“Haaaa….syum..,” Rania mengesat hidung yang berair akibat
terbersin tadi. Dia selesema akibat terkena hujan semalam. Terasa kesal pula
hatinya apabila berjalan dalam hujan. Dah tahu antibodi tu lemah, gatal juga
nak main hujan.
“Hai Nia, kau
dengan Tuan Baihaqi tu memang sehati sejiwakan?” suara Niza bergema di
sebelahnya. Rania menoleh.
“Hmm?”Dia mengangkat kening tanda tidak
mengerti. Ketika ini dia, Niza dan Sharifah sedang menunggu lif ke tingkat atas
setelah selesai menjamu selera. Niza tersengih. Begitu juga Sharifah. “Apa hal
la yang korang berdua tersengih-sengih ni? Dah kena sawan sengih ke apa?”
sambung Rania. Geram pulak dia melihat perangai dua gadis itu.
“Hish, ada
ke sawan sengih?” Sharifah lurus menyoal. Sengihannya yang melebar sebentar
tadi serta merta hilang. Niza tepuk dahi. Rania sudah tarik senyum. Bendul
pulak perempuan ni!
“Kau ni Ifa,
kadang-kadang bengap jugak. Nia main-main aje la,” terang Niza. Sejak bila
pulak si Sharifah ni jadi lurus bendul ni sampai tak boleh beza main-main
dengan kenyataan. Rania geleng kepala.“Tapi Nia, betul apa yang aku cakap tadi.
Kau dengan bos kita tu memang sehati sejiwa tau,” sambung Niza.
“Sebab?”
Rania melihat jam. Lama betul lif ni, bisiknya sendiri.
“Sebab hari
ni kau dengan dia sama-sama tak sihat. Seorang selesema, seorang demam. Memang
dah berjanji ke nak sakit sama?” Niza kenyit mata. Sharifah kembali tersengih.
Sudah lupa dia dengan kisah sawan sengih sebentar tadi.
“Demam? Mana
kau tahu ni?” Rania cuba bersikap selamba tetapi dalam hati hanya Tuhan yang
tahu betapa resahnya dia.
“Aku tahu
la. Kak Nurul, pembantu am dekat department pentadbiran yang beritahu aku. Dia kata hari ni bos kita
tu langsung tak nak jumpa sesiapa. Semua appointment pun kena batal. Aku rasa
teruk jugaklah tu,” balas Niza.
“Tapi, aku
kagum betullah dengan dia. Sakit-sakit pun sanggup datang kerja lagi. Memang
majikan contoh betul,” tukas Sharifah pula.
“Kau jangan
tak tahu Ifa. Penawar dia kan ada dekat sini. Sebab tu sakit-sakit pun sanggup
datang kerja jugak.” Niza ketawa.
“Maksud kau?”
soal Sharifah.
“Hish kau ni
Ifa, lembab betullah. Penawar dia si Rania ni lah. Kan buah hati dia ni,” jelas
Niza. Sharifah mengangguk-angguk. Rania mengetap bibir.
“Jangan nak
merepek yang bukan-bukan pulak. Bila pulak aku jadi buah hati dia? Mengarut aje
korang ni,” Rania cuba menafikan walaupun sebenarnya hatinya rasa tercuit
mendengar kata-kata Niza sebentar tadi. Tapi, cepat-cepat dia menyedarkan
dirinya agar tidak terbuai dengan rasa itu.
“Alah,
sekilas ikan di air, kami tahu jantan betinanya, Nia. Ingat kami tak nampak ke
yang Tuan Baihaqi tu suka dekat kau. Eh, kau dengan dia ada apa-apa ke masa
dulu-dulu?” Niza terus ke soalan yang sering kali berlegar dalam kepalanya
sejak sekian lama. Bukan dia saja, sesiapa pun akan perasan perhatian yang Baihaqi
berikan terhadap Rania.
“Tak ada apalah.
Kan kami dah lama kenal, sebab tu dia baik dengan aku. Janganlah fikir yang
bukan-bukan pulak korang ni. Dengar dek girlfriend dia ke, peminat dia ke,
susah aku nanti,” Apa lagi yang boleh dilakukan selain menafikan spekulasi yang
dibuat Niza. Spekulasi yang sebenarnya mengandungi kebenaran.
“Kalau betul
pun tak salah. Aku lagi suka kau dengan bos kita daripada dia couple dengan Suhaila
gedik tu. Rimas aku tengok asyik nak menyendeng dengan Tuan Baihaqi aje. Macamlah,
Tuan Baihaqi tu layan dia,” Rania menjeling Sharifah. Sudah mulalah sesi mengumpat
tu. Tengah tunggu lif pun jadi.
“Aku pun
sokong” Niza mengangkat tangannya tanda memeberi sokongan penuh.
“Eh, apasal
lambat sangat lif ni?” Rania cuba mengalih tajuk. Makin dilayan makin menjadi
dua orang ni.
“Ha’ahlah. Dah
dekat 4 minit kita tunggu. Kenapa aku tak perasan pun?” kata Niza pula. Macam
mana nak perasan kalau asyik bergosip aje dari tadi, bisik Rania di dalam hati.
Mahu diluahkan takut Niza terasa pula.
Mereka
akhirnya membuat keputusan untuk memanjat tangga. Baru sahaja mahu berlalu ke arah
tangga, pintu lif terbuka. Rania yang
baru sahaja mahu melangkah masuk ke dalam perut lif terhenti apabila melihat
Baihaqi kala itu. Lelaki itu terus melangkah keluar dari lif tanpa menegur
sesiapa.
Rania
sedikit terasa. Selalunya, Baihaqi pasti akan menegurnya sekiranya mereka
bersua muka walaupun dia tidak melayan. Tetapi kali ini, lelaki itu seolah-olah
tidak mempedulikan kehadirannya. Mungkin dia jadi begitu kerana dia tidak
sihat, fikir Rania.
Dia memerhatikan Baihaqi yang kian menjauh
sehingga tidak sedar kawan-kawannya yang lain sudah masuk ke dalam lif.
“Nia, kau
nak masuk ke tak? Dah nampak buah hati terus lupa dunia,” perli Sharifah. Dia dan
Niza akhirnya ketawa. Rania tidak membalas.dalam fikirannya sekarang dia tahu
dia perlu melakukan sesuatu.
“Korang naik
dulu. Aku ada hal kejap,” ujarnya sebelum terus beredar dari situ.
“HAQ!” panggilan itu membuatkan langkahannya terhenti.
Baihaqi tidak menoleh. Dia tahu suara siapa yang memanggilnya sebentar tadi.
Siapa lagi kalau bukan Rania Nafisa, gadis idaman hatinya itu.
Bukan dia tidak
sedar dengan kehadiran gadis itu di depan lif tadi, tetapi tekanan yang sedang
dihadapinya membuatkan dia tiada mood untuk menegur siapa pun.
“Awak.” Panggil
Rania lembut. Baihaqi tetap tidak menoleh. Rania gusar. Dia memberanikan diri
berdiri di hadapan Baihaqi. Wajah lelaki itu kelihatan pucat. Nampak benar
keletihan. Tanpa sedar, Rania merenung wajah itu.
“Awak
panggil saya sebab nak tenung muka saya aje ke?” Baihaqi menyoal. Nada suaranya
kedengaran hambar. Rania tersedar. Pipinya
terasa pijar mendengar kata-kata Baihaqi. Aduh! Malunya terkantoi merenung anak
teruna orang.
“Emm…tak…,”tergagap-gagap
Rania bersuara. Baihaqi masih menunggu. Kepalanya kian berdenyut-denyut. “Awak
demam ke,Haq?” dengan susah payah Rania bersuara. Apatah lagi apabila wajah
Baihaqi kelihatan serius.
“Saya tak
sihat sikit. Kenapa? Awak risaukan saya ke?” Baihaqi memulangkan kembali soalan
kepada Rania.
“Saya…”
“Oh, saya
lupa. Kenapa pulak awak nak risaukan sayakan? Saya bukan sesiapa dalam hidup
awak.” Baihaqi menjawab sebelum sempat Rania berkata apa-apa. Sinis bunyinya.
Namun, nadanya penuh luka. Rania menahan sebak mendengar kata-kata Baihaqi.
“Haq, jangan
cakap macam tu. Awak majikan saya. Dah tentu saya risaukan awak,” balas Rania.
“Majikan? Itu
aje taraf saya dia mata awak?” Baihaqi menahan perasaan. Ya Allah, jiwanya
semakin remuk mendengar bicara Rania.
“Please Haq.
Saya tak ada niat nak sakitkan hati awak. Saya betul-betul minta maaf dengan
kelakuan saya semalam. Kalau saya tak berjalan dalam hujan, pasti awak tak
sakit macam ni. Tak sepatutnya awak tumpangkan saya semalam. Kalau tak, pasti
semuanya tak jadi,” luah Rania kesal. Dia sekadar mampu memohon maaf sedangkan
dia tahu Baihaqi sebenarnya amat terguris dengan perbuatannya. Sama seperti dia
yang merana kerana cinta pada Baihaqi sentiasa mekar di hatinya.
Baihaqi
tersenyum sinis. “Awak tak perlu risau. Sakit dekat badan ni bukan apa-apa
kalau nak dibandingkan dengan sakit dekat sini.” Baihaqi menepuk dada kirinya.
Suaranya ditahan-tahan. Rania hanya terdiam.
“Lagi satu, jangan menyangkal segala yang
telah ditetapkan buat kita dengan perkataan ‘kalau’ Nia. Sebab ‘kalau’ saya
mampu, saya akan buang perasaan cinta saya pada awak Nia dan ‘kalau’ boleh saya
harap saya tak akan jatuh cinta pun pada awak andai tahu macam ini sekali
sakitnya bila cinta ditolak. Tapi, hakikatnya perkataan ‘kalau’ itu langsung
tak ada maknanya sebab saya tetap inginkan awak dalam hidup saya. Segala yang
berlaku memang telah ditakdirkan untuk kita,” Baihaqi meraup mukanya. Rania
menahan air matanya yang mula bergenang di tubir mata.
“Saya minta
maaf atas segalanya, Haq. Saya benar-benar minta maaf,” tutur Rania. Air
matanya mula tumpah ke pipi. Bagaimana harus aku terangkan segala-galanya pada
dia? Aku juga tidak berdaya.
“Jangan
menangis Nia. Saya tak akan paksa awak lagi. Saya sedar, cinta tak boleh
dipaksa. Mulai sekarang, saya hanya akan doakan kegembiraan awak, Nia. Saya
harap awak bahagia dengan hidup awak,” Baihaqi terus meninggalkan Rania setelah
mengucapkan kata-kata itu.
Rania
memandang Baihaqi dari kejauhan. Kalaulah awak tahu Haq, kebahagiaan awak
itulah kebahagiaan buat saya.
HANA memandang wajah cemberut Ian Rafiq. Lelaki itu masih
belum reda lagi marahnya. Sudah puas
Hana memujuk namun langsung tidak memberi kesan terhadap Ian Rafiq.
“Sudah-sudahlah
marah tu. Tak akan nak terus tayang muka macam tu dekat Hana?” pujuk Hana. Dia memandang
sekeliling restoran Chakri Palace itu. Semakin ramai pengunjung yang datang
memenuhi restoran makanan Thai itu. Wajah Ian Rafiq yang duduk didepannya,
direnung semula.
“Say
something abang Ian. Dari tadi kita datang, abang Ian diam. Dah tak sudi nak
cakap dengan Hana ke?” Hana buat suara sayu. Ian Rafiq mengangkat muka memandang
Hana. Dia masih bengang dengan peristiwa yang berlaku di studio sebentar tadi.
“Kenapa Hana
biarkan Eric buat macam tu tadi? Hana tahukan Eric tu orangnya macam mana?”
Akhirnya Ian rafiq meluahkan perasaanya.
“Hana mintak
maaf abang. Hana tak sangka dia akan buat macam tu dekat Hana.” Balas Hana
kesal. Memang dia kesal dengan Eric, salah seorang pekerja Ian Rafiq. Dia ingat
lelaki itu boleh dipercayai.
Sebentar
tadi, Hana terus mengunjungi studio Ian Rafiq setelah pulang dari pejabat.
Fikirnya dia dapat bertemu lelaki itu setelah hampir 3 minggu Ian Rafiq
terpaksa bekerja di luar Kuala Lumpur. Tetapi, ketika dia sampai hanya Eric
yang ada di studio. Pekerja yang lainnya ada yang sudah pulang dan ada yang
mebuat tugasan luar.
Eric meminta
Hana menunggu Ian Rafiq seketika. Hana akur kerana dia memang benar-benar
merindui Ian Rafiq.
“You know
Hana, you are so beautiful. Bertuah Ian dapat you sebagai girlfriend dia,” puji
Eric. Hana hanya tersenyum. Hatinya berbunga-bunga bila Eric mengatakan dia adalah
kekasih Ian Rafiq.
Setelah menunggu hampir setengah jam, Ian
Rafiq masih belum sampai. Eric akhirnya meminta untuk menjadikan Hana sebagai
modelnya sementara menunggu kehadiran Ian Rafiq. Hana tidak keberatan. Dia
tidak menyangka yang lelaki itu sebenarnya mempunyai niat yang tersembunyi. Eric meminta Hana menukar busana untuk menjadi
modelnya. Ketika Hana sedang membetulkan busananya, Eric menawarkan pertolongan.
Hana hanya membiarkan
“Hana!”
jerkah Ian Rafiq. Hana menoleh. Ketika itu baru dia sedar, Eric sedang cuba
mencium pipinya. Serta merta dia menjauhkan diri dari Eric. Liur ditelan.
“Apa yang
kau cuba buat pada dia Eric?” soal Ian Rafiq. Wajahnya merah padam menahan
marah. Wajah Eric pucat.
“Aku…aku tak
buat apa-apa. Aku Cuma nak tangkap gambar Hana aje,” balas Eric.
“Kau jangan
nak tipu aku Eric. Aku nampak apa yang kau nak buat tadi,” kolar baju Eric dicengkam.
“Relaks la
bro. Aku tak sengajalah.” Eric cuba menenangkan Ian Rafiq. Tangannya menggengam
penumbuk. Satu tumbukan akhirnya dilepaskan ke wajah Eric. Terjerit Hana
dibuatnya.
“Dah la tu
abang Ian. Bawak mengucap.” Hana cuba memujuk. Melihat wajah Ian Rafiq, dia
tahu lelaki itu boleh membelasah Eric dengan lebih teruk lagi.
“Baik kau
pergi dari sini Eric sebelum aku belasah kau. Pergi!” jerkahan Ian Rafiq
menyebabkan Eric yang terlentang akibat pukulan tadi bangun dan lari dari situ.
Setelah Ian
Rafiq bertenang, barulah Hana mengajak lelaki itu beredar dari studio. Sepanjang
perjalanan ke KLCC, lelaki itu langsung tidak bersuara.
“Sepatutnya
Hana call abang bila sampai tadi. Kalau abang tak singgah studio tadi macam
mana? Entah apa lagi yang dibuatnya pada Hana,” tukas Ian Rafiq. Bukan dia
tidak nampak bagaimana Eric menyentuh tubuh Hana tadi. Serta merta panas
hatinya.
“Hana mintak
maaf. Hana pun terlupa nak call abang lepas Eric kata abang on the way ke
studio,” Hana cuba menjelaskan.
“Dia tipu.
Abang langsung tak pesan pada dia yang abang akan ke studio,” Sanggah Ian
Rafiq.
“Habis tu macam
mana abang boleh ke sana?”
“Abang rasa
tak sedap hati. Rupa-rupanya hal ni nak jadi. Mujur abang tergerak hati ke studio.
Hana pun biar aje dia sentuh badan Hana sesuka hati,” Ian Rafiq menyedut
minumannya. Dia cuba meredakan panas dihatinya.
“Dia cakap dia
nak ambil gambar Hana. Manalah Hana tahu dia nak buat perangai macam tu,” Hana membela diri.
“Tu bukan
ambil gambar. Tu ambil kesempatan namanya,” kata-kata Ian Rafiq mengundang
senyuman di bibir Hana. “Orang marah dia senyum pulak.” Ian Rafiq mengerut dahi
melihat ulah Hana.
“Abang ni
marah pun kelakar. Muka pun nampak comel sangat,” Ian Rafiq akhirnya tersenyum
mendengar pujian Hana.
“Pandailah
nak ambik hati abang,” Hana tergelak.
“Hmm, sayang
jugak abang kat Hana ye,” kata Hana sambil merenung Ian Rafiq.
“Mestilah
sayang, Hanakan adik abang,” senyuman di bibir Hana mati mendengar kata-kata
Ian Rafiq. Hana mahu membalas kata-kata
Ian Rafiq namun terhenti apabila telefon bimbit Ian Rafiq berbunyi.
“Hello…Iya
auntie…ada apa?” Hana perasan riak wajah Ian Rafiq berubah cemas. Selepas
beberapa ketika talian diputuskan.
“Hana, kita
balik sekarang.” Suara Ian rafiq cemas.
“Tapi,
kenapa abang?” Hana tidak mengerti.
“Kawan
abang, Baihaqi kemalangan!”
