Sunday, 16 February 2014

Ku Semai Rindu di hati 1

Assalamualaikum, 

Seperti yang dijanjikan, hari ni saya up entry baru untuk tatapan semua. Entry ni merupakan novel baru yang ideanya datang mencurah-curah sejak akhir2 ni. Harap2 saya diberikan kekuatan untuk menyiapkan novel ni hingga ke noktah terakhir. 

Oh ye, tajuk belum final lagi. 

Apa pun, selamat membaca ye. Jangan lupa komen juga. ;)

KU SEMAI RINDU DI HATI 1

‘Mana bas ni? Dah berjanggut aku tunggu. Jangankan bas, lampu bas pun pun tak nampak lagi. Ini boleh mendatangkan kemarahan,’ Qaira menggaru dagu. Jam dibelek beberapa kali. Sudah hampir 12.00 tengah malam. Matanya sudah semakin berat. Bas yang sepatutnya sampai sejam yang lalu di Hentian Duta masih belum kelihatan.
            Qaira memerhati sekeliling. Tidak ramai orang di Hentian Duta ketika ini.Tetapi kalau di musim perayaan, pasti hentian yang menjadi Stesen bas bagi negeri-negeri di sebelah utara ini dilimpahi orang ramai.
            Sesaat Qaira menghela nafas. Kalaulah dia tahu bas akan sampai lewat malam ini, tidaklah dia  kelam kabut seperti tadi. Semuanya kerana tunangnya,Anas Fathi. Pada saat-saat akhir, lelaki itu memaklumkan yang dia tidak dapat menghantar Qaira ke stesen bas pada malam ini atas alasan dia perlu ke Ampang untuk menyertai perlawanan Futsal.
            Sakitnya hati Qaira hanya Tuhan yang tahu. Sanggup Fathi membelakangkan tunangnya sendiri hanya disebabkan perlawanan Futsal. Dan dia disuruh pergi ke hentian bas sendiri menaiki teksi. Pada waktu malam pula tu. Memang tidak patut. Mujurlah, kawasan tempat tinggalnya mudah mendapatkan teksi. Tetapi, Qaira tetap terkilan dengan Fathi. Tunang yang langsung tidak seperti tunang!
            Dia bukanlah hadap sangat Fathi menghantarnya malam ini, tetapi lelaki itu sendiri telah berjanji untuk menghantarnya ke stesen bas apabila dia yang sepatutnya pulang ke kampung bersama pada minggu ini tidak dapat turut serta. Kalau tidak awal-awal lagi dia boleh meminta teman serumahnya, Marina untuk menghantarnya malam ini. Tapi, disebabkan dia memberitahu Fathi akan menghantarnya, Marina awal-awal lagi sudah keluar entah ke mana. Segalanya memang sudah tersurat. Dia akan menghadapi kesukaran malam ini.
            Sekarang bas pula lambat. Qaira mendengus dan untuk sekian kali, jam tangan direnung sekali lagi. Kesabarannya sudah semakin menipis.
“Ini tak boleh jadi,” Beg pakaiannya diseret malas ke kaunter. Entah kali ke berapa dia menapak ke situ, dia tidak ingat. Setiap kali dia menerima jawapan yang sama. “Tunggu dulu. Sekejap lagi bas sampai,”
            Naik muak pula dia melihat wajah perempuan yang menjaga kaunter itu. Tanpa secalit senyuman di bibir, layanannya terhadap pelanggan amat tidak mesra. Bukan Qaira tidak dengar rungutan dari penumpang yang membeli tiket dari syarikat bas yang sama.
            “Kak, dah sejam saya tunggu. Mana bas tak sampai lagi?” lembut lidah Qaira berbicara walaupun bila – bila masa saja dia kemarahannya boleh meledak.
            “Boleh sabar tak? Sekejap lagi bas sampai saya buat la announcement. Faham tak ni?” kasar perempuan itu menjawab. Qaira menarik nafas panjang. Kalau boleh nampak, Rasanya telinganya sudah keluar asap.
            “Kak, boleh tak cakap elok-elok sikit. Saya tanya baik-baik tau. Akak ingat saya suka ke datang tanya banyak kali ni?” Qaira mula naik angin.
            “Awak ni yang tak faham bahasa. Saya dah katakan bila bas sampai, saya akan panggil. . Yang nak marah-marah ni kenapa? Kalau tak suka pergi cari bas lain,” Qaira mengecilkan mata. Kerek perempuan ni. Mentang-mentanglah dah tengah malam, kaunter semua dah tutup, boleh dia suruh beli tiket lain. Dia ni memang nak kena ajar!
            “Sebab saya terdesak, akak boleh cakap macam tu kan? Akak ingat ye,jangan sampai saya hilang sabar dan buat aduan dekat Persatuan Pengguna tentang sikap akak ni. Tak pasal-sebab akak, company akak dapat nama buruk kerana ambil pekerja yang biadab macam akak,” bidas Qaira.
“Hey, awak jangan cuba nak ugut-ugut saya ye.” perempuan itu memberi amaran. Suaranya meninggi. Riak wajahnya tegang. Tetapi sebenarnya hatinya sudah mula kecut mendengar kata-kata Qaira. Beberapa orang penumpang berdekatan mula memandang ke arah mereka.
“Saya tak ugut akak, tapi saya cuma pertahankan hak saya sebagai pengguna. Akak jangan ingat saya tak berani buat,” Qaira mencapai telefon bimbitnya. Kamera dipasang lalu wajah perempuan itu ditangkap.
            “Ini saya dah ambil gambar akak. Jangan sampai saya hilang sabar. Akak nak gambar akak masuk Facebook dengan caption, ‘Penjaga Kaunter paling Kurang ajar di Hentian Duta’. Mesti popular akak lepas tu. Akak nak?” Perempuan itu terdiam. Dia tercengang. Namun, terus menggeleng selepas itu. Qaira perasaan wajahnya yang mula cuak. . Baru kau tahu aku siapa!
            “Sekarang beritahu saya, bila bas saya nak sampai. Dah berjam saya tunggu. Akak chek sekarang,” arah Qaira.
            “Ba..Baik,” perempuan itu menurut arahan. Dia sudah tidak berani melaser seperti tadi. “Bas diganti dengan bas lain. Sekarang dah ada dekat Pudu. Sekejap lagi akan sampai ke Duta,” tutur perempuan itu berhati-hati.
            “Kan senang cakap macam tu. Nak beritahu hal tu pun susah ke? Apa pun terima kasih atas perkhidmatan anda yang ‘best’ ni,” sindir Qaira. Dia menarik beg dan mula beredar dari situ. Tetapi tak sampai separuh jalan dia berpatah balik.
 “Akak, maaf kalau saya berkasar tadi. Tapi, akak kena ingat satu perkara, hidup atas dunia kena ada budi bahasa ada adab. Semua tu melambangkan  keperibadian kita. Tak ke mana kita kalau bersikap sombong sesama manusia. Ingat, Budi Bahasa Budaya Kita. Assalamualaikum,” sempat lagi Qaira menyekolahkan perempuan itu yang sudah tertunduk. Malam ini dia mendapat pengajarannya.

BAS yang ditunggu akhirnya tiba juga tepat 12.30 malam. Qaira menarik tiket bas dari poket seluarnya. Kepada pemandu bas, diunjukkan tiket tersebut. Dia menarik nafas lega apabila memang itu bas yang dinanti sejak tadi. Mata sudah semakin berat. Sepatutnya sekarang adalah waktu tidurnya. Kalau dirumah, pasti dia sudah lena dibuai mimpi.
            Usai meletakkan beg di bahagian luggage, Qaira cepat-cepat menaiki bas itu. Dia memerhati nombor tempat duduk satu persatu. Dalam hati, Qaira berharap benar untuk mendapat tempat di tepi tingkat sementelah tiketnya adalah untuk kerusi berkembar. Maklumlah, tiket itu dibeli di saat-saat akhir.
            “5B, 5C.” Qaira membaca perlahan nombor kerusi itu. Memang itulah tempatnya. Tempat di tepi tingkap kosong tetapi sekarang timbul pula masalah lain. Ada lelaki yang duduk di sebelahnya. Masalahnya sekarang bukan kerana penumpang disebelahnya lelaki. Qaira tidak kisah tentang semua itu. Cuma, sekarang lelaki itu telah menghalang laluannya dalam keadaan tertidur. Wajahnya diselubung dengan jaket. Manakala kakinya yang panjang dilunjurkan hingga ke kerusi depan.
            Qaira mula garu kepala.
            “Macam mana aku nak masuk ni. Langsung tak ada ruang,”  Qaira menyentuh lelaki itu sedikit.
            “Awak,” panggilnya. Langsung tiada tindak balas.
            Qaira menggoncang dengan lebih kuat.”Awak, awak,” Masih juga lelaki itu berkeadaan seperti tadi. “Hish, tidur mati ke apa dia ni,”
            Satu keluhan dilepaskan. “Aku nak langkah, macam tak sopan pulak. Hish! Stress la aku macam ni,” Qaira mengomel. Sudahlah terpaksa berhimpit dengan penumpang yang sedang lalu di tengah bas itu.
            Tidak mahu cepat berputus asa, Qaira cuba menggoyangkan tubuh lelaki itu dengan lebih kuat lagi. Baru sahaja dia ingin memegang bahu lelaki itu, tiba-tiba seorang penumpang yang datang dari belakang telah melanggarnya dengan kuat hingga dia gagal mengawal imbangan badannya.
            BUK!
            “Oh Mak Kau,” sekelip mata saja Qaira sudah selamat mendarat dia atas lelaki itu. Mamai dia seketika dan ternyata jatuhannya itu berjaya membangunkan insan yang sedang nyenyak tidur itu. Jaket diwajahnya terus ditarik. Terpisat-pisat lelaki itu memandang Qaira.
            “Awak buat apa ni?” Qaira bagaikan terkena renjatan apabila terdengar suara serak lelaki itu. Serta merta dia bangun. Memalukan betul.
            “So..sorry saya terjatuh. Saya nak masuk ke dalam,” mujur lampu agak suram kalau tidak pasti jelas kelihatan pipi Qaira yang kemerahan menahan malu.
            “Ke awak nak cabul saya?” terbeliak mata Qaira mendengar tuduhan itu. Cabul?
            “Excuse me, saya jatuh okay. Awak ingat saya ni perempuan apa? Boleh tolong turunkan kaki tu? Saya nak masuk dalam,” tegas Qaira. Suka hati dia aje nak tuduh-tuduh. Ada gaya pencabul ke muka aku ni?
            Lelaki itu menarik muka masam. Tidurnya terganggu tetapi kakinya diturunkan juga.
            “Lain kali kejutlah baik-baik. Tak payah nak terjun-terjun atas orang,” Qaira mengecilkan matanya. Dia ni memang nak cari pasalkan!
            “Hmm saya rasa saya dah kejut elok-elok tadi. Tapi tak tahulahkan kalau awak tu spesies tidur matikan?” Qaira menjawab geram namun pantas dia mengambil tempatnya disebelah tingkap.
            “Yeah, whatever,” balas lelaki itu sebelum berselubung semula seperti tadi. Qaira mencebik bibir.Berlagak betul mamat sebelah ni. Kalau ada tempat lain, sudah lama dia mintak tukar tempat duduk. Ingat best ke duduk dengan mamat perasan bagus macam ni? Bebel Qaira lagi. Tapi Cuma dalam hati. Dia tidaklah seberani mana mahu bercakap depan-depan.
            Pandangan dihala keluar. Qaira mendengus. Karenah manusia yang ditemuinya mala mini memang menguji kesabaran. Fathi dengan perangainya, penjaga kaunter dengan kereknya, sekarang penumpang sebelah dengan perilaku yang menjengkelkan. Qaira memandang ke penumpang sebelah. Lelaki itu sudah kembali terlena. Hmm baguslah, tak adalah mengganggu emosi aku sepanjang perjalanan ni, bisik hati Qaira.  
            Bas mula bergerak meninggalkan Hentian Duta. Sambil menyoroti keindahan Bandar Kuala Lumpur yang tidak pernah tidur ini, fikiran Qaira melayang mengingati Fathi. Bila agaknya hubungan mereka akan mesra seperti pasangan lain. Lagi dua bulan mereka akan disatukan tetapi Fathi tetap dingin dengan hubungan mereka. Qaira mengeluh perlahan. Dia memejam mata. Dan perlahan-lahan dia muladibawa ke alam mimpi. 

No comments:

Post a Comment