DATIN Nora membaca laporan yang diberikan kepadanya. Syed dan Kabir yang duduk di hadapannya hanya terdiam. Mereka menunggu Datin Nora bersuara terlebih dahulu. Wanita yang sudah 2 bulan menjadi klien mereka itu kelihatan khusyuk meneliti laporan yang telah disediakan oleh mereka.
Laporan itu kemudian diletakkan di atas meja. Datin Nora memandang tetamunya. Pandangannya tajam. Dia benar-benar tidak berpuas hati dengan hasil kerja orang upahannya itu.
“Tak akan ni saja maklumat yang awak berdua dapat? Begitu lama masa yang awak ambil, saya rasa bukan ini hasil yang saya mahu,” tegas datin Nora bersuara.
“Setakat ni, hanya itu yang dapat kami usahakan. Ada beberapa kesukaran yang sedang kami cuba selesaikan,”ulas Syed. Kabir mengangguk memberikan sokongan.
“Kesukaran macam mana?” soal Datin Nora. Wajahnya serius.
“Ada pihak yang tak mahu bagi kerjasama sedangkan mereka antara orang yang penting dalam perkara ni,” jelas Kabir pula.
“Jadi apa yang awak berdua nak buat?”Datin Nora membetulkan duduknya. Sesekali matanya dihala ke dalam rumah. Bimbang jika butir bicara mereka didengari Hana yang masih tidur di biliknya. Kedatangan tetamunya di waktu pagi begini agak mengejutkannya. Bengang juga dia pada mulanya kerana sudah dipesan kepada Syed dan Kabir berkali-kali agar mereka hanya bertemu di luar sahaja. Tatapi melihat mereka berdua sudah terpacak di pintu pagar, Datin Nora mengajak juga mereka masuk dan duduk di halaman rumah yang dilengkapi kerusi dan meja untuk bersantai. Lagipun, Hana masih belum bangun.
“Itu Datin jangan risau. Kami pasti akan selesaikan masalah ni. Cuma kami harap Datin boleh beri kami sedikit masa lagi,”balas Kabir. Datin Nora terdiam sejenak.
“Saya rasa saya dah bagi masa lama pada awak berdua. Sekarang saya nak tahu, awak berdua ni boleh buat kerja atau tak? Saya tak nak terus bazirkan masa dan duit untuk sesuatu yang belum tentu baik hasilnya,” kata Datin Nora. Dia tidak puas hati sebenarnya. Kedua lelaki di depannya ini kurang menyakinkannya. Sudah dua bulan masa diberi dan bila bertemunya, habuk pun tiada. Datin Nora mendengus. Masa pertama kali berjumpa pelbagai jaminan diberikan oleh mereka. Tugas yang diberikan oleh Datin Nora dan Datuk Zakir terlalu mudah. Pejam mata saja mereka boleh selesaikan. Sekarang? Pejam buka mata beribu kali pun belum juga mereka siapkan.
“Kami penyiasat berpengalaman Datin. Dah banyak kes yang kami selesaikan. Ikutkan, Kes ni sepatutnya sudah selesai Datin, tapi disebabkan pihak-pihak tertentu, yang mudah pun jadi sukar. Kami harap Datin terus beri kepercayaan kepada kami untuk handle perkara ni. InsyaAllah, semuanya akan selesai tak lama lagi,” Syed cuba memujuk. Gusar juga dia jika kehilangan pelanggan seperti Datin Nora. Bukan sikit wang yang dilaburkan kepada mereka. Selalunya, agensi penyiasatan mereka hanya dikunjungi oleh orang-orang biasa. Bayaran pun ‘ciput’. Jadi, mereka harus berusaha untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada wanita ini.
Datin Nora mengeluh halus. “Baiklah. Saya akan bagi awak berdua masa tapi pastikan hasilnya memuaskan. Saya tak nak awak datang lain kali dan kata ada masalah lagi.” Datin Nora memberi amaran. Syed dan Kabir mengangguk-angguk. “Awak kena ingat banyak duit yang suami saya dah bagi dekat awak berdua. Awak mesti tak mahu kami cari penyiasat lain bukan?” sambung Datin Nora sinis.
“Kami beri jaminan Datin. Semuanya akan selesai tak lama lagi. Datin kena yakin dengan kemampuan kami,” ujar Kabir bersungguh-sungguh. Giliran Datin Nora pula mengangguk-angguk.
“Kalau itu kata awak, I’ll give you another chance. So, I guess awak berdua boleh teruskan kerja awak sekarang,” Datin Nora bangun diikuti kedua lelaki itu.
“Kami akan hubungi Datin lagi nanti untuk perkembangan terbaru. Sekarang, kami minta diri dulu.” Syed dan Kabir berjalan ke pintu pagar. Ketika itu Hana yang sudah lengkap bersiap sedang turun dari tangga. Dia dapat menangkap bayang kedua lelaki itu.
“Siapa tu mama?” soal Hana. Terkejut Datin Nora dibuatnya bila medapati Hana sudah berdiri di belakangnya.
“Eh, Hana dah bangun? Tak perasan pulak mama,” kata Datin Nora cuba menutup perasaannya yang gugup.
“Hana baru turun je. Eh, mama tak jawab lagi. Siapa tu?” Hana kerut kening.
“Oh…tadi tu kawan mama.” Jawab Datin Nora.
“Kawan mama? Tak pernah tengok pun.” Tukas Hana.
“Hana memang tak kenal diaorang. Ni first time diaorang datang sini. Itu pun sekejap aje diaorang singgah sebab ada hal kat kawasan ni.” Datin Nora mereka-reka cerita. Hana angkat bahu. “Eh, Hana cantik-cantik ni nak pergi mana? Dah nak masuk ofis papa ke?” Datin Nora pantas menukar topik. Anak gadisnya tersenyum.
“Tak adalah. Hana nak keluar kejap. Esok baru Hana masuk ofis,” jawab Hana. Sepatutnya hari ini dia melaporkan diri di pejabat Datuk Zakir, tetapi dia perlu melakukan sesuatu terlebih dahulu sebagai pembakar semangat.
“Hana nak pergi mana pagi-pagi ni?” soal Datin Nora.
“Hana nak pergi Studio abang Ian.”Hana menjawab ringkas.
“Amboi, patutlah berseri lain macam aje anak mama ni. Nak jumpa buah hati rupanya,” usik Datin Nora. Merah pipi Hana dibuatnya.
“Mama ni, mana ada buah hati. Diakan sepupu Hana,” Hana cuba berselindung walaupun pipinya sudah seperti udang kena bakar. Datin Nora tergelak.
“Alahai, muka dah merah macam ni pun tak nak mengaku lagi.” Hana ketap bibir. Malu betul bila soal hati diketahui ibunya.
“Mama ni suka usik Hana tau. Malulah,”
“Memang betulkan?” Datin Nora menjeling.
“Ada-ada je mama ni. Hana dah lambat ni, Hana pergi dulu ye?” kedua pipi mamanya dicium sebelum Hana berlalu ke keretanya. Dia melambai ke arah Datin Nora sebelum keretanya keluar dari perkarangan bangle dua tingkat itu.
Senyuman di bibir Datin Nora beransur lenyap apabila kereta Hana hilang dari pandangan. Seketika dia mengeluh halus.
“Mama terpaksa rahsiakan dari Hana. Kalau Hana tahu mungkin Hana tak akan maafkan mama. Maafkan mama, sayang,” bisiknya kemudian.
“OKAY Atilia, sekarang you pegang bahu Akif dan pandang muka dia. Akif you toleh sikit muka you. That’s nice,” Ian Rafiq memberi arahan kepada pasangan pengantin di hadapannya. Dia begitu bijak mencari sudut-sudut menarik untuk dimuatkan dalam album perkahwinan pasangan itu. Ian Rafiq begitu lega apabila pasangan Atilia dan Akif ini begitu bijak memberikan pose-pose yang cantik dan memahami arahan yang diberikannya. Semuanya akan memudahkan penggambaran hari ini. Cepat siap kerja, cepatlah mereka balik ke studio.
Hari ini penggambaran dijalankan di Taman Tasik Titiwangsa. Semuanya atas permintaan pasangan itu sendiri yang mahukan tempat ini diabadikan dalam album mereka. Maklumlah, tempat ini merupakan tempat mereka bertemu buat pertama kali. Ian Rafiq ikutkan saja. Tugasnya adalah memastikan gambar yang dihasilkan memuaskan hati para pelanggannya.
“Now, Akif pegang tangan Atilia. Tengok bawah ye.” Satu lagi arahan diberi. Atilia dan Akif hanya menurut. Sesekali ketawa tercetus antara mereka. Apatah lagi melihat telatah Ian Rafiq yang pelbagai gaya semasa mengambil gambar. Sekejap dia berbaring kemudian meniarap pula. Ian Rafiq tidak peduli asalkan dia puas hati.
“Ian, ada orang cari.” Ian Rafiq menoleh apabila terasa bahunya dicuit. Ain, pembantunya menunjuk ke arah meja di sebelah kanan mereka. Hana yang duduk di situ melambai ke arahnya. Ian Rafiq membalas lambaian itu dan memberikan isyarat supaya Hana tunggu sebentar. Hana hanya mengangguk.
Selang15 minit kemudian, tugas Ian Rafiq selesai. Dia mendapatkan Hana. Air mineral yang terletak di atas meja dibuka tudungnya lalu diteguk laju. Penat sangat!
“Sorry Hana kena tunggu lama.” Kata Ian Rafiq. Serba salah pula dia membiarkan Hana menunggunya. Tapi, dia perlu selesaikan tugasnya dulu sebelum duduk berbual denga sepupunya itu.
“It’s okay. I don’t mind at all,” balas Hana. Dia mengunjukkan tisu kepada Ian Rafiq yang berpeluh-peluh. Hana sempat merenung Ian Rafiq yang mengelap peluhnya. Hmm, seksi betul pak cik ni.
“Macam mana Hana tahu abang Ian dekat sini?” soal Ian Rafiq kemudian.
“Tadi Hana pergi studio, Zura yang cakap abang Ian ada photoshoot dekat sini. Jadi, Hana datanglah sini,” jelas Hana merujuk kepada Azura yang merupakan staff di studio Ian Rafiq.
“Ada apa hal Hana cari abang Ian?”
“Amboi, tak boleh ke? kalau tak boleh Hana baliklah,” Hana pura-pura merajuk.
“Tanya macam tu pun nak merajuk. Little girl ni manja betul la,” Ian Rafiq menarik hidung Hana. Pantas Hana menepis.
“Excuse me, I’m not a little girl anymore okay. Dah banyak kali cakapkan?” tukas Hana geram. Suka sangat panggil little girl. Tak Nampak ke aku dah jadi wanita melayu terkahir ni?
“Okay dear. Sorry ye. Pagi-pagi dah marah. Tak baik tau. Nanti rezeki tak masuk,” pujuk Ian Rafiq. “Dah la tu. Senyum sikit. Tak cantik la muncung macam ni. Yalah, abang Ian tak panggil Hana Little Girl lagi,” katanya lagi bila Hana masih menarik muka masam. Barulah Hana tersenyum. Ian Rafiq menggeleng. Manja betul!
“Hana saja nak jumpa abang Ian. Yalah, esok kan Hana dah nak mula kerja dengan papa. Nanti sibuk, dah susah nak jumpa abang Ian,” terang Hana.
“Hana dah nak mula kerja? Cepatnya.” Ian Rafiq angkat kening. Baru dua minggu Hana pulang ke tanah air, dia sudah mahu bekerja.
“Hana bosanlah duduk saja kat rumah. Abang Ian pun tahu Hana macam manakan? Hana tak bolehlah duduk tanpa buat apa-apa. Lagipun, Hana dah tak sabar nak curahkan kemahiran Hana ni,” Hana tersengih. Ian Rafiq sedia maklum, Hana memang tidak boleh duduk diam. Semasa di London dulu pun, ada saja aktiviti yang disertai Hana. Aktiviti amallah, melanconglah dan macam-macam lagi. Gadis ini memang aktif.
“Yalah. Abang tahu. Lagipun, bagus jugak Hana kerja cepat dengan papa. Tak adalah Hana merayau aje. Asyik shoping, shoping, shoping,” sempat lagi ian Rafiq mengusik. Hana mencebik. Suka betul nak mengutuk.
“Abang Ian ni, ke situ pulak. Suka mengata Hana tahu. Hana dah tak tahu nak buat apa, Hana pergilah shoping,” Gerutu Hana.
“Masalahnya, Hana seret abang Ian sekali. Penat tahu tunggu Hana pilih barang. Dah la nak beli satu barang berjam-jam,”Ian Rafiq pula meluahkan perasaan. Hana peluk tubuh. Matanya menjeling Ian Rafiq tajam.
“Oh, selama ni abang Ian tak ikhlas la teman Hana? Kenapa tak cakap terus terang aje? Hana tak paksa pun,” kata Hana. Ian Rafiq garu kepala. Hana ni suka betul merajuk.
“Alahai, tak akan marah lagi kot? Abang Ian gurau ajelah. Hana ni sensitif betullah,” Hana langsung tidak memberi respon dengan pujukan Ian Rafiq. “Abang Ian saja usik Hana. Abang tak kisah pun teman Hana pergi mana-mana? Pergi shoping hari-hari pun tak apa,” ternyata kata-kata Ian Rafiq berjaya memancing Hana. Pantas gadis itu menoleh. Dia senyum segaris.
“Abang Ian dah kata macam tu, abang Ian tak boleh tarik balik,” jari telunjuknya ditunding ke muka Ian Rafiq.
“Kenapa?” Tanya Ian Rafiq.
“Sebab petang ni, Hana nak ajak abang Ian shoping lagi,”jawab Hana dengan wajah yang berseri-seri.
Gulp! Ian Rafiq telan liur. Habis aku!
“Ian!” Ian Rafiq menoleh. Ain sedang melambai tangan ke arahnya.
“Kejap ye Hana. Ada benda kena settle,” Hana mengangguk. Seketika matanya menyorot ke arah sekeliling tasik itu. Pandangannya kemudian terarah kepada pasangan pengantin yang duduk tidak jauh dari mejanya. Atilia dan Akif sedang berehat sebelum menukar pakaian mereka. Gelagat mereka mencuit hati Hana. Akif kelihatan begitu romantik dengan Atilia. Sesekali dia mengelap peluh di dahi isterinya diikuti dengan kucupan lembut di pipi Atilia. Isterinya pula kelihatan malu-malu. Tetapi, sesekali tangannya akan mencuit pipi Akif. Renungan mata mereka penuh kasih.
KLIK! Hana terkejut. Ian Rafiq mengambil gambarnya tanpa disedari.
“Hey, curi ambil gambar orang. Tak baik la. Saman baru tahu,” ugut Hana. Ian Rafiq hanya tersengih. Dia tahu Hana hanya bergurau. Ian Rafiq kembali mengambil tempat di sisi Hana.
“Khusyuk nampak tengok diaorang? Dah teringin nak kahwin ke?” usik Ian Rafiq.
“Ada pulak ke situ. Hana Cuma suka tengok diaorang. Nampak sweet sangat. Kalau boleh Hana pun nak macam tu jugak nanti,” Hana senyum sumbing. Ian Rafiq mencemik. Beranganlah tu.
“Alah, baru kahwin macam tu lah. Lama-lama kahwin, sweet ke mana, sayang ke mana,” luah Ian Rafiq penuh negatif.
“Sebab tu lah kalau boleh Hana nak cari lelaki yang akan sayang Hana, setia dan cinta pada Hana sampai akhir hayat,” ujar Hana. Kedua tapak tangannya disatukan dan diletakkan di pipi kanannya. Menghayati impian yang diciptakannya.
“Hana dah ada calon ke?” tiba-tiba Ian Rafiq menyoal. Hana tersipu-sipu. “Dah adalah tu. Siapa? Tak nak beritahu abang Ian ke?” Ian Rafiq angkat kening.
Hana merenung wajah Ian Rafiq. Dia hanya tersenyum sebelum menjawab “Biarlah rahsia.”
“Dengan abang Ian pun nak rahsia?” Hana tidak menjawab. Dia masih tersenyum. Ian Rafiq angkat bahu. “Tak apalah, nanti abang tahu jugak,”
Giliran Hana pula angkat bahu. Namun, hatinya berbisik. Satu hari abang Ian akan tahu juga yang abang Ian lah lelaki yang bertakhta di hati Hana.
