkan saya lagi.” Rania cuba mengubah topik. Baihaqi melepaskan keluhan.
            “Awak tak salah pun,” ujarnya.
            “Saya tetap rasa bersalah sebab buat awak main hujan malam tu. Kalau saya tahu awak antibodi lemah, saya tak adalah buat awak macam tu,” balas Rania.
            “Amboi, kutuk nampak. Awak pun sama kan? Ingat saya tak tahu awak selsema semalam?” Baihaqi cuba mempertahankan diri.
            “Tapi tak adalah demam teruk macam awak. Saya dah sihat pun hari ni,” tukas Rania.
            “Kebetulan aje saya nak demam. Selalu susah saya nak sakit ni.”Rania mencebik.
            “Huh, cakap besar,” Baihaqi tarik senyum melihat ulah Rania. Akhirnya  mereka sama-sama ketawa. Baihaqi disapa rasa bahagia. Sudah lama dia tidak ketawa sebegini bersama Rania. Selaunya mereka hanya akan bertengkar atau berdiam diri. Dia benar-benar rindukan suasana seperti ini.
            “Awak maafkan saya ke tak ni?” Rania menyoal semula apabila ketawa mereka mereda.
         “Tak habis lagi ke?” Baihaqi kerut dahi. Rania menggeleng. Baihaqi terdiam seketika. Tiba-tiba sesuatu singgah di fikirannya. “Saya maafkan awak tapi…”
            “Tapi?” Rania sabar menunggu.
            “Tapi awak kena tunaikan permintaan saya.” Jelas Baihaqi.
            “Ha?” Rania garu kepala. Aduh, ada permintaan pulak. Macam-macamlah mamat ni. “Permintaan apa?"

            “Adalah,” Baihaqi tersenyum penuh misteri. Rania hanya telan liur.