Saturday, 19 November 2011

Cinta, Kasih Kita...5

Rania mengemaskan pantry setelah selesai makan. Hari ini dia makan tengah hari di pantry saja. Malas pula dia mahu keluar makan di kafe yang terletak di tingkat 1 bangunan Sutera Holding. Sudahnya, dia cuma menjamah makanan yang dibawanya pagi tadi. Boleh juga jimat wang belanja, fikirnya.
            Rania membersihkan pinggan yang digunakan. Sesekali dia merenung tangannya. Gelang pemberian Baihaqi dipakainya semula pagi tadi. Entah kenapa, hatinya teringin benar melihat gelang itu dilengannya.Mungkin kerana hatinya tiba-tiba merindui lelaki itu. Lagipun, tidak salah rasanya dia memakai gelang itusebagai aksesori.           
Baru saja dia mahu melangkah keluar dari pantry, Niza tiba-tiba saja lalu di depannya. Kaget dia seketika. Rania kemudian terus ke tempat duduknya. Dia memerhatikan Niza. Gadis itu kelihatan menuju ke meja Sharifah yang terlebih dahulu  sudah duduk di mejanya. Wajah Niza kelihatan cemas. Rania pula yang tidak sedap hati.
            “Betul Sha. Aku tak tipu. Kak Nor sendiri cakap dekat aku,” kata Niza. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah Sharifah. Seketika dia menarik nafas menghilangkan lelah.
            “Mana Kak Nor tahu. Setahu aku, cerita yang aku dengar versi lain,”tukas Sharifah pula.
            “Kau ni, dah tentulah dia tahu. Kan dia setiausaha Datuk Zainal. Mestilah berita yang keluar dari mulut dia lagi sahih dan benar.” Niza mempertahankan kata-katanya. Rania yang sedari tadi mendengar perbualan mereka terus memasang telinga. Dia pura-pura membuat kerja apabila apabila Syakir melalui tempatnya. Selepas itu, dia kembali menumpukan perhatian pada perbualan antara Sharifah dan Niza.
            “Ish, ni yang aku rasa seram sejuk ni. Kau pun tahukan aku bukan boleh dengar berita macam ni. Mulalah penyakit aku datang,” kata Sharifah. Dia memeluk tubuhnya. Niza kerut dahi.
            “Penyakit? Penyakit apa?” soal Niza pelik. Selama ini, dia tidak pernah tahu Sharifah mempunyai penyakit.
            “Penyakit misteri. Dia cuma jadi dalam keadaan tertentu aje. Contohnya, bila dengar berita macam nilah,” terang Sharifah. Wajahnya serius.
            “Hah? Cuba kau cerita dengan lebih jelas sikit. Aku tak berapa faham,” pinta Niza. Rania yang mendengar dari jauh mula terbayang kisah-kisah yang menyeramkan. Dia telan liur.
            “Macam ni…penyakit aku ni selalu menyerang bila aku bila aku berhadapan dengan lelaki-lelaki kacak tau. Kaki aku akan jadi kejang, nafas aku sesak. Rasa macam nak pengsan time tu jugak. Kemudian terbayang-bayang aku dengan dia orang atas pelamin. Bersanding” Serius Sharifah bercerita. Niza yang mendengar terangguk-angguk. Tetapi cuma seketika sebelum dia mencubit Sharifah kuat.
“Eei…perempuan ni kan. Saja tau nak kenakan aku. Itu penyakit gatal nak kahwin namanya. Tak ada maknanya nak misteri-misteri. Mengada betullah kau ni,” bebel Niza. Geram betul dia bila sedar dia dipermainkan. Sharifah terkekeh-kekeh ketawa. Riuh rendah jabatan itu dibuatnya. Syakir pula hanya tersenyum melihat telatah kedua-dua rakan sekerjanya itu. Rania senyum sendiri. Macam-macam hal! Ingatkan pasal apa tadi.
“Apalah yang kau orang bising-bising ni? Masuk En. Zaidi karang baru tahu,” tegur Rania. Sekadar menghilangkan rasa gementar sebentar tadi. Cuak juga dia dibuatnya apabila mendengar ayat yang keluar dari mulut Niza. Ingatkan kisah hantu atau pencuri. Rupa-rupanya mereka sedang berbual pasal lelaki. Buat suspen betul!
“Sharifah  ni  Nia, aku tengah serius bagai nak rak. Boleh dia kenakan aku.” Niza menarik muncung. Sharifah pula masih lagi dalam tawanya.
“Ala, gurau pun tak boleh.” Tukas Sharifah.
“Aku karate kau nak?” balas Niza pula.
“Tak naklah.  Maaflah, tak akan marah kut?” pujuk Sharifah. Niza senyum akhirnya. Rania menggeleng kepalanya.
“Tapi, apa sebenarnya yang kau orang berdua kecohkan ni? Macam penting aje aku dengar,” soal Rania kemudiannya.
“Kau tak tahu ke berita hangat lagi sensasi kat Sutera Holding hari ni?” Niza angkat kening. Rania menggeleng. “Ketinggalan betul kau ni. Dah heboh satu bangunan ni tau,” sambungnya.
“Yalah, aku memang selalu ketinggalan. Tapi apa bendanya yang hangat sangat ni?” sekalipun dikutuk, Rania masih mahu tahu.
“Kita akan dapat CEO baru minggu depan. Khabarnya anak Datuk Zainal,” terang Sharifah. Rania berkira-kira sendiri. Minggu depan maknanya lagi 2 hari. Hari ini sudah hari jumaat.
“Jadi, apa yang panas sangat tu?” Rania pelik. Tak akan pasal hendak tukar CEO baru, boleh kecoh satu bangunan kot?
“Yang panasnya, anak Datuk Zainal tu hensem gila. Kalau dia jadi CEO dekat sini, mahu gila bayang staff perempuan dekat sini,” giliran Niza pula bercerita. Semangat betul gadis itu.
“Pasal tu aje?” makin keliru Rania dibuatnya.
“Kau tak tengok lagi anak Datuk Zainal tu, Nia. Aku pernah tengok dia beberapa kali masa dia datang sini. Memang hensem sangat. Tiap kali tengok dia mesti aku jatuh cinta,” ujar Sharifah penuh perasaan. Niza mencebik.
“Gatal,” tempelak Niza.
“Biarlah.” Sharifah tidak mahu kalah.
“Apa pun, dia aku yang punya. Kau jangan berani nak masuk line.” Niza memeberi amaran.
“Apa pulak, siapa cepat dia dapatlah,” balas Sharifah selamba.
“Aku dah cop dia dulu,” Niza masih lagi mahu bertelagah.
“Kenapa? kalau kau cop dia, nama kau naik dekat dahi dia ke?” tukas Sharifah.
“Kat dahi tak ada, tapi nama aku tertulis di hati dia,” Niza tersengih.
“Muntah darah aku mendengarnya,” Sharifah pura-pura mahu muntah mendengar kata-kata Niza. Rania dan Syakir hanya memerhatikan perang mulut Niza dan Sharifah. Mereka sudah faham sangat perangai Niza dan Sharifah yang suka bertengkar. Kadang kala mereka bertelagah mengenai perkara yang langsung tidak berkepentingan kepada mereka. Contohnya, perkara seperti ini. Mereka berebutkan CEO baru yang belum masuk bekerja pun di Sutera Holding. Malah belum tentu memandang mereka. Tetapi, Rania sudah sedia maklum, Niza dan Sharifah hanya gaduh-gaduh manja. Sekejap saja mereka akan berbaik semula. Mana boleh bergaduh lama-lama. Nanti hilang geng hendak bergosip.
“Apa nama CEO baru tu kak?” Syakir yang diam dari tadi tiba-tiba menyampuk. Sengaja dia bertanyauntuk menghentikan perang mulut antara dua rakan sekerjanya itu.
“Nama dia…”belum sempat Niza menjawab, Encik Zaidi tiba-tiba muncul. Suasana yang riuh sebentar tadi terus sunyi. Mereka semua kembali meneruskan kerja masing-masing. Persoalan tentang CEO baru itu dibiarkan begitu sahaja.
Tiba-tiba telefon bimbit Rania berbunyi. Dia melihat nama di skrin. Misha!
“Assalamualaikum Misha,” Rania memberi salam. Kedengaran Misha menjawab salam di sebelah sana.
“Nia, malam ni jom tengok wayang,” ajak Misha.
“Cerita apa?” soal Rania. Kalau tengok wayang pun seronok juga. Sudah lama dia dan Misha tidak melakukan aktiviti itu.
“Aku Bukan Tomboy. Kita tengok dekat Mid Valley. Nak tak?” kata Misha pula. Rania terdiam seketika.
“Boleh juga,” jawab Rania ringkas.
“Kalau macam tu, kita jumpa dekat Mid Valley pukul 8 malam ni. Tayangan pukul 8.45,” Misha menerangkan serba sedikit. Rania berfikir sejenak. Maknanya selepas habis waktu kerja, dia perlu terus ke Mid Valley. Misha akan menunggunya di sana. Rania sempat berpesan supaya Misha membawa topi keledar bersama. Misha baru membeli sebuah skuter. Jadi, dia akan pulang bersama temannya itu nanti. Setelah persetujuan dibuat, talian diputuskan. Rania mula fokus terhadap kerjanya semula.  Dia mahu menghabiskan kerjanya sebelum bergerak pulang nanti.


Ramai betul manusia di Golden Screen Cinemas(GSC), Mid Valley Megamall. Kebanyakkannya sedang meneliti filem-filem yang ingin di tonton sebentar lagi. Rania dan Misha memandang kaunter tiket. Panjang betul  barisan manusia yang sedang beratur untuk mendapatkan tiket.
            “Ramainya Misha. Jenuh nak beratur,” kata Rania. Misha mengangguk setuju.
            “Itulah. Ramai sangat. Tapi aku nak tengok jugak filem tu. Shaheizy Sam berlakon tu,” ujar Misha pula. Sudah lama dia menunggu filem ini keluar di pawagam. Tidak mungkin dia akan melepaskan peluang untuk menonton cerita itu malam ini.
            “Barisannya panjang sangat.” Rania mencemik.
            “Panjang pun panjang la. Aku tetap nak tengok. Kalau kau malas nak beratur, kau tunggu sini. Biar aku aje yang pergi. Lama-lama tunggu nanti makin panjang pulak barisan tu. Tapi, Kalau nak pergi mana-mana, jangan lupa mesej aku” pesan  Misha sebelum mula bergerak ke kaunter. Rania pada mulanya mahu mengikut Misha. Tetapi, dia rasa malas pula mahu tercongok menunggu giliran. Lebih baik dia berjalan-jalan cuci mata dahulu sementara Misha mendapatkan tiket. Boleh juga menghilangkan kebosanan.
Rania menyusuri jalan di tingkat 3 bangunan Mid Valley itu. Banyak kedai-kedai serta tempat-tempat berhibur yang terdapat di situ. Ada galactic Laser, Holiday Planet dan macam-macam lagi. Sesekali dia menaip mesej kepada Misha bertanya sama ada temannya sudah selesai membeli tiket atau belum. Gilirannya masih belum sampai. Rania memutuskan untuk masuk ke dalam PET World, kedai haiwan peliharaan yang terdapat di situ.
Rania memang meminati haiwan peliharaan seperti kucing dan arnab. Namun, Misha melarangnya memelihara haiwan itu kerana keadaan rumah mereka yang kurang sesuai. Lagipun, Misha alah dengan bulu kucing. Puas bermain dengan haiwan di situ, Rania keluar untuk mencari Misha. Namun, mesej Misha yang mengatakan dia masih belum selesai dengan urusan membeli tiket membuatkan Rania membatalkan hasratnya.
“Lambatnya,” rungut Rania. Malas berdiri lama-lama, Rania bergerak tanpa tujuan sambil melihat telatah manusia dalam suasana yang hiruk pikuk begini.
Dalam kelekaan menikmati pemandangan di situ, matanya tiba-tiba tertancap pada seseorang yang sedang duduk di dalam Restoran makanan segera Mc Donald. Dia menggosok-gosok matanya untuk memastikan dia tidak bermimpi. Benar! Dia tidak bermimpi. Lelaki itu Baihaqi!
            Rania mengukir senyuman. Hatinya bergetar hebat. Jantungnya juga berdegup kencang. Wajah itu sudah lama dirinduinya. Kakinya di atur laju untuk mendekati Baihaqi yang duduk berseorangan di dalam restoran itu. Hajat hati mahu melihat Baihaqi dan mengetahui perkembangan lelaki itu.
            Saat dia semakin hampir, pintasan satu suara tiba-tiba menghentikan langkahnya. Dia kaku seketika.
            “Ingat Nia, kau tak boleh ada sebarang hubungan dengan Haq. Kau dah janji dengan aku kau akan jauhkan diri dari dia. Kalau kau mungkir janji, kau tahulah balasannya!” Suara Soffiya yang memberi amaran terngiang-ngiang di telinganya. Rania menunduk. Kepedihan mula terasa di sudut hati. Kegirangan yang singgah sebentar tadi telah berlalu pergi. Dia mahu mendapatkan Baihaqi tetapi dia terikat dengan janjinya sendiri.
            Rania cepat-cepat berpusing ke belakang. Dia tidak mahu Baihaqi sedar akan kehadirannya di situ. Yang pasti, dia mahu mendapatkan Misha dan mengajak gadis itu pulang segera. Tidak betah dia untuk terus berada di situ.
Kelam kabut Rania melangkah. Orang yang semakin ramai menyukarkan langkahnya. Sesekali dia berkalih ke belakang melihat Baihaqi. Dan, akhirnya dia terlanggar seorang lelaki.
“Auch!” Rania menjerit.
 Perlanggaran itu agak kuat.  Rania membuka matanya yang dipejam semasa perlanggaran berlaku tadi. Merah padam wajahnya apabila menyedari dia sudah berada di atas badan lelaki itu. Malah, lelaki yang dilanggarnya itu sedang galak merenung wajahnya. Cepat-cepat Rania bangun. Malu betul dia dibuatnya. Malah, orang ramai yang tersenyum-senyum melihat peristiwa itu membuatkan Rania mahu bertukar menjadi halimunan ketika itu juga. Tidakk tahu mana nak letak muka.
“Maafkan saya,”ucapnya. Lelaki itu juga turut bangun. Dia membetulkan pakaiannya.
“Tak apa,” balas lelaki itu ringkas.
Rania tidak menunggu lama. Dia terus pergi dari situ.  Lelaki itu termanggu-manggu. Tidak tahu apa yang mengganggunya. Dia memerhati Rania, sehingga gadis itu hilang dari pandangan. Wajah cemas Rania ternyata melekat dalam kepalanya.
Ian Rafiq menampar pipinya perlahan. Seketika dia tersenyum. “Apa yang dah jadi dengan kau ni Ian,” katanya sendiri. Sesaat kemudian Ian Rafiq baru tersedar. Ada sesuatu pada lengan bajunya. Dia memerhatikan benda itu dengan teliti. Terdapat gelang tangan yang tersangkut pada lengan bajunya.
Gelang yang tersangkut itu ditanggalkan. Ian Rafiq meneliti gelang tangan perak itu. Pasti gelang ini milik gadis itu. Gelang itu tersangkut semasa mereka berlanggar tadi. Sekali lagi dia tersenyum. Entah kenapa, Ian Rafiq merasakan ada sesuatu yang akan terjadi antara mereka. Gelang itu disimpan ke dalam poket bajunya.
“We will meet again.”ujarnya perlahan. Dengan senyuman yang masih bersisa di bibir dia mengatur langkah destinasinya.

Monday, 14 November 2011

Cinta, Kasih Kita...4

“KAHWIN ma?” Baihaqi kerut dahi.
“Yalah, kahwin. Kenapa yang kerut dahi macam tu sekali?” Datin Afifah yang sedang menggembur baja di taman mininya pula bercekak pinggang. Geram melihat reaksi Baihaqi begitu. Baihaqi tersengih. Dia meneguk air yang sudah dihidangkan oleh Mak Ara, pembantu rumah mereka.
“Haq tak sedia lagi lah mama,” ringkas jawapan Baihaqi.
“Bila mama suruh kahwin asyik tak sedia aje. Sampai bila nak sedia ni? Haq tu dah 28 tahun tahu,” tegas Datin Afifah seketika sebelum dia kembali meneruskan kerjanya tadi.
“Ala mama, baru 28. Muda lagi,”tukas Baihaqi. Malas benar dia mahu bercakap mengenai topik yang satu ini.
“Habis tu, nak tunggu dah tua kerepot baru nak kahwin? Umur 28 tu memang sedang eloklah kalau nak berumahtangga,” sela Datin Afifah lagi.
“Haq tak jumpa calon lagilah mama,” Baihaqi cuba berdalih walhal calon yang dicari entah di mana berada. Mungkin juga sudah beranak pinak.
“Itulah, dulu si Soffiya tu ada, Haq tak nak. Gedik la, tak masuk hatilah. Tengok sekarang dah bertunang pun budak tu. Tak lama lagi dah nak kahwin. Kalau Haq terima dia dulu, mesti mama tengah timang cucu dah sekarang,” balas Datin Afifah. Sakit hati betul dia dengan perangai Baihaqi yang degil. Sejak dulu lagi dia sudah berkenan dengan Soffiya, anak kawan baiknya. Malah, dia sudah berangan memasangkan Baihaqi dengan Soffiya apabila anaknya itu tamat belajar. Namun, Baihaqi menolak mentah-mentah cadangannya. Soffiya yang patah hati dengan Baihaqi pula mengambil keputusan bertunang dengan teman sekampusnya.
“Kalau dengan Soffiya tu, tak kahwin pun tak apalah mama.” Baihaqi mencemik. Terbayang wajah Soffiya yang menjengkelkan hatinya. Sejak zaman sekolah sampai ke dewasa, gadis itu tidak pernah lelah mengejarnya. Baihaqi juga sudah puas menerangkan kepada Soffiya yang dia langsung tidak ada perasaan pada gadis itu. Namun, ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, Soffiya tidak pernah mahu memahaminya. Dan, bila Datin Afifah menyampaikan berita pertunangan Soffiya, Baihaqilah orang yang paling gembira sekali. Gembira kerana dia tidak akan diganggu gadis itu lagi. Begitupun, jauh di sudut hati dia tetap ikhlas mendoakan kebahagiaan gadis itu.
“Kenapa pulak? Mama tengok Soffiya tu tak ada yang kurang. Cantik, baik budi bahasanya. Belajar pun tinggi. Apa lagi yang tak kena pada dia?” Datin Afifah mengambil tempat bersebelahan Baihaqi.
“Dia memang tak kurang apa-apa, ma. Tapi, Haq  tak mampu nak bagi hati Haq dekat dia. Antara kami memang tak ada aura, tak serasi," ujar Baihaqi.
“Dah tu, cepat-cepatlah bawa balik perempuan yang boleh bagi aura tu. Mama ni dah tak sabar nak terima menantu,” gesa Datin Afifah lagi. Entah kenapa keinginan untuk bermenantu begitu menggebu.
“Nak bawa balik macam mana? Jumpa pun belum,” balas baihaqi.
“Kalau susah sangat, biar mama aje yang cari. Haq tinggal pilih aje. Macam mana?” Datin Afifah mengemukakan cadangan pula.
“Tak naklah mama. Biar Haq cari sendiri aje. Okay mama?” kata Baihaqi. Biar Datin Afifah yang carikan? Memang dia cari nahas. Nanti entah perempuan apa pulak yang dijadikan calon. Cukuplah kes Soffiya dulu.
“Mama nak tolong Haq aje. Ikut suka Haqlah.” Datin Afifah kecil hati. Dia bangun dan menyambung semula kerjanya tadi. Baihaqi menggaru kepalanya yang tidak gatal. Ibunya sudah merajuk. Baihaqi ikut bangun. Dia memeluk mesra bahu Datin Afifah.
“Mama janganlah merajuk. Sorry okey,” pujuk Baihaqi. Datin Afifah masih mendiamkan diri. “Okey, mama boleh carikan calon untuk Haq.” Baihaqi akhirnya mengalah. Dia tidak mahu ibunya terus berkecil hati dengannya. Datin Afifah tersenyum juga akhirnya. “…tapi dengan syarat,” tambah Baihaqi.
“Ada syarat pulak. Apa dia?” soal Datin Afifah.
“Semuanya mestilah lepas Haq dah stabil dengan kerja dekat Sutera Holding,” jelas Baihaqi menyatakan syaratnya.
“Lambat lagilah tu,” rungut Datin Afifah.
“Mama, minggu depan Haq dah nak join Sutera Holdinga. Haq nak fokus dengan kerjaya Haq dulu. I want to give the best for the company and make papa proud. Lepas tu, mama nak cari menantu ke apa ke, it’s all up to you. Bolehkan mama?” lembut Baihaqi menuturkan ayat. Dia benar-benar berharap Datin Afifah memahaminya. Memang dia mahu mencurahkan bakti di Sutera Holding dahulu. Mahu meneruskan legasi yang dibina bapanya. Malah, masih banyak yang perlu dipelajarinya dalam hal pengendalian syarikat. Pengalaman yang ada masih terlalu cetek jika mahu dibandingkan dengan tanggungjawab yang bakal dipikulnya nanti.
“Okay. Mama akan ikut syarat Haq, tapi bila sampai masanya Haq pula kena ikut cakap mama. Janji?” Baihaqi mengangguk tanda akur. Datin Afifah senyum lebar.
Baihaqi pula masih berfikir sendiri. Selagi belum tiba masanya, dia akan mencari calon untuk dirinya sendiri. Harapnya, pilihannya akan menepati kehendak orang tuanya. Namun, jauh di sudut hati, dia tetap berharap satu hari nanti dia akan ditemukan dengan insan yang amat dirinduinya. Rania Nafisa!

******************************************************************************
Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup lembut. Terasa segar menyamankan kulit. Sawah yang menghijau pula menyedapkan mata yang memandang.
            “Nia.” Rania yang sedang ralit membaca novel mengangkat muka. Baihaqi di sebelahnya dipandang penuh makna.
            “Ada apa?” Tanya Rania. Petang-petang begini, mereka sering meluangkan masa bersama. Sekadar mengambil angin di tepi sawah. Tempat ini amat menenangkan.
            “Boleh tak Nia janji sesuatu dengan Haq?” giliran Baihaqi pula mengutarakan soalan.
            “Janji apa?” Rania bertanya kembali. Baihaqi menarik nafas panjang.
            “Janji dengan Haq yang Nia akan kahwin dengan Haq lepas kita tamat belajar nanti,” Baihaqi berkata serius. Rania yang mendengar kata-kata Baihaqi pada mulanya tecengang namun akhirnya dia tergelak kuat. Hairan Baihaqi dibuatnya.
“Kenapa gelak?” Tanya Baihaqi tidak puas hati.
            “Sebab Haq cakap pasal kahwin. Kelakar la,” jawab Rania jujur. Masih ada sisa tawa di bibirnya.
            “Apa yang kelakar?”
            “Haq, kita muda lagi tau. Nia baru tingkatan 4. Haq pun tak lama lagi nak sambung belajar. Masih terlalu awal lagi nak cakap pasal hal ni,” kata Rania. Dia kembali menyambung pembacaannya.
            Haq mengeluh. Banyak benda yang terpendam di dadanya. Dan, akhir-akhir ini, ia semakin menyesakkan. Apatah lagi, dia akan terbang ke luar negara kurang dua minggu dari sekarang.                   
            “Nia…” panggil Baihaqi. Meleret bunyinya. Novel dalam pegangan Rania diambil dan diletakkan di tepi. Baginya, mereka perlu berbicara secara serius. Hati ke hati. “We need to talk,” sambungnya lagi.
Rania yang melihat kelakuan Baihaqi yang berlainan mula gusar. Dia mula memberi perhatian kepada pemuda yang berusia 18 tahun itu.
            “Kenapa ni?” soal Rania lembut.
            “Minggu depan Haq akan ke London, Nia tahukan?” Rania mengangguk. “Kenapa Haq tengok Nia macam tak kisah aje Haq nak pergi sedangkan hati Haq ni rasa macam nak pecah bila fikirkan perpisahan ni,” kata Baihaqi meluahkan perasaanya. Sungguh, dia rasa terkilan melihat Rania seolah-olah tidak peduli dengan pemergiannya.
            Rania merenung Baihaqi. Wajah pemuda itu kelihatan keruh. Sebenarnya, pada hari Baihaqi mengkhabarkan berita yang dia akan ke London, Rania menangis sendirian. Dia benar-benar rasa kehilangan. Kehilangan seseorang yang penting dalam hidupnya selain Aliyah. Pedih rasa hati namun Rania tetap cuba menerimanya dengan hati yang terbuka. Antaranya dan Baihaqi memang saling sayang menyayangi namun masa depan mereka lebih penting dari hati dan perasaan mereka.
            “Haq, jangan cakap macam tu. Nia pun sedih dengan perpisahan ni, tapi semua ni demi masa depan Haq,” terang Rania. Baihaqi bangun dan menghampiri sawah.
            “Haq tahu tapi Haq tengok Nia tak sedih pun. Muka Nia tenang aje macam semua kepedihan ni Haq seorang aje yang rasa,” luah Baihaqi lagi.
            “Tak akanlah Nia nak tayang muka sedih depan Haq. Tapi percayalah, apa yang Haq tanggung, Nia pun rasa yang sama. Malah, mungkin lebih lagi. Tapi, Nia tak nak apa yang Nia rasa ni membebankan Haq. Nia nak Haq pergi dengan hati yang tenang. Belajar baik-baik dekat sana. Cuma…” kata-kata Rania terhenti. Hatinya terasa sebak. “Cuma, Nia harap Haq tak lupakan Nia lepas Haq pergi sana nanti,” balas Rania. Air mata mula membanjiri tubir mata. Ah, perasaan inilah yang cuba dia hindarkan sejak beberapa hari lalu. Perasaan takut akan kehilangang Baihaqi Hatinya sebak. Baihaqi kembali duduk di sisi Rania.
            “Tak Nia. Haq tak akan lupakan Nia. Itu janji Haq. Cuma, Haq takut Nia yang akan lupakan Haq nanti,” Baihaqi menyatakan kebimbangannya.
            “InsyaAllah, selagi Haq ingatkan Nia, Haq akan selalu bertakhta di hati Nia,” Rania menyimpul kata.  
            “Nia akan tunggu Haq kan?” Baihaqi meminta kepastian. Rania mengangguk perlahan. “Janji?” sekali lagi gadis itu mengangguk.
“Janji,” ucap Rania. Baihaqi tersenyum. Dia menyeluk poket dan mengeluarkan sesuatu. “Untuk Nia,” Baihaqi mengunjukkan tapak tangannya. Terbuntang mata Rania melihat seutas gelang perak.
            “Apa ni Haq?” Tanya Rania. Baihaqi tidak menjawab. Dia mencapai tangan Nia dan memakaikan gelang ke lengan gadis itu.
            “Ni tanda Haq dah cop Nia. Gelang ni tanda Nia adalah bakal teman hidup Haq. Haq tak mampu nak beli gelang yang mahal untuk Nia, tapi Haq betul-betul ikhlas dengan Nia. Haq harap Nia tak akan sesekali tanggalkan gelang ni dari lengan Nia,” kata Baihaqi. Rania menyentuh gelang di tangannya. Air mata yang sejak tadi ditahan hangat mengalir ke pipinya. Hatinya bercampur baur. Gembira, sedih, takut, semua ada. Tetapi, melihat kesungguhan Baihaqi, Rania sendiri telah menyimpul azam.
            “Nia janji Nia tak akan tanggalkan,” ikrar Rania.

Rania membuka mata. Kenangan lama kembali menjemput rasa. Gelang di tapak tangannya direnung.  Kisah cinta zaman remaja. Cukup manis untuk dikenang.
Rania sedar dia terlalu banyak berjanji pada masa itu. Terlalu banyak sehingga dia terpaksa memungkirinya. Mungkin dia tidak sepatutnya mengenali dan menyayangi Baihaqi. Dia tidak patut menerima salam perkenalan dari pemuda itu sejak mula lagi. Dia, Rania langsung tidak layak untuk bersama Baihaqi.
Cinta monyet kata orang. Namun, cinta itu jugalah yang telah menjerat dirinya dan Baihaqi untuk berjanji saling setia ke akhir hayat. Perasaan yang membara ketika itu membuatkan mereka tidak pernah berfikir panjang akibat hubungan yang terjalin. Mereka masih terlalu mentah untuk mengetahui ujian yang bakal mereka tempuhi satu masa nanti.  Dan, apabila ujian itu mendatanginya, Baihaqi sudah jauh di bumi lain. Tinggallah dia seorang melawan segala-galanya. Akhirnya, setelah puas mengharungi semuanya Rania tewas juga. Tewas dalam mempertahankan cinta sucinya.
Rania menggengam kemas gelang perak itu. Dia sudah lama menanggalkan gelang itu. Dia nekad mahu memadamkan nama Baihaqi Arasy dari ingatan dan membuang semua memeori yang pernah tercipta antara mereka. Mungkin antaranya dan Baihaqi tidak tersurat untuk melayari hidup bersama. Rania akur.
            Tapi, Rania tersilap. Sejauh mana dia melangkah, ke mana pun dia berlari, bayang Baihaqi tetap mengejarnya. Kadang kala dia lelah untuk menghalang wajah itu dari singgah ke akal fikirannya. Walaupun sudah 10 tahun berlalu, dia tidak pernah berjaya membuang Baihaqi dari lipatan sejarah hidupnya.
            Tapi, dia tahu sehebat mana ingantan dan rindunya pada Baihaqi, segalanya tidak akan sama seperti dulu. Masa telah merubah segalanya. Dia, bukan lagi Rania yang dulu. Dan, kisah cintanya bersama Baihaqi akan tetap tinggal sebagai memori.