“KAHWIN ma?” Baihaqi kerut dahi.
“Yalah, kahwin. Kenapa yang kerut dahi macam tu sekali?” Datin Afifah yang sedang menggembur baja di taman mininya pula bercekak pinggang. Geram melihat reaksi Baihaqi begitu. Baihaqi tersengih. Dia meneguk air yang sudah dihidangkan oleh Mak Ara, pembantu rumah mereka.
“Haq tak sedia lagi lah mama,” ringkas jawapan Baihaqi.
“Bila mama suruh kahwin asyik tak sedia aje. Sampai bila nak sedia ni? Haq tu dah 28 tahun tahu,” tegas Datin Afifah seketika sebelum dia kembali meneruskan kerjanya tadi.
“Ala mama, baru 28. Muda lagi,”tukas Baihaqi. Malas benar dia mahu bercakap mengenai topik yang satu ini.
“Habis tu, nak tunggu dah tua kerepot baru nak kahwin? Umur 28 tu memang sedang eloklah kalau nak berumahtangga,” sela Datin Afifah lagi.
“Haq tak jumpa calon lagilah mama,” Baihaqi cuba berdalih walhal calon yang dicari entah di mana berada. Mungkin juga sudah beranak pinak.
“Itulah, dulu si Soffiya tu ada, Haq tak nak. Gedik la, tak masuk hatilah. Tengok sekarang dah bertunang pun budak tu. Tak lama lagi dah nak kahwin. Kalau Haq terima dia dulu, mesti mama tengah timang cucu dah sekarang,” balas Datin Afifah. Sakit hati betul dia dengan perangai Baihaqi yang degil. Sejak dulu lagi dia sudah berkenan dengan Soffiya, anak kawan baiknya. Malah, dia sudah berangan memasangkan Baihaqi dengan Soffiya apabila anaknya itu tamat belajar. Namun, Baihaqi menolak mentah-mentah cadangannya. Soffiya yang patah hati dengan Baihaqi pula mengambil keputusan bertunang dengan teman sekampusnya.
“Kalau dengan Soffiya tu, tak kahwin pun tak apalah mama.” Baihaqi mencemik. Terbayang wajah Soffiya yang menjengkelkan hatinya. Sejak zaman sekolah sampai ke dewasa, gadis itu tidak pernah lelah mengejarnya. Baihaqi juga sudah puas menerangkan kepada Soffiya yang dia langsung tidak ada perasaan pada gadis itu. Namun, ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, Soffiya tidak pernah mahu memahaminya. Dan, bila Datin Afifah menyampaikan berita pertunangan Soffiya, Baihaqilah orang yang paling gembira sekali. Gembira kerana dia tidak akan diganggu gadis itu lagi. Begitupun, jauh di sudut hati dia tetap ikhlas mendoakan kebahagiaan gadis itu.
“Kenapa pulak? Mama tengok Soffiya tu tak ada yang kurang. Cantik, baik budi bahasanya. Belajar pun tinggi. Apa lagi yang tak kena pada dia?” Datin Afifah mengambil tempat bersebelahan Baihaqi.
“Dia memang tak kurang apa-apa, ma. Tapi, Haq tak mampu nak bagi hati Haq dekat dia. Antara kami memang tak ada aura, tak serasi," ujar Baihaqi.
“Dah tu, cepat-cepatlah bawa balik perempuan yang boleh bagi aura tu. Mama ni dah tak sabar nak terima menantu,” gesa Datin Afifah lagi. Entah kenapa keinginan untuk bermenantu begitu menggebu.
“Nak bawa balik macam mana? Jumpa pun belum,” balas baihaqi.
“Kalau susah sangat, biar mama aje yang cari. Haq tinggal pilih aje. Macam mana?” Datin Afifah mengemukakan cadangan pula.
“Tak naklah mama. Biar Haq cari sendiri aje. Okay mama?” kata Baihaqi. Biar Datin Afifah yang carikan? Memang dia cari nahas. Nanti entah perempuan apa pulak yang dijadikan calon. Cukuplah kes Soffiya dulu.
“Mama nak tolong Haq aje. Ikut suka Haqlah.” Datin Afifah kecil hati. Dia bangun dan menyambung semula kerjanya tadi. Baihaqi menggaru kepalanya yang tidak gatal. Ibunya sudah merajuk. Baihaqi ikut bangun. Dia memeluk mesra bahu Datin Afifah.
“Mama janganlah merajuk. Sorry okey,” pujuk Baihaqi. Datin Afifah masih mendiamkan diri. “Okey, mama boleh carikan calon untuk Haq.” Baihaqi akhirnya mengalah. Dia tidak mahu ibunya terus berkecil hati dengannya. Datin Afifah tersenyum juga akhirnya. “…tapi dengan syarat,” tambah Baihaqi.
“Ada syarat pulak. Apa dia?” soal Datin Afifah.
“Semuanya mestilah lepas Haq dah stabil dengan kerja dekat Sutera Holding,” jelas Baihaqi menyatakan syaratnya.
“Lambat lagilah tu,” rungut Datin Afifah.
“Mama, minggu depan Haq dah nak join Sutera Holdinga. Haq nak fokus dengan kerjaya Haq dulu. I want to give the best for the company and make papa proud. Lepas tu, mama nak cari menantu ke apa ke, it’s all up to you. Bolehkan mama?” lembut Baihaqi menuturkan ayat. Dia benar-benar berharap Datin Afifah memahaminya. Memang dia mahu mencurahkan bakti di Sutera Holding dahulu. Mahu meneruskan legasi yang dibina bapanya. Malah, masih banyak yang perlu dipelajarinya dalam hal pengendalian syarikat. Pengalaman yang ada masih terlalu cetek jika mahu dibandingkan dengan tanggungjawab yang bakal dipikulnya nanti.
“Okay. Mama akan ikut syarat Haq, tapi bila sampai masanya Haq pula kena ikut cakap mama. Janji?” Baihaqi mengangguk tanda akur. Datin Afifah senyum lebar.
Baihaqi pula masih berfikir sendiri. Selagi belum tiba masanya, dia akan mencari calon untuk dirinya sendiri. Harapnya, pilihannya akan menepati kehendak orang tuanya. Namun, jauh di sudut hati, dia tetap berharap satu hari nanti dia akan ditemukan dengan insan yang amat dirinduinya. Rania Nafisa!
******************************************************************************
Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup lembut. Terasa segar menyamankan kulit. Sawah yang menghijau pula menyedapkan mata yang memandang.
“Nia.” Rania yang sedang ralit membaca novel mengangkat muka. Baihaqi di sebelahnya dipandang penuh makna.
“Ada apa?” Tanya Rania. Petang-petang begini, mereka sering meluangkan masa bersama. Sekadar mengambil angin di tepi sawah. Tempat ini amat menenangkan.
“Boleh tak Nia janji sesuatu dengan Haq?” giliran Baihaqi pula mengutarakan soalan.
“Janji apa?” Rania bertanya kembali. Baihaqi menarik nafas panjang.
“Janji dengan Haq yang Nia akan kahwin dengan Haq lepas kita tamat belajar nanti,” Baihaqi berkata serius. Rania yang mendengar kata-kata Baihaqi pada mulanya tecengang namun akhirnya dia tergelak kuat. Hairan Baihaqi dibuatnya.
“Kenapa gelak?” Tanya Baihaqi tidak puas hati.
“Sebab Haq cakap pasal kahwin. Kelakar la,” jawab Rania jujur. Masih ada sisa tawa di bibirnya.
“Apa yang kelakar?”
“Haq, kita muda lagi tau. Nia baru tingkatan 4. Haq pun tak lama lagi nak sambung belajar. Masih terlalu awal lagi nak cakap pasal hal ni,” kata Rania. Dia kembali menyambung pembacaannya.
Haq mengeluh. Banyak benda yang terpendam di dadanya. Dan, akhir-akhir ini, ia semakin menyesakkan. Apatah lagi, dia akan terbang ke luar negara kurang dua minggu dari sekarang.
“Nia…” panggil Baihaqi. Meleret bunyinya. Novel dalam pegangan Rania diambil dan diletakkan di tepi. Baginya, mereka perlu berbicara secara serius. Hati ke hati. “We need to talk,” sambungnya lagi.
Rania yang melihat kelakuan Baihaqi yang berlainan mula gusar. Dia mula memberi perhatian kepada pemuda yang berusia 18 tahun itu.
“Kenapa ni?” soal Rania lembut.
“Minggu depan Haq akan ke London, Nia tahukan?” Rania mengangguk. “Kenapa Haq tengok Nia macam tak kisah aje Haq nak pergi sedangkan hati Haq ni rasa macam nak pecah bila fikirkan perpisahan ni,” kata Baihaqi meluahkan perasaanya. Sungguh, dia rasa terkilan melihat Rania seolah-olah tidak peduli dengan pemergiannya.
Rania merenung Baihaqi. Wajah pemuda itu kelihatan keruh. Sebenarnya, pada hari Baihaqi mengkhabarkan berita yang dia akan ke London, Rania menangis sendirian. Dia benar-benar rasa kehilangan. Kehilangan seseorang yang penting dalam hidupnya selain Aliyah. Pedih rasa hati namun Rania tetap cuba menerimanya dengan hati yang terbuka. Antaranya dan Baihaqi memang saling sayang menyayangi namun masa depan mereka lebih penting dari hati dan perasaan mereka.
“Haq, jangan cakap macam tu. Nia pun sedih dengan perpisahan ni, tapi semua ni demi masa depan Haq,” terang Rania. Baihaqi bangun dan menghampiri sawah.
“Haq tahu tapi Haq tengok Nia tak sedih pun. Muka Nia tenang aje macam semua kepedihan ni Haq seorang aje yang rasa,” luah Baihaqi lagi.
“Tak akanlah Nia nak tayang muka sedih depan Haq. Tapi percayalah, apa yang Haq tanggung, Nia pun rasa yang sama. Malah, mungkin lebih lagi. Tapi, Nia tak nak apa yang Nia rasa ni membebankan Haq. Nia nak Haq pergi dengan hati yang tenang. Belajar baik-baik dekat sana. Cuma…” kata-kata Rania terhenti. Hatinya terasa sebak. “Cuma, Nia harap Haq tak lupakan Nia lepas Haq pergi sana nanti,” balas Rania. Air mata mula membanjiri tubir mata. Ah, perasaan inilah yang cuba dia hindarkan sejak beberapa hari lalu. Perasaan takut akan kehilangang Baihaqi Hatinya sebak. Baihaqi kembali duduk di sisi Rania.
“Tak Nia. Haq tak akan lupakan Nia. Itu janji Haq. Cuma, Haq takut Nia yang akan lupakan Haq nanti,” Baihaqi menyatakan kebimbangannya.
“InsyaAllah, selagi Haq ingatkan Nia, Haq akan selalu bertakhta di hati Nia,” Rania menyimpul kata.
“Nia akan tunggu Haq kan?” Baihaqi meminta kepastian. Rania mengangguk perlahan. “Janji?” sekali lagi gadis itu mengangguk.
“Janji,” ucap Rania. Baihaqi tersenyum. Dia menyeluk poket dan mengeluarkan sesuatu. “Untuk Nia,” Baihaqi mengunjukkan tapak tangannya. Terbuntang mata Rania melihat seutas gelang perak.
“Apa ni Haq?” Tanya Rania. Baihaqi tidak menjawab. Dia mencapai tangan Nia dan memakaikan gelang ke lengan gadis itu.
“Ni tanda Haq dah cop Nia. Gelang ni tanda Nia adalah bakal teman hidup Haq. Haq tak mampu nak beli gelang yang mahal untuk Nia, tapi Haq betul-betul ikhlas dengan Nia. Haq harap Nia tak akan sesekali tanggalkan gelang ni dari lengan Nia,” kata Baihaqi. Rania menyentuh gelang di tangannya. Air mata yang sejak tadi ditahan hangat mengalir ke pipinya. Hatinya bercampur baur. Gembira, sedih, takut, semua ada. Tetapi, melihat kesungguhan Baihaqi, Rania sendiri telah menyimpul azam.
“Nia janji Nia tak akan tanggalkan,” ikrar Rania.
Rania membuka mata. Kenangan lama kembali menjemput rasa. Gelang di tapak tangannya direnung. Kisah cinta zaman remaja. Cukup manis untuk dikenang.
Rania sedar dia terlalu banyak berjanji pada masa itu. Terlalu banyak sehingga dia terpaksa memungkirinya. Mungkin dia tidak sepatutnya mengenali dan menyayangi Baihaqi. Dia tidak patut menerima salam perkenalan dari pemuda itu sejak mula lagi. Dia, Rania langsung tidak layak untuk bersama Baihaqi.
Cinta monyet kata orang. Namun, cinta itu jugalah yang telah menjerat dirinya dan Baihaqi untuk berjanji saling setia ke akhir hayat. Perasaan yang membara ketika itu membuatkan mereka tidak pernah berfikir panjang akibat hubungan yang terjalin. Mereka masih terlalu mentah untuk mengetahui ujian yang bakal mereka tempuhi satu masa nanti. Dan, apabila ujian itu mendatanginya, Baihaqi sudah jauh di bumi lain. Tinggallah dia seorang melawan segala-galanya. Akhirnya, setelah puas mengharungi semuanya Rania tewas juga. Tewas dalam mempertahankan cinta sucinya.
Rania menggengam kemas gelang perak itu. Dia sudah lama menanggalkan gelang itu. Dia nekad mahu memadamkan nama Baihaqi Arasy dari ingatan dan membuang semua memeori yang pernah tercipta antara mereka. Mungkin antaranya dan Baihaqi tidak tersurat untuk melayari hidup bersama. Rania akur.
Tapi, Rania tersilap. Sejauh mana dia melangkah, ke mana pun dia berlari, bayang Baihaqi tetap mengejarnya. Kadang kala dia lelah untuk menghalang wajah itu dari singgah ke akal fikirannya. Walaupun sudah 10 tahun berlalu, dia tidak pernah berjaya membuang Baihaqi dari lipatan sejarah hidupnya.
Tapi, dia tahu sehebat mana ingantan dan rindunya pada Baihaqi, segalanya tidak akan sama seperti dulu. Masa telah merubah segalanya. Dia, bukan lagi Rania yang dulu. Dan, kisah cintanya bersama Baihaqi akan tetap tinggal sebagai memori.


No comments:
Post a Comment