Sunday, 30 October 2011

Cinta, Kasih Kita...3

PERSIS seorang model, Ian Rafiq bersandar di keretanya. Ketampanannya ternyata menarik perhatian para gadis di kawasan dropoff KLIA itu. Malah, pramugari yang melalui kawasan itu juga tidak ketinggalan melambai ke arahnya. Tidak mahu memalukan mereka, Ian Rafiq senyum dan sesekali dia juga membalas lambaian mereka.
            Ian Rafiq melihat jam di tangannya. Waktu sudah beranjak ke pukul 6.20 petang. Sepatutnya, keluarga Pak Ngahnya sudah tiba dari London tapi bayang-bayang mereka pun masih belum kelihatan. Dia sudah tidak sabar mahu bertemu dengan mereka yang sekian lama dirinduinya.
            Pak ngahnya, Datuk Zakir akan kembali menetap di tanah air setelah hampir 22 tahun berhijrah ke London. Bagai tidak percaya Ian Rafiq apabila ibunya, Puan Norma memberitahunya yang Pak Ngahnya sekeluarga akan kembali ke Malaysia dan kali ini untuk selamanya. Bagaimana dia mahu mempercayainya kerana Datuk Zakir sendiri menyatakan yang dia tidak mungkin akan kembali ke tanah airnya lagi. Semuanya gara-gara merajuk dengan perbuatan ibu tirinya, yakni nenek tiri Ian Rafiq yang menggunakan tipu daya untuk membolot harta arwah datuknya. Akibat sakit hati, Datuk Zakir membawa diri dan keluarganya ke luar Negara. Perniagaannya yang bermula di Malaysia dikembangkan ke luar Negara sehingga dia menjadi salah seorang ahli perniagaan yang tersohor di Malaysia dan London.
            Kini, Datuk Zakir pulang semula. Ian Rafiq tidak tahu apa yang mengubah fikiran Datuk Zakir. Mungkin pujukan mak ngahnya, Datin Nora telah melembutkan hati Datuk Zakir. Bukan Ian tidak tahu, Datin Nora sering mengatakan yang dia mahu kembali ke kampung halamannya. Rindu benar, katanya. Semuanya disuarakan kepada Ian Rafiq semasa pemuda itu tinggal bersama mereka ketika dia melanjutkan pelajaran di sana.
            Bagi Ian Rafiq, jasa mereka kepadanya memang tidak terbalas.  Selama 4 tahun dia di sana, mereka melayannya dengan baik, memberikan bantuan kewangan sekiranya dia menghadapi masalah dan pelbagai lagi. Ian Rafiq sangat terhutang budi.
            Ian Rafiq mengukir senyum lebar. Wajah yang dirindui sudah muncul. Kelihatan Datuk Zakir sedang menolak troli yang sarat berisi beg pakaian mereka. Di sisinya, Datin Nora sedang melambai ke arah Ian Rafiq. Cepat-cepat Ian Rafiq mendapatkan mereka.
            Welcome home, Pak Ngah, Mak Ngah,” ucap Ian Rafiq sambil bersalam dengan mereka berdua.
            “Thank You, Ian. Dah lama tunggu kami?” soal Datuk Zakir.
            “Tak adalah Pak Ngah. Baru aje,” jawab Ian Rafiq. Troli di tangan Datuk Zakir bertukar tangan. Ian Rafiq menolak troli itu ke keretanya. Namun, ada persoalan yang bermain di fikirannya. Mana Hana Zulaikha, anak Datuk Zakir dan Datin Nora?
            Ian Rafiq tertoleh-toleh. Mencari kalau-kalau Hana terselit di celah-celah orang ramai.
            “Apa yang kamu cari tu, Ian?” tegur Datin Nora. Dari tadi dia melihat Ian Rafiq bagai tercari-cari sesuatu.
            “Err..Mak ngah. Hana mana? Dia tak balik sekali ke?” soal Ian Rafiq akhirnya. Belum sempat Datin Nora menjawab, Ian Rafiq terdengar suara di belakangnya. Pantas dia berkalih.
            Hi, looking for me?” Hana tersengih. Sengaja dia bersembunyi apabila ternampak Ian Rafiq dari jauh. Mahu membuat kejutan dan mahu menguji adakah Ian Rafiq masih mengingati dirinya atau tidak.
            Hey little girl!” balas Ian Rafiq. Gembira dapat bertemu kembali dengan sepupunya itu. Hubungan mereka berdua memang agak rapat. Spontan Ian menarik hidung gadis itu.
            Cut it off…I’m not a little girl anymore. Can’t you see I’m getting bigger now?” Hana memuncung. Dulu, semasa Ian Rafiq tinggal bersama keluarganya, dia baru berusia 16 tahun. Tubuhnya agak kecil sehingga Ian Rafiq sering memanggilnya ‘little girl’.
            Is it? Hmm..let me see.” Ian Rafiq pura-pura membelek diri Hana.
            “Hey, apa tengok macam tu? Pervert betul!” tukas Hana. Dia memeluk tubuh.
            “La, tadi suruh tengok.” Ian Rafi tergelak dengan ulah Hana. Rindu dia mahu mengusik gadis itu.
            “Tak adalah sampai macam tu sekali. Dah rupa macam perogol bersiri aje Hana tengok,” bidas Hana. Ian Rafiq mahu membalas namun dehaman Datuk Zakir mmbuatkan dia tersedar mereka masih di KLIA dan dia masih belum membuka pintu kereta untuk mereka.
            “Ok, ok. I’m sorry, princess. Is that better?” Ian Rafiq mengalah. Apatah lagi, mereka diperhatikan oleh Datuk Zakir dan Datin Nora. Naik segan pula dibuatnya berbalah seperti budak-budak.
            That’s better, i think.” Hana senyum menang. Ian Rafiq terus membuka pintu keretanya.
            “Naiklah, Pak Ngah, Mak Ngah. Maaflah, sibuk bergaduh dengan Hana ni sampai terlupa nak buka pintu,” ujar Ian Rafiq. Datuk Zakir dan Datin Nora melangkah masuk ke dalam tempat duduk belakang. Manakala, Hana masuk ke tempat duduk sebelah pemandu. Ian Rafiq masuk ke dalam kereta setelah menyimpan segala bagasi dan beg pakaian ke dalam but kereta Honda Civicnya.
            “Tak apa. Pak Ngah dengan Mak Ngah ni fleksible. Setakat jadi tiang tunggu kamu berdua bertekak tu tak ada masalah,”perli Datuk Zakir dalam nada bergurau. Ian Rafiq menggaru kepalanya yang tidak gatal mendengar sindiran bapa saudaranya itu. Malu betul. Hana pula hanya ketawa. Sindiran itu langsung tidak berbekas di hatinya.
“Sudahlah tu Ian, Pak Ngah kamu gurau aje tu. Jom gerak cepat. Dah tak sabar nak jumpa mama kamu ni,” kata Datin Nora pula. Ian Rafiq menghidupkan enjin kereta dan mereka mula bergerak meninggalkan KLIA.


“Akhirnya balik juga kamu, Kir. Kak Long ingat kamu dah tak nak jejak kaki kat Malaysia ni lagi,” Puan Norma bermukadimah. Dia menuang air teh ke dalam cawan lalu diberikan kepada Datuk Zakir. Piring kuih lapis diunjukkan kepada adik bongsunya itu. Dia tahu Datuk Zakir memang menggemari kuih lapis.
            “Kalau ikut hati, memang Kir dah tak nak balik sini, tapi fikir balik sampai bila Kir nak bawak diri. Rindu sangat dengan Malaysia ni. Lagipun, Nora banyak pujuk Kir balik sini,” kata Datuk Zakir. Sebiji kuih lapis dimasukkan ke dalam mulutnya.
            “Betullah tu. Negara orang tak akan sama dengan negara sendiri. Kata orang, hujan emas negeri orang, hujan batu negeri sendiri baik lagi negeri sendiri.” Puan Norma cuba berperibahasa.
            “Amboi siap berperibahasa kak Long ni,” usik Datuk Zakir. Puan Norma ketawa kcil.
            “Alah, sikit-sikit,” balas Puan Norma. Seketika mereka terdiam menikmati kuih lapis yang dihidang selepas makan malam sebentar tadi.
            “Kamu tinggal sini dululah sementara kerja pembersihan rumah kamu tu siap,” pelawa Puan Norma.
            “Nampak gayanya macam tulah. Rumah tu dah lama kena tinggal. Banyak benda perlu dibersihkan. Ingatkan, mama nak jaga rumah tu. Rupanya terbiar macam tu aje. Dulu sibuk sangat nak berebut,” Datuk Zakir meluahkan rasa tidak puas hatinya. Dia sangkakan ibu tirinya, Puan Marni akan menjaga rumah peninggalan arwah ayahnya, Haji Basri. Rupanya, rumah itu langsung tidak dipedulikan. Malah, terbiar begitu sahaja.
            “Tak tahulah Kir. Kak Long pun tak faham dengan mama tu.” Balas Puan Norma. Dia malas mahu memberi komen. Memang dia sedia maklum perbalahan antara adiknya dengan ibu tiri mereka yang entah bila akan berakhir.
            “Kak Long ada jumpa dia ke?” Tanya Datuk Zakir lagi.
            “Last sekali, Kak Long jumpa dia masa majlis pelancaran produk kecantikan dia yang terbaru tahun lepas. Lepas tu, memang tak ada dah,” terang Puan Norma.
            “Hmm,” itu sahaja reaksi Datuk Zakir. Dia menghirup baki air teh di dalam cawannya.
            “Wah, kuih lapis! Lama tak makan,” Datin Nora yang baru muncul dari bilik mengambil tempat disebelah Datuk Zainal. Selepas makan malam tadi, dia masuk ke bilik sebentar. Datin Nora teruja melihat kuih lapis. Sudah lama dia tidak merasa keenakan kuih tradisional Melayu itu.
            “Makanlah Nora. Kak Long tahu kamu berdua suka. Sebab tu, Kak Long buat.” Kata Puan Norma sambil tersenyum. Datin Nora mengangguk sambil merasa kuih lapis tersebut.
            “Mana Hana dengan Ian?” soal Datin Nora apabila kelibat Ian Rafiq dan Hana tidak kelihatan.
            “Ian bawak Hana pergi studio gambar dia dekat Ampang tu. Beriya-iya betul budak Hana tu mengacau Ian. Tak tahu penat agaknya. Macam tak boleh tunggu esok,” rungut Datuk Zakir. Kadangkala pening dengan karenah anak daranya itu. Umur sudah 24 tahun, tetapi perangai seperti budak-budak.
            “Biarlah Kir. Orang muda memang macam tu,” kata Puan Norma.
            “Bukan apa Kak Long, Hana tu anak manja. Semua benda yang dia nak dia dapat. Sebab tu yang besar kepala tu,” tambah Datuk Zakir.
            “Anak tunggal memang manjalah. Ian tu pun sama. Mujurlah, lepas abang Aziz meninggal dia tak pernah buat perangai. Alhamdulillah, dia anak yang mendengar kata,” Puan Norma tersenyum mengenangkan anak tunggalnya itu. Dia seorang ibu tunggal. Selapas kematian suaminya. Aziz segala tanggungjawab menjaga adan mendidik anak terletak di bahunya. Tapi dia bertuah kerana dikurniakan anak sebaik Ian Rafiq yang tidak pernah menyusahkan hatinya sebagai ibu. Ian Rafiq tahu membawa diri.
            “Itulah, Nora tengok pun Ian tu berbudi bahasa budaknya. Bila nak dapat menantunya Kak Long?” Tanya Datin Nora.
            “Menantu apanya? Ian tu bukan ada calon lagi. Puas dah Kak Long suruh dia kahwin, macam-macam alasan dia bagi. Tak jumpa calon lagilah, tak bersedialah. Tak tahulah budak tu,” balas Puan Norma.
            “Kalau macam tu, apa kata kita satukan saja Ian dengan Hana tu? Diaorang pun nampak sepadan,” entah dari mana idea itu muncul di benak Datuk Zakir.
            “Ish, nak ke si Hana tu?” Puan Norma ragu-ragu. Maklumlah, sekarang ini zaman moden. Bukan zaman dulu di mana ibu bapa bebas menentukan jodoh anak-anak.
            “Nora rasa Hana tak ada masalah sebab dia pun macam suka aje dengan si Ian tu,” jawab Datin Nora yakin. Sebagai ibu, nalurinya dapat meneka perasaan Hana terhadap Ian Rafiq. Setiap kali nama pemuda itu disebut, wajah Hana kelihatan berseri-seri. Malah, anak gadisnya itu paling tidak sabar untuk balik ke Malaysia..
            “Hmm…Kalau dah macam tu kata kamu, kak Long tak ada halangan. Tapi, Kak Long kena bincang dengan Ian dululah,” putus Puan Norma. Dia berharap anak lelakinya itu akan bersetuju dengan perancangan mereka bertiga. Lagipun, Hana pun tiada yang kurang.
            “Kalau jadi rancangan ni, berbesanlah kita.” Datuk Zakir tersenyum gembira. Begitu juga Datin Nora. Puan Norma mengangguk-angguk.

Friday, 21 October 2011

Cinta, Kasih Kita...2

RANIA terjaga daripada tidur. Nafasnya tercungap-cungap bagaikan  baru lepas berlari dalam acara 100 meter. Peluh membasahi muka dan badannya. Dadanya berombak kencang. Seketika Rania menarik nafas sebelum melepaskannya kemudian. Beberapa kali dia beristighfar.
Setelah berasa semakin tenang, Rania bersandar di kepala katil. Mukanya yang berpeluh diraup. Seketika dia menghembuskan keluhan. Fikirannya melayang mengingati mimpi yang mendatanginya sebentar tadi. Mimpi ngeri yang mampu menggugah seluruh system tubuhnya.
Sudah lama dia tidak bermimpi seperti itu. Entah kenapa hari mimpi itu muncul semula? Rania rasa terganggu. Keresahan mula membelenggu fikiran. Tubuhnya terasa menggeletar.
          Rania mencapai telefon bimbitnya yang diletak sebelah bantalnya. Dia melihat jam. Sudah hampir 5 pagi. Rania memutuskan untuk melakukan solat sunat Tahajud. Dia mahu menenangkan jiwanya yang rusuh. Rania ingin memohon kekuatan daripada Allah.
Kekuatan untuk menghadapi semua kekalutan yang melanda dirinya.
           “Ya Allah, sesungguhnya kepadamu ku bermohon kekuatan untuk menghadapi hidupku ini. Tabahkan hambamu ini. Sesungguhnya kepadamu jua tempatku memohon perlindungan Ya Allah,” seluhur hati Rania memohon. Dikala hati menjadi kacau bilau, hanya Yang Maha Esa menjadi tempat mengadu.
            Setelah lama berteleku di sejadah, Rania bangun dan duduk di birai katil. Fikirannya menerawang mengingati kisah hidupnya yang tidak seindah mana. Perasaan rindu mula bertandang. Dia merindui Aliah, ibu saudaranya yang telah 4 tahun meninggal dunia. Rania anak yatim. Mak Usunyalah yang telah memeliharanya sejak kecil.
            Rania tidak pernah mengenal ibu bapanya. Rahman, ayahnya meninggal ketika dia masih dalam kandungan ibunya. Manakala ibunya, Akma menghilang entah ke mana setelah melahirkannya.  Menurut Aliah, ibunya ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja. Rania yang masih kecil ditinggalkan bersamanya kerana Akma mahu menstabilkan hidupnya dahulu sebelum membawa anaknya bersamanya. Namun, selepas beberapa tahun berlalu, Akma langsung tidak menjejakkan kakinya ke kampung. Melawat Rania apatah lagi.
            Pernah juga Aliah cuba mencari Akma di Kuala Lumpur berdasarkan maklumat yang diberi oleh teman-temannya, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, Aliah pulang ke kampung tanpa sebarang hasil. Rania kemudian dijaganya bagai anak kandung sendiri.
            Kepada Aliah, Rania menumpang kasih sayang. Segala suka duka mereka hadapi bersama. Aliah tidak pernah berkahwin. Bukan mudah bagi seorang wanita untuk membesarkan anak tanpa kehadiran seorang suami. Tambah pedih, penduduk kampung tidak menyukai keluarga mereka. Aliah dihina sebagai perempuan murah kerana pernah bekerja sebagai GRO suatu masa dulu.
            Ya, Aliah memang bekas GRO. Namun, ibu saudaranya sudah lama meninggalkan pekerjaan itu dan bertaubat. Aliah juga tidak mahu menyara anak saudaranya dengan wang haram. Biarlah dia bersusah payah, asalkan dia dapat menyuap Rania dengan rezeki yang diberkati Tuhan.
            Rania masih ingat, betapa pedih telinganya menahan hinaan dan cacian daripada orang kampung. Menangis Rania dengan semua tuduhan itu. Aliah yang banyak menasihatinya dan menyuruhnya bersabar menghadapi karenah mereka semua.
            “Jangan menangis sayang. Allah tahu apa yang kita lakukan. Biarlah mereka nak kata apa pun dekat kita. Yang penting kita tahu kita tak bersalah. Selagi kita bersabar, InsyaAllah, Allah akan kurniakan ganjaran kepada kita,” pujuk Aliah apabila Rania menangis setelah diejek kawan-kawannya semasa bermain. Aliah memeluk Rania erat. Dia berharap pelukannya akan dapat menenangkan hati Rania yang masih belum mengerti apa-apa itu.
            Rania menyapu air mata yang mengalir di pipi. Dia benar-benar rindukan Aliah. Baginya Aliah adalah ibu terbaik yang dikurniakan padanya. Pengorbanan Aliah yang membesarkannya tidak mungkin dapat dibalasnya. Kasih sayang yang luhur membuatkan Rania kadangkala lupa Aliah bukan ibu kandungnya.
           Ibu? Rania tidak tahu ke mana ibunya menghilang. Hanya ada seutas rantai yang ditinggalkan bersama Aliah sebelum Akma menghilangkan diri. Juga beberapa keping gambar perkahwinan ibu bapanya. Rania juga tidak terasa mahu mencari Akma. Untuk apa dia menjejak ibu kandungnya itu jika dia tidak diperlukan dalam hidup Akma. Bagi Rania, Akma pasti akan datang mencarinya jika dia masih mengingati yang dia punya anak di kampung. Tetapi sejak dari sebesar tapak tangan hingga ke usia 26 tahun, Akma tidak pernah menunjukkan mukanya. Apa lagi yang boleh Rania tafsirkan dari semua itu?
            Rania terasa sebenarnya. Dia seolah-olah disisihkan oleh ibu sendiri. Aliah pernah menceritakan kisah yang terjadi sebelum kelahirannya setelah Rania mendesak ingin tahu. Aliah keberatan namun diceritakan juga kepada Rania. Menurut Mak Sunya itu, Akma tidak mahu berkahwin dengan Rahman yang hanya bekerja sebagai pesawah di kampung. Baginya, dia layak mencari lelaki yang lebih baik dan kaya. Akma sudah penat hidup susah. Namun, paksaan dari datuk dan neneknya menyebabkan Akma terpaksa akur menerima Rahman sebagai suami.
            Akma selalu memberontak dalam perkahwinannya. Rahman dilayan dengan kasar tetapi ayahnya tetap bersabar dan menelan segala kelakuan buruk Akma. Perangai Akma semakin menjadi-jadi selepas datuk dan nenek Rania meninggal.
            Akma bebas setelah Rahman meninggal akibat dipatuk ular. Ketika itu Rania baru berusia 4 bulan.  Aliah yang bekerja di bandar, dipanggil pulang ke kampung. Akma mahu Aliah menjaga Rania sementara dia pergi ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja. Selepas itulah Akma hilang tanpa khabar berita. Dan, janji Akma untuk menyara Aliah dan Rania hanya tinggal janji. Ibu saudaranya itulah yang berhempas pulas mencari rezeki buat mereka berdua. Rania benar-benar terhutang budi kepada Aliah.
            Kini, Aliah sudah meninggalkannya.  Hilang sudah tempat Rania menumpang kasih sayang. Tiada lagi belaian Aliah yang menenangkan di kala hatinya berduka. Aliah meninggal dunia akibat barah payudara.
            ‘Mak Su, Nia rindu sangat dengan mak Su. Semoga roh mak su di cucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman, Amin,’ doa Rania di dalam hati.
Nia,”panggilan dari Misha mengejutkan Rania dari lamunan yang panjang. Rania hanya tersenyum memandang Misha, sahabat baik yang merangkap rakan serumahnya itu. Misha sedang berdiri di tepi pintu biliknya.
“Pagi-pagi dah termenung panjang?”Misha duduk di sebelahRania.
            “Tak ada la,” Rania cuba menafikan walaupun hakikatnya dia memang sedang termenung  sebentar tadi. Termenung mengenang nasibnya.
“Yalah tu. Aku dah lama berdiri dekat pintu tu. Tapi kau tak sedar pun, itu kau kata tak termenung,”tukas Misha sambil menepuk paha Rania.
“Macam la kau tak kenal aku Sha. Kan termenung tu memang hobi aku,”kata Rania pula.
“Pagi-pagi ni termenung tak baik tau, Nia. Nanti mood kau akan mempengaruhi seluruh hari kau. Seelok-eloknya kau kena mulakan hari kau dengan hati yang ceria. Bukan dengan wajah yang monyok macam ni,” nasihat Misha. Sebagai sahabat, dia tahu kisah hidup Rania dan dia memang bersimpati dengan keadaan gadis itu. Tapi bagi Misha, apa pun masalah yang melanda, hidup perlu diteruskan dengan sebaik-baiknya. Bukan terus menangisi perkara yang telah pun berlaku.
Rania tersenyum memandang Misha. Sahabatnya itu memang baik. Selalu memberi nasihat yang berguna. Malah, sedikit sebanyak keceriaan Misha telah mempengaruhi sikap Rania daripada seorang yang suka menyendiri kepada yang lebih positif.
“Daripada kau duduk mengelamun macam ni, ada baiknya kau ikut aku pergi Masjid India ,” Misha mengemukakan cadangan untuk mereka pada hari minggu itu.
“Nak buat apa?”
“Buat apa lagi. Shopping la. Aku ada barang nak beli sikit,”ujar Misha sambil mengurut wajahnya yang ditekap dengan topeng muka kecantikan.
“Aku mana dapat gaji lagi,” Rania cuba menolak. Dia masih belum menerima gaji pertamanya. Masih ada baki seminggu lagi. Wang yang ada hanya cukup untuk menampung keperluannya untuk seminggu itu
“Jangan risau. Semuanya aku yang tanggung. Kau cuma teman aku pergi je,” Misha tidak kisah menanggung perbelanjaan Rania untuk hari itu, asalkan sahabatnya itu tidak terus berada dalam kesedihan.
Tak payahlah. Susahkan kau je,” Rania masih cuba menolak. Dia tidak mahu mengambil kesempatan atas kebaikan Misha.
“Tak ada susahnya. Yang susahnya kau ni. Orang nak belanja pun tak nak,”
“Tapi…,”
“Tak ada tapi-tapi, pukul 10 nanti aku nak kau siap. Faham sayang,” balas Misha sambil menarik hidung Rania sebelum berlari keluar ke biliknya. Rania hanya ketawa melihat ulah sahabatnya yang nakal itu .


Baihaqi menggeleng kepala melihat Besheera sedang leka memilih kain ela. Sudah hampir dua jam dia menemani Basheera membeli belah. Namun, baru satu barang yang dapat dibeli. Pening kepala Baihaqi melayan karenah adik bongsunya itu. Sudah hampir beberapa buah kedai kain yang dimasuki mereka, namun satu pun tidak menarik perhatian Basheera. Terang sangatlah, kusam sangatlah, tak cantiklah. Pelbagai alasan yang diberi oleh Basheera. Baihaqi pula hanya mampu bersabar menunggu Basheera.
            Kini, mereka sedang pusing-pusing di kawasan gerai-gerai tudung di hadapan Masjid India. Keadaan di situ agak sesak dengan orang ramai yang sibuk membeli belah. Maklumlah, hujung minggu. Pelbagai bangsa juga dapat dilihat di sini.
            “Bila nak habis ni Sheera? Dah dekat dua jam kita kat sini. Sheera tak penat ke?” soal Baihaqi. Dahinya berkerut menahan kepanasan yang terasa membahang.
            “Ala, baru dua jam. Awal lagi ni. Lagipun, Sheera belum jumpa kain yang Sheera nak tu,” balas Basheera. Tangannya membelek tudung yang bergantungan di sebuah gerai di situ. Pelbagai warna dan pilihan. Harganya pula agak berpatutan.
            “Awal Sheera kata? Dah dekat pukul 1 ni tau!” tegas Baihaqi. Basheera mencebik. “Kain apa yang Sheera cari ni? Dah nak habis semua kedai kita masuk, tak akan tak jumpa lagi kot?” sambung Baihaqi.
            “Sebab tak jumpa la yang Sheera dok cari lagi ni. Kain tu nak buat baju untuk majlis kahwin kawan Sheera. Kena la cari yang vogue sikit. Baru menonjol,” Terang Basheera.
            “Bukan Sheera yang jadi pengantin pun. Buat apa nak menonjol sangat?” Baihaqi menyoal lagi.
            “Penting tu. Majlis tu grand tau abang. Mana boleh pakai biasa-biasa. Kalau tidak malulah Sheera ngan kawan-kawan Sheera nanti,” semangat Basheera bercerita. Baihaqi sekali lagi menggeleng kepalanya. Inilah orang perempuan. Hendak ke satu-satu majlis, bajulah yang paling penting sekali. Kena ikut temalah, warnalah, apalah. Leceh betul! Baihaqi mengomel di dalam hati.
            “Kalau iya pun, tak akan sampai dua jam kat sini tak dapat-dapat lagi? Abang dah penat ni,” bentak Baihaqi. Tertekan betul dia bila terpaksa mengikut Basheera ke sana-sini sejak awal pagi tadi. Kalau bukan kerana arahan ibunya, mungkin sekarang ini dia sedang selesa menonton tv  di rumah. Ataupun sedang bersedia menghadap makan tengah hari. Aduh, laparlah pula. Baihaqi memegang perutnya.
            “Kejap aje lagi. Please…,” Basheera buat muka simpati. Baihaqi mencemik. Dia tahu bila Basheera sudah mula merayu pasti dia akan mengalah. Basheera memang tahu kelemahannya itu.
            “Yalah, yalah. Abang bagi masa lagi setengah jam. Kalau tak dapat juga, kita balik. Abang dah lapar ni. Silap-silap dengan Sheera abang makan nanti,” Baihaqi berkata garang.
            “Yes bos,” Basheera mengangkat tabik sebelum ketawa kecil. Dia menarik Baihaqi mengikutnya ke kedai-kedai kain yang terdapat di situ. Baihaqi hanya menurut langkah adiknya itu.
            Baihaqi memerhati kawasan Masjid India itu sementara menunggu Basheera memeilih kain. Dia tidak mahu masuk campur bab-bab mencari kain yang memang bukan kepandaiannya itu. Ketika itu, matanya bagai ditarik ke satu arah. Susuk tubuh yang sedang melangkah di depannya di amati.
Rania!
Baihaqi menggosok matanya beberapa kali. Dia mahu memastikan apa yang dilihatnya. Gadis itu terus melangkah di dalam kesesakan pengunjung di situ. Baihaqi melangkah mengekori gadis itu yang agak jauh di depannya.
“Rania,” panggil Baihaqi sambil kakinya cuba dilajukan kea rah gadis itu. Hiruk pikuk orang ramai menyebabkan suaranya tenggelam. Sekali lagi Baihaqi memanggil.
BUM!
Plastik kain berselerak di jalanan. Baihaqi berlanggar dengan seorang perempuan India. Bagai Murai tercabut ekor perempuan itu memarahi Baihaqi.
“Dey, mata mana letak? Besar-besar ini macam pun tarak nampak ka? Jalai pakai lutut ka?” Bebel wanita India itu. Baihaqi meminta maaf sambil mengutip kembali plastik-plastik yang bertaburan itu.
“Sorry auntie,” kata Baihaqi sambil kepalanya tercangak-cangak mencari bayangan gadis tadi. Gadis itu sudah tiada.
“Minta maaf pun tarak ikhlas. Tak tau mana tengok,” Wanita India itu masih belum puas memarahi Baihaqi.
“I’m Sorry Auntie. Truly sorry. I tak nampak you tadi. Banyak sorry arr…,” Baihaqi menyerahkan plastik kepada wanita itu. Beg plastik itu ditarik kasar sebelum dia berlalu dari situ. Baihaqi angkat bahu. Dia kemudian memandang ke arah gadis itu pergi sebentar tadi. Baihaqi tahu sukar untuk dia mencari gadis itu dalam kesesakan sebegini. Apatah lagi, kawasan ini begitu luas. Lagipun, belum tentu gadis itu Rania.
“Abang!” Basheera menepuk bahu Baihaqi yang mengelamun. Baihaqi tersentak. Dia tersenyum kelat. “Apa yang abang buat berdiri dekat sini? Mengelamun pulak tu. Puas Sheera cari abang,” soal Basheera. Puas dia mencari Baihaqi yang tiba-tiba hilang. Panggilan yang dibuat ke telefon bimbit Baihaqi juga tidak berjawab.
“Tak ada apa. Tadi abang macam nampak kawan. Tu yang abang datang sini tu,” jawab Baihaqi.
“Jumpa ke kawan abang tu?” Basheera masih belum puas menyoal.
“Tak pun. Salah orang,” Baihaqi sengih.
“Lain kali, cakaplah dulu nak pergi mana. Penat Sheera cari. Call pun tak jawab. Ingat abang dah kena kidnapped. Buat takut orang aje,” bebel Basheera.
“Sorry, tak buat lagi,” Baihaqi mangangkat tangan kanannya seperti berikrar. Basheera menjeling. “Dah siap beli?”
“Dah. Jom balik. Tadi kata lapar sangat,” balas Basheera sambil melangkah. Baihaqi mengekori dari belakang. Sambil melangkah dia menoleh ke arah tadi, berharap Rania ada di situ. Tapi dia tetap hampa.


Langkah Rania terhenti. Dia menoleh ke belakang. Dia seakan-akan terdengar suara memanggil namanya.
            “Kenapa Nia?” Tanya Misha bila Rania tiba-tiba berhenti.
            “Tak ada apa-apa cuma rasa macam ada orang panggil,” jawab Rania. Dia masih lagi tertoleh-toleh.
            “Perasaan kau je kot? Aku tak dengar pun,” balas Misha. Seperti Rania dia juga mencari-cari sesuatu yang dia sendiri tidak tahu apa.
            “Agaknya kot,” Rania berkata perlahan. Suara itu pernah didengarnya. Lama dulu. Tapi, tak mungkin. Tak mungkin dia, sejenak Rania terdiam.
            “Makcik!” Misha menyentuh lengan Rania. Tersentak gadis itu. Rania tersengih. “Kau mengelamun tak pilih tempat langsung.  Sambil berdiri atas jalan ni pun jadi,” usik Misha. Rania mencubit Misha yang ketawa terkekeh-kekeh.
            “Suka-suka hati kutuk aku,” kata Rania.
            “Yelah, suka sangat mengelamun. Dah la, jom jalan cepat. Banyak lagi barang nak beli ni,” kata Misha sambil menarik tangan Rania.
            “Ada lagi? Dah banyak ni Cik Misha Oi,” Rania mengunjukkan kedua-dua belah tangannya yang penuh dengan beg plastik berisi barang-barang Misha.
            “Aku punya dah siap beli. Sekarang kau punya turn pula,” Misha tersenyum.
            “Aku mana ada duit. Kan gaji aku belum dapat lagi,” terang Rania.
            “Jangalah risau. Kan aku dah cakap. Aku belanja hari ni,” Misha berhenti di gerai cermin mata. Dia mencuba cermin mata di situ.
            “Tak payahlah, Sha. Aku tak perlukan apa-apa. Jom baliklah,” Rania tidak mahu terus termakan budi Misha. Cukuplah Misha sudi menumpangkan dia berteduh tanpa perlu membayar sesen pun selagi dia belum bekerja. Sekarang Misha mahu berbelanja untuknya pula.
            “Kau ni, aku nak belanja pun tak nak,” Misha cekak pinggang. Niatnya ikhlas mahu membelanja Rania. Dia mahu menceriakan Rania yang kelihatan berduka itu. Rania sudah dianggap saudaranya sendiri.
            “Bukan macam tu. Aku betul tak perlukan apa-apa. Sudahlah tambang ke sini pun kau yang bayarkan,” kata Rania.
            “Aku tak kisahlah,” jawab Misha ringkas. Sungguh dia tidak pernah berkira. Bukan sahaja dengan Rania, tapi dengan sesiapa juga.
            “Aku tahu. Cik Misha memang baik hati. Sebab tu Abang Alif sayang tu,” usik Rania merujuk kepada teman lelaki Misha. Tersengih gadis itu dibuatnya.
            “Kau memang pandai ubah topik kan?” kata Misha kemudian. Rania angkat bahu sambil tersengih. “Kalau dah macam tu kata kau, aku ikut aje. Jom kita pergi makan. Kali ni aku belanja,” Rania mahu berkata sesuatu sebelum dipintas oleh Misha. “ Please don’t say anything!” arah Misha. Rania tergelak.
            “Yalah,yalah. Jom cepat,” kata Rania sambil melangkah meninggalkan Misha yang kelam kabut mengekorinya.