“Kejap ye. Eh, seorang je? Kawan mana?” soal
Hajar. Dia sudah mengenali pelanggan tetapnya ini. Selalunya Rania akan datang
berdua bersama Misha. Malam ini dia berseorangan saja kerana Misha masih belum
pulang dari kerja. Ada kerja penting yang perlu disiapkan. Tetapi, Misha awal-awal
lagi sudah memesan kepada Rania supaya membeli makanan kegemarannya itu jika
dia berkunjung ke situ.
“Malam ni saya datang seorang aje. Misha tak
balik kerja lagi,” ujar Rania. Hajar mengangguk-angguk sambil tangannya lincah
membungkus makanan.
“Nasi ayam dara siap.” Rania menyambut
bungkusan yang dihulurkan kepadanya. Selesai membeli, dia singgah pula di
gerai-gerai lain. Sekadar melihat-lihat barangan yang dijual sementelah makanan
dan barangan yang diperlukan sudah diperolehi.
Waktu sudah
beranjak ke angka 9.00 malam. Rania mengambil keputusan untuk pulang sahaja.
Lagipun, dia terus ke pasar malam setelah pulang dari kerja sebentar tadi.
Sengaja dia pulang agak lewat hari ini kerana mahu menyiapkan kerja-kerjanya
yang masih terbengkalai.
Terdapat
jalan yang perlu dilalui untuk sampai ke kawasan rumahnya. Rania agak kecut
perut untuk melaluinya kerana persekitarannya agak sunyi dan lengang. Selalunya
dia bersama Misha, jadi perasaan takut itu agak berkurangan. Tetapi, malam ini
mahu tidak mahu dia harus melaluinya juga.
Rania mula
mengatur langkah. Baru beberapa tapak dia, dia berhenti, terasa bagaikan ada
orang sedang berjalan dibelakangnya. Dia menoleh. Tiada sesiapa. Rania malas
ambil pusing. Langkah diatur semula. Tetapi, sekali lagi dia terasa ada orang
mengekorinya. Rania berpaling ke belakang. Masih tiada sesiapa. Dia mula tidak
sedap hati. Jantung mula berdegup laju. Rania hayun kaki laju-laju. Di
kepalanya sudah terbayang macam-macam. Sekarang dia mahu cepat-cepat sampai ke
rumah.
Derap
langkah kedengaran dibelakangnya. Rania tidak mahu menoleh lagi. Dari berjalan
dia sudah mula berlari-lari anak. Takut sungguh.
“Awak…”
Rania hampir terjelepok bila bahunya terasa disentuh. Namun, dikuatkan
semangat. Beg yang berada di tangannya di hayun sekuat hati ke muka orang yang
menyentuhnya.
“Aduh!”
Rania tidak
menunggu lama sebelum buka langkah seribu. Takut ditangkap semula oleh lelaki
itu.
“Awak,
tunggu dulu. Saya bukan orang jahat. Saya cuma nak pulangkan barang awak,” Rania
terhenti apabila lelaki itu memegang lengannya kejap. Entah bila dia sampai
dekat dengan rania. Laju betul langkahnya. Tetapi, apa hendak dihairankan,
lelaki itu tinggi lampai. Dua tiga langkah sahaja dia sudah berjaya menyaingi
Rania yang kecil molek itu.
“Lepaskan
saya. Jangan apa-apakan saya,” Rania meronta. Ya Allah, selamatkanlah aku.
“Awak,
janganlah macam ni, saya bukan orang jahat,” pujuk lelaki itu.
“Tolong…”
Rania cuba menjerit namun mulutnya pantas ditutup tangan lelaki itu.
“Awak,
tolong jangan jerit. Saya tak akan apa-apakan awak. Saya akan lepaskan awak
kalau awak janji awak tak jerit,” kata lelaki itu lagi. Rania
mengangguk-angguk. Perlahan-lahan dia dilepaskan. Dia berpaling melihat wajah
lelaki itu. Macam pernah tengok, tapi entah di mana, dia kurang pasti. Rania
berundur beberapa langkah ke belakang.
“Maafkan
saya. Bukan niat saya nak takutkan awak,” ujar lelaki itu. “Saya Ian Rafique.”
Tangan dihulur tetapi Rania enggan menyambutnya. Ian Rafique menarik kembali
tangannya. Malu!
“Apa awak
nak sebenarnya?” soal Rania. Dia malas mahu melayan lelaki ini. Mahu sahaja dia
berlari, tetapi bimbang pula dicekup sekali lagi. Siapa tahu apa lagi yang mahu
dibuatnya.
“Awak ingat saya lagi tak? Kita pernah jumpa
dulu,” balas Ian Rafiq. Rania cuba mengingati raut wajah Ian Rafiq. Namun, dia
langsung tidak mengingati apa-apa.
“Maaflah. Saya susah sikit nak ingat muka
orang.” Rania berterus terang.
“Awak ingat tak sebulan yang lalu, kita
pernah berlanggar dekat Mid Valley. Masa tu awak jatuh atas saya,” Ian Rafiq
bersungguh-sungguh mengingatkan gadis itu.
Rania kerut kening. Langgar? Jatuh? Mid
Valley? Perlahan-lahan banyangan masa itu kembali ke dalam akal fikirannya.
Pipinya mula memerah. Malu jatuh atas orang. Lelaki pulak tu! Rania masih ingat
dia lari dari Baihaqi ketika itu. Akibat terlalu tergesa-gesa, dia telah
terlanggar pemuda ini.
“Err…ingatlah kot sikit-sikit. Kenapa?”
Rania membuang pandang ke arah lain.
Segan mahu menatap wajah Ian Rafiq.
“Awak ada hilang apa-apa barang tak masa
tu?” soal Ian Rafiq kembali. Rania berfikir-fikir sendiri. Apa yang hilang?
Seingatnya hanya satu benda yang hilang semasa kejadian itu. Gelang tangan
pemberian Baihaqi. Gelang itu ada bersama lelaki ini ke? “Awak hilang
gelangkan?” belum sempat Rania berkata apa-apa, Ian Rafiq terlebih dahulu
bersuara.
Perlahan Rania mengangguk.
“Gelang tu ada dengan awak?” Rania meminta
kepastian. Dia mahukan kembali gelang itu. Dia mahu menyimpan kenangan cinta
Baihaqi walaupun dia sering menyatakan mahu melupakan segala-galanya. Ternyata
dia tidak boleh. Segala yang berkaitan dengan Baihaqi adalah cukup bermakna
baginya.
“Awak jangan risau, gelang tu saya simpan,”
ujar Ian Rafiq. Rania menarik nafas lega. Dia akan mendapat semula gelangnya.
“Boleh awak bagi dekat saya balik?” Rania
menghulur tapak tangannya.
“Err…ada masalah sikit.” Ian Rafiq menggaru
dagunya. Rania kerut dahi. “Saya simpan gelang tu dekat studio. Maknanya kita
kena jumpa lagilah lepas ni, kalau awak nak balik gelang tu,” sambung Ian
Rafique kemudian.
Rania mengeluh hampa. Baru rasa lega tadi.
“Macam tu pulak ke?” soal Rania. Ian Rafiq
mengangguk. Rania terdiam. Kalau boleh dia tidak mahu ada pertemuan lagi
selepas ini. Biarlah segalanya selesai malam ini juga.
“Tak boleh ke awak pergi ambil dekat studio
awak tu?” Rania bertanya penuh harapan.
“Kalau dekat dah lama saya ambil. Tapi
studio saya jauh, dekat Ampang,” balas Ian Rafiq. Rania masih cuba mencari penyelesaian.
“Awak?” panggil Ian Rafique apabila melihat Rania masih terdiam.
“Nak buat macam mana lagi. Nampaknya saya
kena jumpa awak lagilah lepas ni,” jawab Rania. Pening hendak buat keputusan
sebenarnya. Ian Rafiq tersenyum.
“Kalau macam tu, boleh awak bagi nombor
telefon awak? Senang saya nak call bila nak pulangkan nanti,” pinta Ian Rafiq.
Dia sudah bersedia dengan telefon di tangan.
“Nak kena bagi nombor telefon ke? Apa kata
malam esok awak bagi dekat saya. Kita jumpa dekat sini tepat 8.00 malam.
Boleh?” Rania mengusulkan cadangan. Dia tidak selesa memberikan nombor
telefonnya pada orang yang tidak dikenali. Bukan dia tahu niat sebenar lelaki
ini.
“I’m afraid I could’t make it. Esok saya
kena pergi out station. Saya pun tak tahu bila saya balik. Sebab tu saya mintak
awak bagi nombor awak supaya senang saya cari awak bila kerja saya dah selesai
nanti,” Ian Rafiq bersungguh-sungguh menjelaskan situasinya.
Rania diam sekali lagi. Akhirnya dia
bersetuju juga memberikan nombornya kepada Ian Rafique. Itu pun setelah
berfikir dia tiada pilihan lain.
“Baiklah. Saya bagi nombor pada awak tapi
ingat saya nak balik gelang saya tu. Kalau boleh secepat mungkin,” Rania
berkata tegas. Ian Rafiq menganguk-angguk dengan wajah selamba.
“Nombornya?”
Ian Rafiq tersengih.
“
012-3329817,” kata Rania.
Lajunya!
Kelam kabut Ian Rafiq menyimpan nombor itu di telefon bimbitnya.
“Nama?”
“Rania”
“Sedap
nama,” puji Ian Rafiq namun Rania langsung tidak memberi reaksi.
“Saya nak balik dulu,” Rania meminta diri.
“Nak saya
temankan?” soal Ian Rafiq menawarkan diri.
“Tak perlu! Saya
boleh balik sendiri!” Rania berkata tegas sebelum cepat-cepat beredar dari
situ. Ian Rafiq memerhati kelibat Rania yang semakin menjauh. Senyuman mula
mekar di bibirnya.
Siapa sangka
pertemuan dengan kliennya di sini membawa tuah. Dia bertemu dengan Rania, gadis
yang menjadi igauannya sejak sebulan lalu. Fikirnya, dia tidak akan bertemu
lagi dengan Rania, namun kuasa Allah, siapa mampu menduga. Ketika singgah di
pasar malam tadi, dia seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Rania
sedang membeli makanan dan dia juga memasang tekad, kali ini gadis itu akan
didekati. Dia mahu mengenali Rania, mahu mengetahui segala-galanya mengenai
gadis itu.
Sengaja dia
berkata dia tertinggal gelang di studio, walhal gelang itu sentiasa berada
bersamanya. Malah, dia tidak perlu ke mana-mana pun esok. Semua itu dilakukan
kerana dia tahu pasti Rania tidak mahu bertemunya lagi, jika dia terus memberi
gelang itu pada malam ini.
Ian Rafiq
tahu dia sudah menipu tetapi perbuatannya bersebab. Dia mahukan pertemuan seterusnya
dengan Rania. Tipu sunat orang kata. Ian Rafiq sengih lagi.
Baihaqi melihat wajahnya di cermin. Titis-titis air yang
terdapat diwajahnya dilap dengan tuala kecil. Rambutnya yang lembab juga
dikeringkan. Dia baru selesai mandi. Hari ini seharian dia menemani Datin
Afifah ke rumah saudara mereka di Tanjung Malim.
Sungguh,
jika dia tahu Datin Afifah sengaja mengajaknya ke situ untuk memperkenalkan dia
dengan anak gadis saudara mereka itu, pasti dia akan menolak. Tidak sanggup dia
menghadiri pertemuan jodoh ini. Naik bosan dibuatnya.
Semasa di
Tanjung Malim tadi, sengaja dia dibiarkan bersama Nadira, anak saudara mereka.
Kononnnya untuk saling mengenali. Tetapi, lain pula hal yang terjadi. Nadira
agak agresif orangnya. Dia benar-benar melayan Baihaqi sehingga rimas
dibuatnya. Ke mana sahaja asyik mengekor. Datin Afifah pula hanya tersenyum
melihat mereka berdua sedangkan dia rasa mahu angkat kaki ketika itu juga.
Semasa dalam
perjalanan pulang tadi, Datin Afifah beriya-iya mengatakan yang Baihaqi dan
Nadira sangat serasi. Baihaqi kacak dan Nadira yang cantik sangat sesuai
bergandingan. Bagai merpati dua sejoli. Kalau boleh, Datin Afifah mahu menjodohkan mereka secepat
mungkin. Aduh, Baihaqi terasa otaknya seakan migrain mendengar cadangan ibunya
itu.
Sukarnya terasa bila soal teman hidup
dibangkitkan. Bukan mahu menolak tetapi hatinya telah tersangkut dengan si
Rania. Buatlah apa sekali pun, tetap juga Rania yang diingininya.
Baihaqi berbaring di katil. Matanya memandang
Siling. Mengapa hati Rania terlalu keras? Macam-macam cara yang dilakukan,
langsung tidak berbekas di hati gadis itu. Bunga, coklat dan macam-macam lagi
yang dihadiahkan pada Rania, namun semuanya tidak dilayan. Kadang kala Baihaqi
jadi lelah dengan sikap Rania yang kepala batu. Putus asa pun ada. Tapi, bila
saja matanya memandang wajah Rania yang mulus, terus dia bersemangat semula.
Begitu sekali penangan Rania padanya. Mungkin dia perlu mencari startegi baru
untuk memikat kembali hati Rania.
Hmm, kena cari Ian ni. Kalau bab-bab ni
memang kepakaran dia, Baihaqi bermonolog. Telefon bimbit dicapai dan nombor Ian
Rafiq didail.
“Hello, bro! apahal cari aku malam-malam ni?
Nak belanja makan ke?” soal Ian Rafique sebelum sempat Baihaqi memulakan
bicara.
“Asyik makan aje kau ingat. Perut kecik tapi
kuat makan,” bebel Baihaqi. Terdengar Ian Rafiq ketawa disebelah sana.
“Well, rezeki jangan ditolak. Orang nak
belanja, aku terima ajelah.” Tukas Ian Rafiq.
“ Banyaklah jawapan kau. Eh, lunch dengan
aku esok. Ada hal aku nak bincang dengan kau.” Baihaqi terus ke tujuan utama
dia menghubungi sahabatnya itu.
“Macam penting aje?” teka Ian Rafiq.
“Pentinglah jugak.”
“Tak boleh beritahu sekarang ke?” soal Ian
Rafiq.
“Tak boleh. Kena face to face baru senang
nak cerita,” terang Baihaqi.
“Ada-ada aje kau ni Haq. Cakap ajelah, kau
rindu nak tengok muka aku yang hensem ni.”Ian Rafiq bantai gelak. Baihaqi
menggeleng. Bercakap dengan Ian Rafiq kadangkala memang memeningkan. Ada sahaja
bahan yang dibuat lawak. Dasar pak lawak tak bertauliah!
“Ha’ah. Rindu gila ni. Ingat lunch esok.
Kalau tak datang, siaplah kau,”ugut Baihaqi.
“Wah, ni betul punya rindu ni,” Ian Rafiq
ketawa lagi. “Oklah bro. Kita jumpa esok. Bye,” talian diputuskan. Baihaqi
memandang telefon. Ceh, tak reti-reti nak bagi salam Ian ni! Rungutnya sendiri.
Baru saja Baihaqi mahu merebahkan tubuh
kembali ke katil, telefon bimbitnya berdering. Dengan malas, dia mencapai telefonnya dan memandang skrin. Suhaila?
Kenapa pula Suhaila menghubunginya
malam-malam begini. Butang hijau ditekan.
“Assalamualaikum,” jawab Baihaqi.
“Waalaikumsalam. Haq, you dah tidur ke?”
soal Suhaila. Suasana kedengaran agak bising di sebelah sana.
“Not yet. Ada apa you call I malam-malam
ni?” giliran Baihaqi pula menyoal. Sebetulnya dia kurang gemar diganggu jika
bukan waktu bekerja.
“ Sebenarnya tak ada apa-apa. Cuma, I ingat…
nak ajak…you keluar dengan I malam ni. Boleh ke?” teragak-agak Suhaila
bertanya. Berharap benar dia Baihaqi akan bersetuju.
“Actually, I baru balik dari luar daerah ni.
So, I was a bit tired. I harap you faham,” ujar Baihaqi berhati-hati. Bimbang
Suhaila kecil hati.
“Oh. I see. It’s okay. Next time maybe,”
balas Suhaila hampa. Entah kenapa seharian tidak melihat wajah Baihaqi
membuatkan rasa rindu menggebu di dalam dada.
“Yeah, maybe. Kalau tak ada apa lagi, I nak
tidur dulu,” kata Baihaqi.
“Okay. Good Night. Sweet dream,” ucap
Suhaila. Usai memberi salam, talian diputuskan. Baihaqi melepaskan keluhan.
Dalam sebulan ini dia dapat merasakan Suhaila ada menyimpan perasaan
terhadapnya. Gadis itu sering memberikan layanan istimewa terhadapnya. Malah,
sering juga hadiah dihulurkan padanya. Baihaqi menolak dengan baik namun
kadangkala diterimanya juga untuk menjaga hati Suhaila.
Suhaila memang cantik, baik dan
berketrampilan dalam caranya yang tersendiri. Tetapi, apakan daya hati Baihaqi
sudah ada yang punya!
SUHAILA memandang telefon di tangannya. Kehampaan terus bergayutan
dalam hatinya. Lagu ‘Give Me Everything’ nyanyian Neyo yang memenuhi ruang
pusat hiburan All Loud itu langsung tidak memberi kesan kepada Suhaila. Dia
sebenarnya resah apabila tidak dapat melihat seraut wajah yang semakin
bertakhta di lubuk hatinya itu. Suhaila benar-benar tergilakan Baihaqi.
Saat itu
bahunya terasa disentuh. Suhaila menoleh.
“Hey, kenapa
dengan you ni? Cheer up baby. Jom menari,” Syamil duduk di depan Suhaila yang
masih muram.
“Malaslah.
You pergilah menari sendiri,” Suhaila menolak.
“Come on,
Sue. What happened to you. Selama ni you tak pernah menolak bila I ajak menari.
Kan menari tu terapi bagi you. Jomlah temakan I,” Syamil menarik tangan
Suhaila.
“I’m not in
a mood right now, Mil!” bentak Suhaila. Bengang bila dipaksa-paksa. Syamil
mengangkat bahu. Dia kembali duduk di depan Suhaila. Wajah gadis itu direnung.
Suhaila tidak pernah seperti ini. Dia sentiasa ceria walau apa jua masalah yang
mendatanginya.
“Kenapa
dengan you ni? got any problem?” soal Syamil. Suhaila tidak menjawab.
Pandangannya dilemparkan ke arah pengunjung All Loud. Semakin ramai yang datang
apabila waktu semakin beranjak ke tengah malam. “Hey, tell me. Mana tahu I
boleh tolong,” pujuk Syamil lagi. Suhaila melihat Syamil sekilas sebelum
melepaskan keluhan.
Apa yang
Syamil boleh tolong kalau dia bercerita sekalipun? Bukan dia tidak tahu gaya
hidup lelaki itu. Dia bukan faham akan makna cinta. Baginya cinta hanya
permainan. Nafsu yang sering menjadi keutamaan. Tetapi, Suhaila selesa berkawan
dengan Syamil kerana lelaki itu sering memahami dirinya.
“You tak
akan boleh tolonglah masalah I ni.” Suhaila meneguk minumannya.
“You belum
pun cerita kat I lagi and you dah assumed macam-macam.” Kata Syamil. Suhaila
senyum sinis. “Come on tell me. Kalau I tak boleh tolong pun, at least I can be
your listener,” pujuk Syamil lagi. Suhaila melihat Syamil yang sedang menunggu
didepannya.
Mungkin dia
patut bercerita segala yang tersirat di hatinya. Sekurang-kurangnya dia akan
berasa lebih lega.
“I’m in love
with someone,” ujar Suhaila pendek dan kata-kata Suhaila itu membuatkan dahi Syamil
berkerut seribu.
