Tahun 2000
Baihaqi membetulkan beg sandang di bahunya. Langkah kaki diatur perlahan ke arah tempat meletak basikal yang terletak di perkarangan sekolah. Tidak ramai pelajar yang masih berada di situ memandangkan hari sudah hampir petang.
Seketika dia terhenti apabila sampai di kelas 3 Gemilang. Kelas itu kelas Rania, gadis yang ingin dikenalinya. Namun, segalanya bukanlah semudah yang disangka. Beberapa kali Baihaqi cuba mendekati Rania, tetapi langsung tidak dilayan. Bila sahaja dia menegur ketika terserempak di luar kelas, Rania hanya buat tidak tahu sahaja. Bila Baihaqi mahu makan bersama di kantin, Rania secepat kilat bangun dari meja itu. Akhirnya Baihaqi malu sendiri. Patutlah, gadis itu sentiasa berseorangan, rupanya dia sendiri yang tidak mahu berkawan dengan orang lain. Bukan sahaja tidak mahu berkawan malah tidak mahu menerima salam perkenalan dari sesiapa pun. Bagi Baihaqi, Rania lebih suka hidup dalam dunianya sendiri.
Peliknya, Baihaqi tetap tidak berputus asa untuk mengenali Rania Nafisa. Perwatakannya yang suka menyendiri bagaikan menarik Baihaqi untuk terus mencungkil kisah hidup gadis itu. Biar apa pun yang berlaku dia akan berusaha sampai Rania sedia menerimanya sebagai teman.
Sedang dia mengelamun, dia terdengar suara merayu-rayu dari arah bengkel di belakang. Pantas Baihaqi menuju ke arah suara itu.
“Eddie, apa kau nak buat dengan buku aku tu? Bagi balik pada aku.” mata Baihaqi meliar mencari empunya suara dan ketika itu dia mendapati suara itu milik Rania. Gadis itu kelihatan resah. Di depannya seorang lelaki sedang memegang sebuah buku rujukan. Sesekali Eddie, lelaki itu mengacah-acah buku itu kepada Rania. Wajahnya kelihatan ceria benar kerana dapat mengganggu Rania. Gadis itu pula sudah mulai menangis.
“Kau kedekut sangat dengan aku kan? Aku nak tiru kau pun kau tak bagi. Pasal kau, aku kena denda dengan Cikgu Sakinah,” kata Eddie.
“Meniru tu salah, Eddie. Lagipun aku tak nak bersubahat dengan kau,” balas Rania geram. Dia benci dengan perangai Eddie yang suka benar meniru kerja rumahnya. Penat dia menyiapkannya, senang-senang saja Eddia mahu meniru. Buruk perangai betul.
“Aku tak kira, semuanya sebab kau. Sekarang buku rujukan ni ada pada aku. Kau merayu macam mana pun, aku tetap tak akan bagi balik,” Eddie mendengus.
“Tu buku perpustakaan Eddie. Aku pinjam aje. Tolonglah bagi balik pada aku,” rayu Rania lagi. Entah apa yang mahu Eddie lakukan dengan buku rujukan itu.
“Sebab buku perpustakaanlah aku nak ambil. Biar kau pula kena denda sebab hilangkan buku ni. Aku nak kau juga rasa apa yang aku rasa,” Eddie berkata penuh dendam. Malu didenda berdiri diluar kelas masih belum hilang. Dia diejek oleh rakan-rakannya serta diperli oleh pelajar perempuan yang melalui kelasnya. Sakit hatinya pada Rania yang tidak membenarkannya meniru kerja rumah kali ini.
“Tolonglah jangan buat macam tu. Aku akan bagi kau tengok kerja rumah aku lain kali. Aku janji,” tutur Rania. Dia sudah penat melayan karenah Eddie. Sekiranya buku rujukan itu hilang atau rosak pasti dia terpaksa menggantikannya. Dia tidak mampu untuk membayarnya. Dia bukan orang senang dan Eddie pun tahu hal itu. Rania kesal dengan perangai Eddie yang langsung tidak memikirkan keadaan dirinya.
“Sudah terlambat.” Pucat muka Rania bila melihat Eddie mahu mengoyak buku itu.
“Eddie! Jangan!” Rania melarang tapi Eddie langsung tidak mempedulikannya.
“Woi!” perbuatan Eddie terhenti apabila terdengar sergahan dari belakangnya. Dia telan liur apabila melihat Baihaqi berjalan mendekatinya. Eddie memang kenal Baihaqi. Siapa yang tidak kenal Baihaqi? Selain jejaka idaman Malaya, dia juga merupakan pengawas sekolah yang cukup disegani. “Dari jauh aku dengar bising-bising. Kau buat apa dengan dia?” soal Baihaqi. Wajahnya serius.
“Err..tak..tak ada apa abang. Kami cuma…cuma gurau-gurau aje,” jawab Eddie terketar-ketar.
“Kau jangan ingat aku tak nampak apa kau buat tadi. Kau nak rosakkan buku ni kan?” Baihaqi menarik telinga Eddie.
“Aduh! Sakit abang. Sumpah abang saya gurau aje. Saya…nak usik Rania aje. Sakit abang, aduh. Tolong lepaskan telinga saya abang,” giliran Eddie pula merayu. Rania yang sedang menahan tangis, tersenyum. Kelakar pula dia melihat Eddie dipiat telinga oleh abang senior. Tadi eksyen sangat. Baru kena tarik telinga dah mengelabah.
“Eh, dia ni kan yang selalu tegur aku tu,” bisik Rania. Dia baru perasankan Baihaqi.
“Aku boleh lepaskan kau. Tapi, aku nak kau bagi balik buku tu dekat dia. Kalau tak, siap kau.” Baihaqi memberi arahan. Eddie mengangguk-angguk.
“Ingat ya, kalau aku nampak kau buat macam ni lagi dekat dia atau orang lain, aku akan ambil tindakan. Faham?”
“Fa..faham abang,” Baihaqi melepaskan telinga Eddie. Pemuda itu perlahan-lahan mendekati Rania.
“Cepat!”jerkahan Baihaqi membuatkan Eddie kelam kabut menyerahkan buku kepada Rania dan terus berlalu dari situ. Rania ketawa kcil melihat adegan itu. Tanpa disedarinya, Baihaqi sedang merenungnya. Pertama kali dia melihat Rania ketawa. Comel!
Baihaqi berjalan mendapatkan Rania dan dia lega kerana gadis itu tidak pula lari seperti selalu. “Awak tak apa-apa?” Tanya Baihaqi. Rania menggeleng.
“Terima kasih,”ucap Rania bersama seulas senyuman yang jarang diberikan kepada sesiapa pun. Baihaqi mengangguk. Seketika mereka terdiam.
“Saya Baihaqi Arasy.” Baihaqi memperkenalkan diri walaupun dia rasa sudah banyak kali dia memperkenalkan dirinya kepada Rania setiap kali menegur gadis itu. Tangannya dihulur. Rania teragak-agak menyambut huluran itu. Apabila Baihaqi mahu menarik kembali tangannya, Rania cepat-cepat menyambutnya.
“Rania Nafisa,” ujarnya. Kali ini giliran Baihaqi pula tersenyum panjang.
******************************************************************************
Rania menolak galah panjang ke arah buah mangga yang sedang masak ranum di atas pokok. Diayun-ayun kesana kemari supaya buah itu jatuh. Petang-petang begini teringin pula dia makan buah mangga. Sedap kalau dicicah dengan garam belacan buatan Mak Su Aliyah. Memang boleh kecur air liur dibuatnya.
Sekali, dua kali, tiga kali galah itu ditolak, akhirnya buah mangga itu jatuh ke tanah. Rania menyandarkan galah itu ke pokok yang tingginya melepasi bumbung rumah mereka. Baru sahaja dia mahu mengutip buah mangga itu, ada tangan yang terlebih dahulu mengambilnya.
Rania angkat kepala. Baihaqi sedang tersenyum sambil menunjukkan buah mangga di tangan kanannya. Rania kaget seketika dengan kedatangan Baihaqi di rumahnya.
“Eh, Haq. Macam mana awak boleh ada dekat sini?” Tanya Rania. Semenjak kejadian di bengkel sekolah tempoh hari, hubungan mereka semakin baik. Rania juga sudah dapat menerima kehadiran Baihaqi sebagai temannya walaupun pada mulanya dia berasa agak pelik. Yalah, dia tidak pernah punya kawan selama ini. Tiba-tiba ada orang sudi bersahabat dengannya, sudah tentu dia berasa sedikit janggal dengan keadaan itu.
“Tadi, saya lalu dekat sini. Nampak macam awak. Sebab tu saya singgah nak pastikan. Rupanya memang betul awak, Nia.” Baihaqi menyerahkan buah mangga itu kapada Rania.
“Oh,” kata Rania pendek. Sebenarnya dia malu apabila Baihaqi melihat keadaan rumahnya yang daif. Lagipun, dia tahu Baihaqi anak orang senang. Pasti lelaki itu tidak selesa berada di rumahnya yang serba kekurangan.
“Nia, dah siap ke ambil buah mangga tu?” laung Mak Su Aliyah. Dia sedang turun ke halaman rumah. Di tangannya terdapat pisau dan semangkuk garam belacan.
“Dah mak su,” balas Rania. Dia tidak tahu apa yang nak dibuatnya. Sama ada mahu mempelawa Baihaqi untuk makan buah mangga bersama atau menyuruh temannya itu pulang saja.
Aliyah baru terperasan Rania sedang berbual dengan seseorang. Dia mendekati Rania.
“Siapa ni Nia?” soalnya.
“Saya Haq. Kawan Rania. Mak su apa khabar?” tanpa perlu menunggu kata-kata daripada Rania, Baihaqi terlebih dahulu memperkenalkan diri.Dia bersalam dan mencium tangan Aliyah. Rania hanya memerhati. Namun, dalam hatinya terasa senang dengan perlakuan Baihaqi terhadap ibu saudaranya itu. Lagi dia suka bila Baihaqi memanggil Aliyah dengan pangilan Mak Su. Seperti mereka sudah lama kenal.
“Khabar baik,” jawab Aliyah. “Kawan Rania? Satu sekolah la ni?” Aliyah menyoal lagi.
“Satu sekolah tapi lain tingkatan.” Ramah Baihaqi berbicara. Aliyah tsenang hati dengan budi bahasa yang ditunjukkan Baihaqi.
“Eh, marilah join Mak Su dengan Nia makan mangga ni. Sedap makan petang-petang macam ni sambil kena angin,” pelawa Aliyah. Baihaqi mengangguk. Dia mengekori langkah Aliyah dan Rania ke arah pangkin yang terletak di bawah pohon cermai. Sambil menjamu selera, Aliyah tidak putus bertanya tentang latar belakang Baihaqi. Rania pula sesekali menyampuk.
“Ibu dan ayah Haq kerja apa?” Tanya Aliyah sambil menyuap mangga ke dalam mulutnya.
“Mummy tak kerja, tapi daddy kontraktor. Diaorang sekarang tinggal dekat Kuala Lumpur dengan adik Haq,” jujur Baihaqi menjawab.
“Jadi, Haq tinggal dengan siapa dekat kampung tu?”
“Haq tinggal dengan Pak Cik Haq. Bila dah habis sekolah baru Haq pergi KL, tinggal dengan keluarga Haq kat sana,” terang Baihaqi. Seronok pula dia berbual dengan Aliyah yang sudah seperti wartawan gayanya.
“Mak Su ni banyak tanya betullah. Tak sempat Haq nak makan tu,” tegur Rania.
“Maaflah Haq. Mak Su teruja bila ada kawan Rania datang rumah. Maklumlah, selama ni tak ada siapa yang sudi nak datang ke teratak buruk kami ni,” tutur Aliyah merendah diri. Ada nada sayu dalam suaranya. Sungguh dia terharu dengan kehadiran Baihaqi. Sekurang-kurangnya ada juga teman Rania. Dia khuatir sebenarnya jika Rania tidak punya kawan. Anak saudaranya itu suka benar menyendiri. Mungkin, penghinaan yang diterimanya menjadikannya sebegitu. Bila mengenangkan perkara itu disebabkan dirinya, Aliyah mula rasa bersalah.
“Janganlah cakap macam tu mak su. Teratak buruk pun akan jadi istana kalau wujud kasih sayang. Lagipun apa gunanya rumah besar-besar kalau isi di dalamnya kosong dan tak bermakna,” kata-kata Baihaqi menyentuh hati Rania. Ada keikhlasan dalam bicara itu.
“Betul kata Haq tu. Tanpa kasih sayang, hidup pun tak terasa hidup,” balas Aliyah. Baihaqi mengangguk. Sesekali matanya melirik ke arah Rania dan apabila mata mereka bertentangan, cepat-cepat gadis itu memandang ke arah lain. Malu.
“Terima kasih Haq sebab belikan saya novel ni,” ucap Rania. Dia merenung novel Pilot CafĂ© yang berada di tangannya. Sudah lama dia mengidam untuk mendapatkan novel tulisan Ahadiat Akashah itu. Tetapi kekangan kewangan selalu membantutkan keinginannya. Dia sendiri sedar, banyak lagi perkara yang perlu didahulukan berbanding berbelanja untuk membeli novel. Tapi, hari ini segalanya bagaikan mimpi bila Baihaqi sudi menghadiahkan novel itu kepadanya.
“Tak ada apalah. Saya tahu awak memang minat baca novel kan?” balas Baihaqi. Mereka berjalan keluar dari kedai buku Popular yang terletak di tingkat 5 City Plaza. Baihaqi sengaja mengajak Rania keluar. Sekadar mengambil angin sebelum dia menghadapi peperiksaan SPM beberapa hari lagi. Atau lebih tepat lagi, dia mahu melepaskan rindu terhadap Rania. Baihaqi sendiri tidak sedar sejak bila Rania mula mengisi ruang dalam hatinya. Yang pasti, kini tidurnya sering dihiasi wajah Rania.
“Saya memang minat sangat baca novel. Tapi, saya tak mampu nak beli. Selalu saya pinjam dekat perpustakaan sekolah aje. Tak sangka hari ni saya dapat novel ni. Terima kasih sangat Haq,” Baihaqi hanya mengangguk.
“Kalau ada apa-apa yang awak nak, jangan malu cakap dengan saya. Kalau mampu saya akan belikan untuk awak,” ujar Baihaqi ikhlas. Senyuman di bibir Rania mulai hilang mendengar kata-kata Baihaqi. Terasa dia bagaikan mengambil kesempatan ke atas kebaikan Baihaqi walaupun pada hakikatnya dia tidak pernah meminta dibelikan apa-apa. “Kenapa Nia?” soal Baihaqi apabila menyedari perubahan wajah Rania.
“Haq, saya mungkin anak orang susah tapi saya tak akan sekali-kali meminta pada orang untuk memenuhi kehendak saya,”kata Rania tegas.
“Nia, saya minta maaf. Saya tak bermaksud macam tu. Saya cuma nak tolong awak. Tolong jangan salah faham dengan kata-kata saya Nia,” balas Baihaqi. Sungguh dia langsung tidak berniat untuk mengguris hati Rania. Dia tahu Rania gadis yang baik. Sebentar tadi pun, Rania menolak apabila Baihaqi mahu membelikannya novel itu. Setelah dipujuk barulah Rania menerima dengan senang hati.
Rania masih mendiamkan diri.
“Nia, please. Saya minta maaf. Saya tak akan cakap macam tu lagi. I’m sorry ok,” pujuk Baihaqi. Kesal dengan sikapnya sendiri yang tersilap cakap. Rania memandang wajah Baihaqi. Ada garis kesal yang terpamer. Dia tahu Baihaqi ikhlas dengannya. Cuma dia saja yang terlalu sensitif.
“Tak apalah Haq. Awak tak salah pun. Saya yang sensitif sangat,” kata Rania sambil tersenyum.
“Awak mafkan saya kan?” Rania mengangguk. Baihaqi lega. Takut benar dia jika Rania merajuk.
“Hei Haq! lama tak jumpa,” satu suara menyapa Baihaqi membuatkan mereka serentak menoleh. Kelihatan Izzat dan Amir yang merupakan kawan Baihaqi sedang berjalan ke arah mereka.
“Eh, Amir, Ijat” Mereka bertiga bersalaman.
“Lama kau hilang. Tak sangka boleh jumpa dekat sini,” kata Amir pula. Baihaqi tersengih manakala Rania hanya diam.
“Sibuk sikitlah. Kan aku nak exam tak lama lagi,” kata Baihaqi.
“Yalah tu. Sibuk exam ke sibuk bercinta? Ni siapa ni? Tak nak kenalkan ke?” usik Izzat sambil mengangkat keningnya. Matanya jatuh pula ke wajah Rania.
“Ini Rania…” Baihaqi melihat Rania sebelum menyambung kata. “Girlfriend aku,” Rania terasa pipinya merah mendengar ayat terakhir Baihaqi. Jantungnya terasa berdegup kencang.
“Kan betul aku cakap tadi, Jat. Dia sibuk bercinta.” Izzat dan Amir gelak meriah. Rania pula sudah tidak tahu mana hendak letak muka. Malu sangat-sangat.
“Asyik sibuk hal aku. Kauorang buat apa pulak kat sini?” Baihaqi cuba menukar topik. Sementelah dia sendiri malu dengan pengakuannya. Pengakuan secara tidak langsung.
“Aku teman si Amir ni cari barang. Kacau nak ajak aku. Bukan tak boleh beli sendiri,” bebel Izzat.
“Woi, kau ikhlas ke tak tolong aku ni? Aku tak adjust kau dekat adik aku baru tahu,” ugut Amir pula.
“Ala, cakap macam tu pun nak sentap. Okaylah Haq. Kitaorang pergi dulu. Nanti marah pulak Rania ni kena tunggu kau lama-lama. Bye Haq…bye Rania. Selamat bercinta,” Izzat sempat mengenyitkan matanya sebelum dia dan Amir beredar.
“Maaflah Nia, diaorang memang suka mengusik,” kata Baihaqi apabila Amir dan Izzat hilang dari pandangan.
“Tak apa,” jawab Rania. Sebenarnya dia masih berdebar apabila teringatkan kata-kata Baihaqi tadi.
“Nia, saya harap awak tak kisah bila saya kata awak girlfriend saya tadi, sebab…sebab…” tersekat-sekat Baihaqi dibuatnya. Sudah benar nak meluahkan perasaan. Rania tidak mencelah malah sabar menunggu tutur Baihaqi seterusnya. “Sebab saya memang suka awak dan kalau awak sudi, saya nak awak jadi girlfriend saya.” Baihaqi terasa bagaikan ada beban yang jatuh dari kepalanya apabila dia berjaya menuturkan ayat itu. Rania pula terasa jantungnya berdebar tahap maksima. Dia kehilangan kata-kata. “Nia?” panggil Baihaqi apabila Rania hanya mendiamkan diri. Aduh, dia marah aku ke?
“Saya…saya pun suka awak,” Rania terus berjalan laju meninggalkan Baihaqi yang seolah-olah tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Namun, dia yakin akhirnya apabila dia melihat wajah Rania yang berseri-seri sedang tersenyum padanya.
******************************************************************************
Baihaqi menarik nafas panjang. Kenangan 10 tahun lalu terlayar di minda. Segalanya sangat indah untuk diingati. Dia sendiri tidak tahu klasifikasi kisah cintanya itu. Cinta monyet seperti kata Ian Rafiq atau cinta sejati kerana perasaan itu tidak pernah hilang walaupun bertahun dia dan Rania terpisah. Dan hari ini bila mereka bertemu semula, rasa itu kian bercambah.
Wajah Rania yang sedang terbaring di katil, direnung penuh kasih. Tenang benar riaknya. 10 tahun tidak bersua, wajah Rania kelihatan lebih manis dan matang. Ketika Rania pengsan sebentar tadi, dialah manusia yang paling kelam kabut. Tanpa berfikir panjang, tubuh gadis itu didukungnya ke bilik sakit. Pasti staff yang melihat kelakuannya berasa hairan, namun Baihaqi tidak dapat melawan rasa cemas yang bermukim dalam hatinya.
Rania di bawa ke hospital oleh Niza dan Sharifah apabila badannya semakin panas. Dia tidak dapat menghantar gadis itu kerana masih banyak urusan. Niza kemudian menghubunginya dan memaklumkan Rania demam panas. Sementara menunggu habis waktu pejabat, Baihaqi resah sendiri. Dia mahu berada di sisi Rania. Dan, sebaik sahaja waktu menunjukkan pukul 5 petang, Baihaqi sudah memecut ke hospital. Mujur, Niza sudah memaklumkan bilik Rania ditempatkan. Kini, dia berada di bilik ini. Rania masih belum sedar. Namun suhu badannya sudah semakin menurun.
Perkara itu sedikit sebanyak melegakan hati Baihaqi. Dalam diaam dia bertekad untuk bersama Rania semula. Dia tidak sanggup kehilangan gadis kesayangannya itu lagi. Cukuplah sekali.
