RANIA menarik nafas dalam-dalam sebelum dilepaskan
kemudiannya. Uratnya yang seakan bersimpul diregangkan. Sepagi duduk menghadap
komputer membuatkan dia terasa keletihan. Matanya kemudian menatap jam di
dinding. Sudah hampir pukul 1 petang.
Patutlah
badannya terasa lenguh-lenguh. Rupa-rupanya sudah hampir 5 jam dia menumpukan
perhatian terhadap kerjanya tanpa henti.
Sekarang sudah pun hampir masuk waktu makan tengah hari.
Fikirannya
tiba-tiba melayang mengingati Ian Rafiq. Sudah hampir 2 minggu sejak
pertemuannya dengan pemuda itu. Janjinya Ian Rafiq akan menghubunginya untuk
memulangkan gelang tangannya itu, namun langsung tiada khabar berita sehingga
kini. Mungkinkah lelaki itu menipunya? Hmm, entahlah, dia sendiri tidak punya
jawapannya. Yang pasti dia teringin untuk mendapatkan semula gelang
kesayangannya itu. Gelang tanda cinta.
Uh! Tanda
cinta? Agaknya bagaimana kalau Baihaqi tahu yang dia masih memakai gelang itu
sedangkan berbakul-bakul penafian dibuat tentang perasaannya terhadap lelaki
itu. Di mulut tak suka sedangkan di hati cintanya tidak pernah berubah walau
bertahun dia mencuba untuk membuangnya.
Sedang dia
mengelamun, telefon bimbitnya berbunyi. Ada mesej masuk. Pantas dia membuka
peti masuk. Pengirimnya tidak dikenali.
Berhenti dekati Baihaqi. Dia milik aku.
Rania kerut
dahi. Siapa pula yang mengirim SMS ini? Mengaku Baihaqi adalah miliknya. Betul
ke? Rania terasa sesuatu di hati. Hatinya walang tiba-tiba.
Akhirnya dia
mengeluh. Memang beginikah nasibnya bila jarak dengan Baihaqi semakin dekat.
Ada saja yang tidak suka. Ada saja yang memberi amaran. Yang paling menyakitkan
hati, pengirim ini tak sedar ke bukan dia yang mendekati Baihaqi, bahkan hal
sebaliknya yang berlaku. Berkali dia menolak, tapi Baihaqi tidak pernah lelah
mengejarnya. ‘Cinta Hatinya’ itu sentiasa berusaha memenangi hatinya semula.
Dia tahu itu. Mahu saja dia melafazkan rasa kasih yang bersarang di jiwanya
pada Baihaqi, tetapi dia sedar, semua itu tidak semudah yang difikirkan. Banyak
halangan yang menanti. Malah, sekarang ada masalah lain pula yang timbul.
Hampir satu syarikat mengetahui yang Baihaqi cuba memikatnya. Dia jadi malu
pula dengan kawan-kawan. Namun apa yang mampu dia lakukan? Pekakkan telinga dan
teruskan kerja seperti biasa.
Ikut hati,
dia mahu saja berhenti kerja,. Biar dia pergi jauh dari semua ini. Tapi, bukan
senang mahu mendapatkan perkejaan pada masa sekarang. Berapa ramai yang
menganggur walaupun bergelar graduan. Dia boleh dikira sangat bernasib baik
diterima bekerja di Sutera Holding.
Akhirnya,
dia masih juga di sini.
Sakitnya
hati! Bentak Rania. Entah siapa yang mengirim SMS ini. Mahu saja dia mendail
nombor itu dan menyatakan dia tidak mahukan Baihaqi tapi untuk apa? Buang masa
saja melayan SMS itu. Langsung tidak berfaedah. Lantas mesej itu dipadamkan.
“Nia, jom
pergi makan. Dah lunch time,” Ajak Sharifah. Dia tercegat di depan Rania.
Dipandang wajah cemberut gadis itu. “Kenapa pulak dengan kau ni? Macam siput
sedut je muka tu.” selamba Sharifah mengutuk.
“Tak ada apa
la. Perut aku masuk angin. Tu muka aku macam ni.” Rania berselindung.
“Aik, tak
akan masuk angin muka macam tu sekali. Aku tengok macam tension je,” Sharifah
serkap jarang.
“Betullah.
Perut aku sakit sangat. Jom pergi makan cepat.”Rania mencapai beg tangannya dan
,menarik tangan Sharifah. Malas dia mahu terus bersoal jawab dengan minah gosip
itu. Nanti entah apa pulak berita yang tersebar. Dia sudah cukup penat dengan
semua yang dilaluinya sekarang!
KAFETARIA
yang terletak di tingkat bawah bangunan Sutera Holding kelihatan sibuk.
Kebanyakan pekerja di syarikat itu lebih suka membeli makanan yang disediakan
di kafe itu daripada makan di luar. Makanan yang dijual juga sedap dengan harga
yang berpatutan.
Rania dan
Sharifah memilih tempat duduk di sudut tepi kafe itu. Niza tidak bersama mereka
hari ini. Gadis itu bercuti 2 hari kerana menghidap demam panas.
“Sunyi pulak
bila Niza tak ada kan Nia?” Sharifah menyuap nasi ke mulut. Asam pedas ikan
pari menjadi pilihannya hari ini. Rania hanya tersenyum. Dia tahu pasti
Sharifah merasa kehilangan kerana teman gosipnya tiada. Tetapi, tanpa Niza
memang suasana terasa sedikit suram.
“Sunyilah
sebab kau tak boleh gosip dengan dia kan?” Rania mengusik. Sharifah tersengih.
“Kau ni Nia,
tak baik cakap macam tu tau. Maksud aku, kalau ada dia mesti riuh dengan mulut
dia yang macam murai tercabut ekor tu,” Sharifah ketawa mengekeh.
“Eii, kutuk
kawan sendiri.” Rania juga tergelak. “Murai-murai pun, dia juga yang kau cari
bila nak meluahkan perasaan, betul tak” sambungnya.
“Ala, dia
aje yang memahami aku,” Sharifah memuji pula. Rania hanya geleng kepala.
Kadang-kadang kelakar dia melihat telatah Niza dan Sharifah. Kalau hilang salah
seorang, mesti seorang lagi macam kucing hilang anak saja rupanya. Kalau dengan
Rania, mereka jarang bergosip kerana tahu Rania tidak suka ambil pusing hal
orang lain. Penat saja bercerita dengan orang macam itu.
Seketika
mereka terdiam sambil menumpukan perhatian kepada makanan masing-masing. Hanya
sesaat sebelum dikejutkan dengan salam dari seseorang yang hampir-hampir
membuatkan Rania tercekik.
Sharifah
menjawab salam dengan senyuman manis di bibir. Hanya Rania yang masih
mendiamkan diri.
“Berdua aje
ke?” soal Baihaqi. Matanya tertumpu ke arah Rania yang hanya menundukkan
wajahnya.
“Ha’ah
berdua aje, tuan. Niza cuti hari ni. Syak pun entah ke mana perginya.” Ramah
Sharifah bercerita. Rania pura-pura menikmati makanannya walaupun sebenarnya
seleranya telah lama mati apabila Baihaqi tiba-tiba muncul.
“So, can I
join you all?” pinta Baihaqi. PErmintaan itu bagai pucuk dicita ulam mendatang
bagi Sharifah. Namun, tidak bagi Rania. Dia tahu jika Baihaqi menyertai mereka,
pasti ada mulut-mulut jahat yang akan mengatanya selepas ini. Entah mesej apa
pulak yang akan memenuhi telefon bimbitnya nanti.
“Boleh,”
“Tak boleh!”
tukas Rania. Baihaqi dan Sharifah serentak memandang Rania.
“Kenapa
pulak Nia? Biarlah tuan duduk sini.” Bisik Sharifah pada Rania yang duduk di
depannya.
“Err..kami
dah nak habis makan pun,” balas Rania kemudiannya. Sharifah angkat kening.
“Mana ada,
kami baru nak makan tuan,” Sharifah menafikan. Rania menyepak kaki kawannya
itu. Aduh, tak faham pulak minah ni!
“Adoi!”
Sharifah mengaduh.
“Kenapa
Ifa?” soal Baihaqi.
“Kaki kebas.
Semut-semut,” jawab Sharifah spontan. Baihaqi yang masih berdiri di situ, kerut
dahi. “Duduklah tuan.” Sambung Sharifah kemudian setelah sakit di kakinya reda.
Rania sudah tidak kuasa membantah.
“Thank You,”
Baihaqi tersengih sambil mengambil tempat di sebelah Rania. Merah padam muka
gadis itu menahan malu. Baihaqi menyedarinya, tetapi sengaja dia buat tidak
peduli.
“Err…tuan
tak nak ambil makanan ke?” Sharifah pula terlebih prihatin.
“Saya dah
order makanan panas tadi.” Jawab Baihaqi pendek.
“Order apa?”
“Chiken Chop.” Balas Baihaqi.
“Tengah hari makan
chicken Chop? Kenyang ke tuan?” ramah
Sharifah berbicara. Peluang yang ada digunakan sebaik mungkin. Lepas ini boleh
berlagak dengan Niza.
“Itulah, tekak terasa nak
makan,” Baihaqi tersengih. Sesekali matanya melirik ke arah Rania yang keras di
sebelahnya. Dia berharap agar Rania membuka mulut dan berbual dengannya seperti
mana Sharifah. Namun, harapan sajalah.
“Awak apa khabar Nia?”
akhirnya dia yang memulakan perbualan. Kalau tunggu gadis itu memulakan sampai
esok pun belum tentu dia itu akan membuka mulutnya.
“Baik,” jawab Rania
sepatah.
“Nampak macam tak ada
selera aje? Dari tadi tak luak pun saya tengok,” ujarnya. Bukan dia tidak
nampak sedari tadi Rania menguis makanan di dalam pinggannya.
“Saya okay aje,” Rania
terus menyuap makanan. Ketika itu ada pelayan datang membawa makanan yang dipesan
Baihaqi. Baru sahaja mahu menjamu selera, dia dikejutkan pula dengan satu
suara.
“Haq, kat sini you
rupanya! Penat I tunggu kat sana” Suhaila tiba-tiba muncul di depan mereka.
Kali ini selera Sharifah pula yang mati.
“Sorry. I nampak Sharifah
dengan Rania tadi. So, I decide nak join diorang aje. You pun tak sampai lagi
tadi,” balas Baihaqi tenang sedangkan wajah Suhaila sudah kelihatan merah
menahan marah.
“I lambat sikit you dah
duduk dengan orang lain,” Suhaila seakan tidak puas hati. “How could you,”
Sharifah sudah menyumpah dalam hati. Sakit mata melihat perangai Suhaila.
Macamlah Baihaqi kekasihnya. Rania pula masih seperti tadi.
“Kenapa pulak dengan you
ni? Kan I dah duduk sini. You pun duduklah kat sini. Apa masalahnya?” Baihaqi
sedikit bengang dengan ulah Suhaila yang mengada-ngada. Suhaila hanya berpeluk
tubuh. Dia mengharapkan Baihaqi akan memujuknya.
“Masalahnya I tunggu you
lama tadi. Kenapa tak cakap you dekat sini,” Suhaila menarik muka masam. Yang
sebenarnya dia sakit hati melihat Baihaqi duduk di sebelah Rania. Dia cemburu.
“I’ve already said sorry
right? Tak akan pasal tu pun nak marah? Benda kecik aje kan?” Baihaqi teras
menyesal pula bersetuju makan bersama Suhaila. Entah mengapa hari ini gadis itu
berubah laku. Selalu lemah lembut aje.
Suhaila akhirnya akur. Dia
mengambil tempat di sebelah Sharifah.
“Cik Su makan apa?” Tanya Rania.
Sekadar berbasi-basi.
“Chicken Chop.” Balasnya. “
Eh, sama pula dengan you Haq. Nampaknya, kita ni sehati sejiwa kan Haq?”
Sharifah terasa mual mendengar kata-kata Suhaila. Rania hanya mengangguk.
“Sedap tak Chicken Chop
kat sini Haq? I rasa sikit ok?” belum sempat Baihaqi berkata apa-apa, Suhaila
terlebih dahulu mencapai garpu di tangan Baihaqi dan memasukkan daging ayam ke
dalam mulutnya. Kemudian dicuit isi ayam dan disuakan ke arah Baihaqi pula.
“Buka mulut Haq,” arahnya
dengan lembut. Mahu tidak mahu Baihaqi terpaksa juga menerima suapan daripada
Suhaila.
Baihaqi menggigit bibir
sambil ekor matanya menjeling ke arah Rania.
Kenapalah Suhaila ni jadi
macam ni hari ni? Baihaqi berbisik sendiri. Sudahlah Rania tidak mahu
melayannya. Sekarang Suhaila pula sengaja menunjukkan gelagat mesra dengannya.
Habislah kau Haq, dia menggeleng.
Rania hanya memerhatikan gelagat Suhaila
dan Baihaqi. Dia tahu Suhaila ada hati terhadap Baihaqi. Malas rasanya dia mahu
terus melayan karenah kedua-dua manusia itu. Hatinya terasa bagaikan dijerut.
Daripada dia makan hati lebih baik dia beredar dari situ secepat mungkin.
“Ifa, kau dah sudah ke?
Jomlah naik,” Rania bangun dan menolak kerusi. Sharifah hanya menurut. Malas
pula dia menonton drama percuma. Getik melihat perangai Suhaila yang menyakitkan
mata. Bukan sahaja mereka, malah orang-orang di sekeliling mereka.
“Okaylah Tuan. Kami naik
dulu,” ujar Sharifah sambil berlalu.
“Dah nak naik dah?” Rania
hanya mengangguk mendengar soalan Baihaqi. Saya tak sanggup tengok awak dengan
Suhaila tu, mahu sahaja dia berkata begitu, namun semua itu hanya bergema di
dalam hati. Mana mungkin dia meluahkan di depan Baihaqi.
“Baik-baik ye,” sambung
Baihaqi. Rania hanya terdiam memandang Baihaqi. Tanpa sedar di bibirnya
terlukis segaris senyuman ikhlas buat Baihaqi untuk pesanannya itu. Di telinga
Rania, dia senang bila Baihaqi sering menitipkan pesanan untuknya.
Dan bagi Baihaqi pula, dia
seolah terpana melihat senyuman itu. Senyuman paling manis pernah Rania
lemparkan setelah mereka bertemu semula. ‘Confirm malam ni, aku mengigaukan si
Rania ni’ sempat dia bermonolog sendiri.
“Ehem,” deheman Suhaila
menyedarkan Baihqi dari lamunan. Rania dan Sharifah sudah berlalu. “Ceria nampak?”
Suhaila menyedari keceriaan di wajah Baihaqi. Cemburunya membakar lagi.
Baihaqi pula terus
tersenyum. Di matanya hanya dihiasi senyuman Rania sahaja kini.
