Thursday, 11 April 2013

Kisahnya bermula di sini....

Ececeh tajuk macam  lagu pulak...Mulanya di sini...hehe
Sebenarnya tadi masa dok godek pendrive terjumpa satu artikel. Artikel ni dah lama di tulis. Kalau tak salah 2 tahun lepas. Rasa macam teringin nak share. Saya tak pandai sangat tulis artikel dan ini hanya sekadar suka-suka. Kalau sudi baca, bacalah dan kalau sudi komen, komenlah...kalau infonya tak up to date jangan marah ye sebab seperti yang saya nyatakan dekat atas artikel ni sudah 2 tahun dirtulis. Enjoy guys...:) 


____________________________________________________________

ADAPTASI NOVEL : PERMULAAN SEBUAH KISAH
OLEH : TIA KIRANA

Setelah mengalami zaman yang suram, industri perfileman Malaysia kini dilihat kembali meriah. Pelbagai genre filem yang diketengahkan oleh penggiat-penggiat filem bagi menarik para penonton ke pawagam. Antara genre yang popular ialah seram, komedi, romantik dan juga aksi. Terbaru, filem yang diadaptasi dari novel pula menjadi perhatian.
            Sebenarnya trend filem yang diadaptasi daripada novel telah lama bermula di Malaysia. Filem-filem seperti ‘Langit Petang’ dan ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ misalnya merupakan filem yang diadaptasi dari naskah novel pada tahun 1982 dan 1983.  Kedua-dua novel ini merupakan karya Datuk A. Samad Said dan Shahnon Ahmad yang cukup berkualiti tinggi. Naskah sastera ini cukup bernilai dan atas sebab itu karya ini telah diadaptasi ke Layar Perak. Selepas itu, trend adaptasi ini semakin berkurangan dan hanya beberapa buah karya yang diadaptasi ke dalam bentuk drama televisyen.
            Benar, filem-filem adaptasi dari naskah novel telah lama berkembang di negara barat. Malah filem-filem seperti ‘Harry Potter’, ‘Lord Of The Ring’ dan ‘Twilight’ mendapat sambutan cukup hangat di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Namun, penulis lebih suka melihat trend adaptasi ini dari sudut pembikinan filem di Malaysia yang semakin meningkat mutakhir ini. Bermula dengan filem ‘Lagenda Budak Setan’ karya Ahadiat Akashah yang mendapat sambutan memberangsangkan dari orang ramai, penerbit dan penggiat filem dilihat berlumba-lumba mencari naskah novel yang boleh diadaptasikan dalam bentuk filem dan drama.
Penulis mendapati kebanyakkan novel yang dipilih merupakan karya yang telah mendapat sambutan memberansangkan daripada khalayak. Setiap novel ini telah dicetak berkali-kali dan hal ini membuktikan karya-karya ini mempunyai ramai pengikut setia. Novel ‘Kasih Yang Suci’ karya Meen Zulaikha misalnya mula dikeluarkan pada tahun 2009. Empat tahun kemudian drama bersiri ‘Nora Elena’ yang diadaptasikan daripada novel ini pula telah dihasilkan dan dalam tempoh tayangannya di TV3, drama bersiri ini telah berjaya mencapai rating yang cukup membanggakan. Kebanyakkan khalayak yang menonton ‘Nora Elena’ merupakan pengikut novel ini dan juga peminat novel yang pernah membaca karya tersebut. Walaupun novel ini telah berusia hampir empat tahun, namun para peminat ‘Kasih Yang Suci’ tetap mengingati kisah ini dan setia menunggu tayangannya pada setiap petang.
Sekiranya anda merupakan peminat novel ‘Ombak Rindu’, pastinya anda sedia maklum mengenai fenomena yang telah dicetuskan oleh filem adaptasi dari karya Fauziah Ashari ini. Setelah di tayangkan selama 26 hari di pawagam seluruh negara, filem ini telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM 10.90 juta. Jumlah ini dikatakan berjaya mencapai kutipan pecah panggung. Walaupun tidak dapat menyaingi kutipan filem ‘KL Gangster’ yang berjumlah RM 11.74 juta, tetapi jumlah ini juga membuktikan bahawa filem ini mempunyai pengaruhnya yang tersendiri.
Novel keluaran alaf 21 ini telah 23 kali diulang cetak sejak dihasilkan pada tahun 2002. Apabila tarikh tayangan filem semakin dekat, cetakan semula telah dilakukan dan novel ini tetap mendapat sambutan ramai. Bayangkan betapa ramai pembaca yang akan ke pawagam untuk melihat ‘Ombak Rindu’ direalisasikan di layar lebar. Justeru, tidak hairanlah sekiranya filem ini telah berjaya mencapai kejayaan yang sungguh luar biasa.
            Jalan cerita yang menarik juga merupakan faktor utama dalam meraih sambutan khalayak. Antara tema yang sering menjadi pilihan penulis adalah cinta dan kekeluargaan. Kadangkala penceritaanya juga agak Cliché. Tetapi, ini bukan satu masalah sekiranya penulis novel bijak menggunakan gaya bahasa yang mampu membuai perasaan khalayak. Seterusnya apabila penerbit menjadikan karya-karya ini sebuah filem atau drama, penonton dengan mudah akan tertarik untuk menonton jalan cerita tersebut. Hal ini kerana mereka mahu melihat sejauh mana ‘jiwa’ cerita dalam novel itu berjaya dihidupkan seperti mana imaginasi yang diwujudkan oleh mereka sendiri.
            Novel ‘Ombak Rindu’ misalnya mempunyai konflik sejak permulaan cerita. Boleh dikatakan apabila khalayak terlalu menghayati novel ini, mereka seolah-olah dapat merasai penderitaan yang dilalui oleh watak utamanya ‘Izzah’. Apabila novel ini diangkat ke filem, khalayak dapat melihat sendiri bagaimana ‘Izzah’ mengharungi segala kesusahan itu dan melalui garapan yang baik serta muzik latar yang mendayu-dayu dapat membuatkan jiwa mereka tersentuh dan mengalirkan air mata kesedihan. Malah, ada kalangan penonton yang menonton filem ini lebih dari sekali kerana terpikat dengan jalan ceritanya.
            Peranan pengarah juga tidak dapat dinafikan. Pengarah yang baik dapat menghasilkan filem yang menepati citarasa dan keinginan penonton. Walaupun sesebuah novel mempunyai jalan cerita yang menarik tanpa setuhan pengarah yang berbakat, sesebuah filem atau drama tidak akan dapat berjaya memikat penonton. Osman Ali merupakan pengarah yang cukup tersohor di Malaysia. Beliau terkenal dengan hasil pengarahannya dengan filem seperti ‘Bukak Api’, ‘Anak Halal’, ‘Cun’ dan banyak lagi. Walaupun pertama kali mengarahkan filem adaptasi, ternyata naskah ‘Ombak Rindu’ ditangannya tidak menghampakan. Kini, Osman Ali sedang mengarahkan drama bersiri ‘Bicara Hati’ yang juga merupakan adaptasi novel karya Damya Hanna dengan tajuk yang sama. Selain ‘Ombak Rindu’, drama ini juga merupakan terbitan Tarantella Picture.
            Tidak dinafikan trend adaptasi ini memberikan pelbagai kesan yang pelbagai terhadap industri perfileman dan masyarakat. Misalnya, populariti pelakon yang membintangi drama dan filem adaptasi ini mudah meningkat naik. Penulis mengambil contoh aktor Aaron Aziz yang telah membintangi filem ‘Ombak Rindu’ dan drama ‘Nora Elena’. Kedua-dua filem dan drama ini ternyata menaikkan popularitinya. Khalayak telah dibuai dengan keromantikan watak ‘Seth Tan’ yang dipegangnya dalam ‘Nora Elena’. Aaron juga telah membintangi filem paling meletup 2011 iaitu ‘KL Gangster’ arahan Syamsul Yusof.  Kemunculannya sebagai ‘Hariz’ dalam filam ‘Ombak Rindu’ kemudiannya membuatkan Aaron Aziz menjadi fenomena pada tahun 2011. Malah, teater ‘Badai Semalam’ yang dibintanginya di Istana Budaya telah menjadi produksi teater yang mempunyai paling ramai penonton. Buat pengetahuan anda, teater ‘Badai Semalam’ juga merupakan adaptasi dari Novel Badai Semalam karya Khadijah Hashim yang diterbitkan pada 1968. Malah, pihak media juga telah melabelkan tahun 2011 sebagai ‘Tahun Aaron Aziz’.
            Seterusnya, sambutan menggalakkan yang diberikan terhadap filem ‘Ombak Rindu’ menunjukkan khalayak mula menunjukkan minat terhadap filem yang bergenre melodrama setelah sekian lama disogokkan dengan filem seram dan komedi. Bukan mudah untuk filem-filem yang bercorak seperti ini untuk memberikan impak mendalam kepada penonton. Lazimnya, penonton lebih menggemari filem yang bercorak ringan seperti komedi untuk dijadikan bahan tontonan. Apabila filem ‘Ombak Rindu’ ini mencipta fenomena dengan tayangannya yang luar biasa, ternyata khalayak mula meminati kembali filem-filem yang bercorak melodrama dan membuai perasaan seperti ini. Apatah lagi, setelah sekian lama filem melodrma seperti Azura(1984), Sembilu(1994) dan Sembilu 11(1995) dihasilkan.
            Tidak dapat dinafikan, dunia penulisan novel juga semakin meriah apabila filem dan drama yang yang diangkat dari naskah novel ini mendapat sambutan menggalakkan. Khalayak kembali mendapatkan semula novel-novel tersebut untuk menjiwai kisah yang akan atau sedang ditayangkan. Novel-novel ini telah diulang cetak dan bergilir-gilir menduduki carta teratas buku yang terlaris. Menariknya, melalui adaptasi seperti ini penulis novel yang selama ini kurang menonjol semakin dikenali. Antaranya Fauziah Ashaari, Anis Ayuni, Damya Hana dan Meen Zulaikha. Walaupun kadangkala cerita yang dikeluarkan oleh media adalah mengenai kisah yang kurang enak didengar, tetapi kita tidak dapat menafikan hal ini juga membantu memperkenalkan penulis kepada masyarakat.
            Walaupun filem dan drama ini diadaptasi daripada novel, ada penulis skrip dan pengarah yang tidak mengambil keseluruhan jalan cerita secara bulat-bulat. Hal ini untuk menyesuaikan dengan situasi masyarakat atau juga untuk penambahbaik jalan cerita. Adakala penulis novel akan menjadi tidak berpuas hati apabila novel garapannya diubah, namun pengarah tetap mempunyai alasan tersendiri. Bagi penulis, wajar kiranya semua pihak yang terlibat dalam proses penerbitan filem atau drama ini melakukan perbincangan dengan teliti supaya sebarang kesulitan dapat dielakkan pada masa depan.
            Secara koklusinya, kita tidak dapat menafikan bahawa trend adaptasi novel ke filem dan drama ini semakin menjadi fenomena dalam masyarakat. Jika dilihat pada situasi sekarang, lebih banyak naskah novel yang akan diangkat untuk dijadikan filem atau drama. Setakat ini sudah terdapat usahasama antara syarikat penerbitan buku dengan produksi filem dan drama yang bersama-sama mahu mengangkat naskah novel berkualiti menjadi sebuah filem atau drama. Masyarakat juga sudah semakin bijak menilai setiap naskah yang disajikan sebagai bahan tontonan mereka. Oleh itu, penerbit filem atau drama yang mahu mengadaptasi novel harus lebih peka dengan citarasa penonton dan tidak hanya melakukan kerja secara ‘tangkap muat’ sahaja. Pastinya para penonton tidak mahu dikecewakan setelah menunggu naskah novel kegemaran mereka dijadikan drama atau filem sejak sekian lama.  
Yahoo! Images

RUJUKAN

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm

Wednesday, 3 April 2013

Cinta, Kasih Kita 17


Pemandangan malam kelihatan indah. Bintang-bintang bertaburan di dada langit. Cahayanya terasa mendamaikan mata yang memandang. Namun, masih ada insan yang diselubungi keresahan dalam suasana yang aman begini.
            Rania memeluk lutut. Dari balkoni rumah, dia memandang ke langit. Sesekali keluhan kedengaran dari bibirnya. Tangannya dari tadi memegang telefon bimbit. Sekejap-sekejap direnung skrin telefon itu.
            Misha yang sedari tadi memandang ulah gadis itu, hanya mampu menggeleng. Dia seakan-akan mampu menebak apa yang berada di hati Rania. Gadis itu menunggu panggilan dari Baihaqi. Bukan dia tidak tahu, hampir setiap malam lelaki itu akan menghubungi Rania untuk bertanya khabar walaupun Rania melayannya acuh tidak acuh sahaja.  
            Kadang kala Misha sendiri tidak faham, masing-masing suka sama suka. Tapi kenapa sukar benar mahu bersama? Baihaqi sudah menghulur tangan, Rania pula menolak. Sudahnya, sahabatnya itu merana sendiri. Mahu salahkan siapa bila semua ini terjadi? Sofiyya? Hish! Dia pun tidak mengerti apa pentingnya gadis yang bernama Soffiya dalam perhubungan ini. Mungkin ke Soffiya itu teman wanita atau tunang Baihaqi. Tetapi Rania telah merebut lelaki itu dari Soffiya dan sekarang gadis itu berasa bersalah dan menanggung akibat dari perbuatannya. Timbul spekulasi dalam kepala Misha.
            Misha menepuk pipinya. Dia sudah mula berfikir bukan-bukan. Agaknya dia pun sudah berjangkit penyakit Rania yang suka berkhayal a.k.a termenung itu. Misha akhirnya menghampiri Rania dan duduk di sebelahnya. Dia turut sama memandang ke arah langit.
            “Dah jumpa ke Nia?” soal Misha. Kepalanya tercangak-cangak ke atas. Rania memandang Misha.
            “Ha? Apa kau cakap?” Rania kerut dahi. Dia tidak perasan soalan Misha.
            “Aku tanya, kau dah jumpa ke?” ulang Misha.
            “Jumpa? Jumpa apa?” Rania menyoal kembali. dia tidak memahami soalan yang diutakan kepadanya.
            “Jumpa muka Baihaqi di antara bintang-bintang tu.” jawapan Misha yang bersahaja itu ternyata berjaya mengundang senyuman di bibir Rania. Kelakar pula dia mendengar kata-kata Misha.
            “Merepek la kau ni Sha.” Rania masih tersenyum.
            “Senyum pun. Dari tadi monyok aje muka tu. Aku ingat kau dah lupa cara nak senyum,” Misha masih mahu mengusik.
            “Mana ada. Aku okay je,” Rania kembali mendongak langit. Memang dia ternampak wajah Baihaqi di situ. Hatinya rindu.
            “Bukan sehari dua aku kenal kau Nia. Dah bertahun. Muka kau okay dengan susah hati aku dah cam sangat. Kalau dah macam ni punya gaya, maknanya kau ada masalah. Cuba kau cerita dengan aku. Jangan simpan seorang. Aku tak suka tengok kau sedih,” pujuk Misha. Dia tahu Rania sedang berduka. Semua itu terpancar dari riak wajahnya.
            “Kau ni dah macam pak belalang pulak Misha. Pandai tengok muka orang,” Rania pula cuba berlawak. Namun, semuanya terasa hambar. Dia tahu dia tidak mampu menyembunyikan kesedihannya dari Misha.
            “Ceritalah, Nia.” Ujar Misha sekali lagi. Rania diam. Seketika dia melepaskan keluhan.
            “Semalam hujan lebat. Haq hantar aku balik lepas dia ternampak aku jalan dalam hujan. Tapi di pertengahan jalan, kami bertengkar,” Rania berjeda.
            “Lepas tu?” soal Misha tidak sabar.
            “Lepas tu aku suruh dia berhenti tepi jalan. Aku nak balik jalan kaki aje. Rupanya, Haq pun turun sekali. Dia halang aku. Masa tu hujan lebat sangat Misha. Haq basah kuyup. Dan hari ni, dia demam. Aku rasa bersalah sangat Sha,” Rania menekup mukanya ke lutut.
            “Patutlah kau selesema hari ni. Rupanya kau jadi Hindustan ye semalam.” Rania menjeling Misha yang masih sempat berlawak mendengar kisahnya. “Janganlah marah. Aku gurau aje. Jadinya sekarang, kau rasa bersalah dengan Haq lah ni?” sambung Misha lagi. Rania mengangguk. Hidungnya yang berair dikesat.
            “Kalau macam tu, kau telefonlah dia. Minta maaf. Kan selesai masalah,” Misha cuba memberi jalan penyelesaian.    
            “Aku dah mintak maaf dengan dia Misha tapi…,”
           “Tapi?” Misha menunggu kata-kata Rania seterusnya. Kali ini, mata Rania mula merah. “Nia?” panggil Misha.
            “Dia marah aku, Sha. Dia marah sebab aku tak terima dia. Dia marah sebab dia susah nak lupakan aku walaupun aku dah tak mahukan dia. Dan sekarang dia dah nekad tak nak ganggu aku lagi. Dia nak pergi dari hidup aku,” esakan Rania kedengaran. Pedih dia menucapkan ayat itu. Mengingati bicara Baihaqi sebentar tadi hanya mengundang pilu seluruh jiwanya. Jauh di sudut hati, Rania sedar dia tidak boleh menerima pemergian Baihaqi dari hidupnya lagi walaupun itu yang dimahukan pada mulanya. Dia tidak boleh membayangkan hidupnya andai Baihaqi betul-betul hilang dari hidupnya.
            Misha menarik nafas dalam-dalam. Dia seolah-olah tidak percaya mendengar kata-kata Rania. Setahunya, Baihaqi terlalu menyayangi Rania. Tak akan begitu mudah, lelaki itu menyerah kalah. Walaupun berkali Rania menolak, Baihaqi tetap teguh menunggu gadis idamannya itu.
            Tapi, siapa tahu mungkin Baihaqi sudah mula merasa bosan dengan karenah Rania yang sering menguji kesabarannya. Walau perasaan sayangnya tinggi melangit tetapi yang sebelah pihak lagi tidak melayan pasti hati akan mula rasa goyah. Apatah lagi, Baihaqi sering dikelilingi dengan gadis-gadis cantik dalam kehidupannya.
            “Kau biar betul, Nia. Baihaqi cakap macam tu?” soal Misha. Rania hanya mengangguk. Mungkin dia tak serius dengan kata-kata dia kot?” Misha cuba meredakan keresahan Rania.
            “Tak Misha. Aku tahu dia memang bersungguh dengan kata-kata dia. Aku boleh nampak dari mata dia,” Rania menutup mukanya. Cuba menahan air mata yang kian mengalir banyak  ke pipi.
            “Kenapa kau menangis? Bukan ini ke yang kau mahu dari dia? Kau juga yang nak dia lupakan kaukan? Sekarang dia dah ikut kehendak kau. Buat apa kau menangis?” mendatar nada suara Misha. Melihat keadaan Rania, hatinya jadi geram. Sudah berbuih mulutnya menasihati Rania agar menerima Baihaqi, tapi gadis itu berdegil. Sekarang dia pula menangis bagai nak rak apabila Baihaqi hendak mengundur diri. Apa yang sebenarnya dimahukan oleh Rania?
            “Aku sendiri tak faham dengan diri aku Misha. Kenapa aku boleh jadi macam ni. Sepatutnya, aku gembira dia akan pergi jauh dari aku. Aku tak perlu lagi mengelak daripada dia. Tapi, sekarang yang aku rasa sebaliknya. Aku tak rela berjauhan dengan dia. Kepala aku macam nak pecah memikirkan semua ni. Kenapa aku mesti cintakan dia, Misha. Kenapa?” Rania tenggelam dalam tangisannya.
            “Nia, kalau dah macam ni keadaanya, kau terima sajalah Haq. Kau dengan dia saling menyayangi. Kenapa mesti difikirkan hal lain sedangkan kebahagiaan korang yang lebih utama.”
            “Tidak Sha. Aku tak boleh pentingkan diri sendiri. Sedalam mana pun cinta aku pada dia, Haq berhak untuk dapat yang lebih baik dari aku. Aku tak layak untuk dia.”
            “Tapi…”
            “Memang aku sakit dengan semua ni, tapi kalau rasa sakit ini dapat menyelamatkan dia dari kemusanahan di kemudian hari, aku rela tanggung semuanya. Aku percaya masa akan merawat lukanya,” Rania mengelap air matanya.
            “Apa maksud kau hidup dia akan musnah jika bersama kau? Aku tak faham Rania,” Misha mengutarakan persoalan yang sekian lama bermain di kepalanya.
            “Satu hari nanti kau akan tahu sebabnya, Misha. Masa tu kau sendiri akan faham kenapa aku tak boleh bersama Haq walaupun aku terlalu sayangkan dia,” Rania tersenyum hambar. Dia bangun dan meninggalkan Misha termangu di balkoni. 
            Misha melepaskan keluhan. Bagaimana dia boleh membantu sahabatnya yang seorang ini sedangkan dia tidak tahu punca sebenar Rania menolak Baihaqi. Puas dipaksa Rania bercerita, gadis itu hanya berkata belum sampai masanya. Apa sebenarnya rahsia yang tersirat di sebalik kisah Rania-Baihaqi ini? Bingung Misha dibuatnya.
            “Misha,!”
            Terkoncoh-koncoh Misha masuk ke dalam rumah apabila terdengar jeritan Rania. Wajah Rania kelihatan pucat tidak berdarah.
            “Ada apa Nia? Kenapa dengan kau ni?” Misha sudah berasa tidak sedap hati. Rania tidak menjawab sebaliknya dia menghulurkan telefon bimbitnya kepada Misha yang kebingungan. Misha menyambut telefon bimbit itu. Ada mesej yang terpapar di skrin. Dalam debar dia membaca mesej itu.

Tuan Baihaqi ditimpa kemalangan.
                         Dia ada di hospital sekarang!


IAN RAFIQ menolak pintu wad kelas 1 Gleneagles itu. Kelihatan Baihaqi sedang bersandar di kepala katil dengan kepala yang berbalut. Datin Afifah pula sedang memotong buah disebelahnya.
            “Kau saja buat aku cuak kan bro. Rasa dah cukup hebat ke kereta kau sampai pokok pun kau langgar?” Ian Rafiq duduk disebelah Baihaqi. Kepala kawannya disentuh sesuka hati.
            “Oi, agak-agaklah kalau nak pegang tu. Sakit tau tak,”Tempik Baihaqi. Tangan Ian Rafiq di tepis. Apa punya kawanlah. Tak ada kesedaran sivik langsung.
            Datin Afifah hanya tersenyum melihat karenah dua sahabat itu. Dia tahu Ian Rafiq dan Baihaqi sudah seperti adik beradik. Tengoklah semasa Baihaqi mula-mula dimasukkan ke hospital semalam. Selepas diberitahu, terus pemuda itu datang ke hospital. Risaunya Ian Rafiq hanya Allah saja yang tahu. Dia turut bersusah payah menunggu sehingga Baihaqi selesai dirawat.
            Hanya selepas diberitahu kecederaan Baihaqi tidak serius barulah Ian Rafiq menarik nafas lega. Betapa akrabnya hubungan mereka. Datin Afifah mengakui betapa beruntungnya Baihaqi kerana mempunyai sahabat sebaik Ian Rafiq.
            “Huh, manja betul anak auntie ni. Pegang sikit dah marah,” usik Ian Rafiq.
            “Sakitlah,” Baihaqi bengang diusik begitu. Ian Rafiq hanya buat tidak peduli.
            “Eloklah kamu datang Ian. Nasihat sikit kawan kamu ni. Sakit-sakit pun nak pergi kerja. Tengok, apa dah jadi,” giliran Datin Afifah pula membebel.
            “Mama, benda nak jadikan. Bukan kita nak,” balas Baihaqi. Malu pula dia dibebel begitu di depan Ian Rafiq. Rakannya itu hanya tersengih.
            “Memanglah kita tak mintak. Tapi mama geram dengan perangai Haq yang tak dengar cakap. Mama dah larangkan jangan pergi kerja kalau tak sihat. Haq tu yang tak nak dengar cakap mama. Degil,” Datin Afifah meluahkan rasa hati yang berbuku.
            “Yalah, Haq minta maaf. Lain kali Haq tak buat lagi. Okay,”pujuk Baihaqi kemudian. Kalau dilawan, makin panjang pula leteran ibunya itu. Lebih baik dia beralah saja.
            “Auntie, tak best la marah-marah. Nanti cepat kedut. Tak cunlah,” Ian Rafiq pula menambah sebelum tergelak. Datin Afifah menjeling Ian Rafiq. Selamba saja pemuda itu mengusiknya. Akhirnya dia turut sama ketawa.
           “Hish, sama aje kamu berdua ni. Pening kepala untie macam ni.” Datin Afifah memegang kepalanya. “Dahlah, mama nak pergi jumpa doctor kejap. Ian, tolong tengok-tengokkan si Haq ni ye,”
            “At your sevice ma’am” kata Ian Rafiq sambil mengangkat tabik. Datin Afifah malas melayan lantas keluar dari bilik itu. Ian Rafiq mencapai sebiji buah epal lalu dibawa ke dalam mulut.
            “Weh, buah epal tu untuk aku la,” sanggah Baihaqi.
            “Ada aku kisah,” balas Ian Rafiq. Dia duduk di kerusi yang terletak bersebelahan katil.
            “Perangai macam kanak-kanak Ribena,” kutuk Baihaqi. Kalau dia tidak sakit, mahu saja kepala Ian Rafiq dilukunya saat itu.
            “Kedekutlah kau ni. Aku laparlah. Lepas siap kerja kat studio tadi, aku terus datang sini. Mana sempat makan lagi,” Ian Rafiq cuba menagih simpati.
            “Ada aku kisah,” Baihaqi memulangkan paku buiah keras. Ian Rafiq pula mengetap bibir.
            “By the way, macam mana kau boleh sampai terlanggar pokok ni? Setahu aku kau punya tahap pemanduan tak adalah teruk sangat. Kira tahap pemandu berhemah lagi. Macam mana boleh sampai kemalangan?”soal Ian Rafiq. Dia mahu tahu cerita sebenar.
            “Benda nak jadi Ian,” Baihaqi mengulangi semula kenyataannya sebentar tadi.
            “Aku tahulah tapi aku nak tahulah macam mana kau boleh terlanggar pokok tu,” tegas Ian Rafiq pula. Baihaqi terdiam. Mengingati kejadian sebelum dia kemalangan terasa lebih menyakitkan.
            “Aku tak sihat semalam Ian. Fikiran aku kacau.” Pendek jawapan Baihaqi.
            “Fikiran kau terganggu? Ni mesti pasal kekasih hati kau tu kan?” Ian Rafiq cuba mengagak. Baihaqi mengangguk.
            “Cuba kau cerita dekat aku apa yang sebenarnya dah berlaku?” soal Ian Rafiq dengan mulut dipenuhi buah epal. Baihaqi memandang Ian Rafiq. Dia letih mahu mengingati kejadian yang menimpanya semalam.
            Hakikat sebenarnya dia kemalangan kerana terlalu banyak berfikir. Berfikir bagaimana mahu melenyapkan perasaan terhadap Rania. Dia jadi marah kerana hanya dia yang menanggung beban perasaaan ini sedangkan Rania langsung tidak berasa apa-apa. Sungguh tidak adil. Dtambah pula dengan badannya yang kian lemah, sistem tubuhnya jadi kacau bilau. Akibatnya dia jadi hilang fokus dan akhirnya melanggar sebatang pokok di tepi jalan. Mujur juga kecederaanya tidak serius.
            “I’m not in a mood right now. Nantilah aku cerita. Sekarang aku nak rehat.”
            “Alahai, feeling pulak kau ni,bro. Aku baru nak dengar cerita kau.” Tahan Ian Rafiq.
            “Jangan nak paksa. Aku ni sakit. Kena banyak rehat. Kau tu patut jaga aku. Sekarang duduk diam-diam. Jangan nak buat bising pulak,” arah Baihaqi. Ian Rafiq mencebik. Sakitlah sangat!
            Baru sahaja Baihaqi mahu menarik selimut, pintu wad tiba-tiba dibuka. Ketika itu Suhaila masuk dengan wajah cemas. Dia terus mendapatkan Baihaqi.
            “Haq, are you okay? Macam mana keadaan you. Macam mana boleh sampai accident ni?” Suhaila memegang muka Baihaqi. Dibelek kepala pemuda itu. Jelas terpancar kerisauan di wajahnya. Baihaqi menolak perlahan tangan Suhaila.
            “I’m okey. Luka sikit je dekat kepala.” Jawab Baihaqi. Suhaila menghembus nafas lega.
            “Senang hati I dengar you cakap macam tu. You know, you’re scared me to death,” balas Suhaila. Tangan Baihaqi dipegang.
            “I tak apa-apa. Tak payahlah risau sangat.” Baihaqi sekali lagi menolak tangan Suhaila yang menyentuhnya.
            “Jangan risau you kata. You know how I feel towards you. How come I’m not worried,” Suhaila meluahkan rasa hatinya.
            “Ehem!” Ian Rafiq berdehem. Amboi, sejak tadi aku ni macam tak wujud je depan diorang ni. Suhaila dan Baihaqi memandang Ian Rafiq.
            “Err…lupa pulak nak kenalkan. Sue ni Ian Rafiq. Ian meet Suhaila, my secretary,” Baihaqi memperkenalkan  Suhaila dan Ian Rafiq.
            Ian Rafiq tersengih sambil menghulur tangan. Suhaila menyambut dengan senang hati.  Seketika kemudian dia kembali menghadap Baihaqi.
            “Teruklah kau ni Haq, tak pernah cakap pun kau ada secretary cantik macam ni.” Suhaila tersipu-sipu mendengar pujian Ian Rafiq. Manakala Baihaqi hanya buat muka selamba.
            “You ni Ian. Ada-ada ajelah,” balas Suhaila.
            “Tak adalah, I ikhlas. You memang cantik,”
            “Gee, thanks,” Suhaila tersenyum manis tanpa menyedari Baihaqi sudah tayang muka meluatnya. Menyampah pulak tengok Ian Rafiq menggedik dengan Suhaila walaupun dia tahu Ian Rafiq hanya sekadar berbasi-basi
.“Sayang, you ada nak apa-apa?” kali ini Baihaqi menelan liur mendengar Suhaila memanggilnya sayang tanpa mempedulikan Ian Rafiq yang turut berada di situ. Pemuda itu kulum senyum.
“Err…I think I better get going. Dah lewat ni,” Ian Rafiq memandang jam.
“Eh, tak akan nak balik dah?” Ian Rafiq cuba menghalang. Sudah si Ian ni. Nak tinggal aku dengan minah ni pulak. Tak rela aku.
“Aku ada hal bro. Lagipun penjaga kau dah sampai. Aku chow dulu la,” Ian Rafiq angkat kening.
            “Betul tu, sayang. I boleh jaga you. Biarlah Ian selesaikan hal dia dulu,” Baihaqi rasa nak termuntah mendengar perkataan sayang itu. Kali ini dia benar-benar berharap Ian Rafiq akan menunggunya di situ. Dia tidak betah bersama Suhaila di dalam wad itu.sekurang-kurangnya sampai mamanya balik.
            “At least tunggulah mama dulu. Apa pulak dia kata kau balik tak jumpa dia dulu,”ujar Baihaqi. Mujur Ian Rafiq akhirnya bersetuju. Dia tidak jadi balik. Lagipun dia mula merasakan yang Baihaqi tidak menyukai Suhaila apabila Baihaqi menhantar isyarat yang hanya dia dapat memahaminya.
            Suhaila bersungguh-sungguh melayan Baihaqi. Tetapi, dia sebenarnya hanya membuat Baihaqi bertambah rimas. Ketika itu, Datin Afifah baru pulang semula ke wad itu.
            “Lamanya auntie jumpa Dr?” soal Ian Rafiq.
            “Kejap aje. Tadi auntie terus pergi surau, solat Asar,” balas Datin Afifah. Ketika itu dia ternampak Suhaila yang berdiri di sebelah katil Baihaqi. Dia memang mengenali Suhaila kerana gadis itu pernah menjadi setiausaha suaminya. “Eh, bila Sue datang?” tegurnya sambil menyalami huluran tangan Suhaila.
            “Tak adalah lama sangat Datin.” Penuh sopan Suhaila menjawab. Maklumlah bakal ibu mertua. Kononnyalah.
            “Sue datang seorang aje ke? Staff lain tak ikut?” Datin Afifah duduk di kerusi berhadapan dengan Suhaila. Gadis itu menggeleng.
            “Tak Datin. Masa dapat berita Haq accident, tak keruan Sue dibuatnya. Rasa macam nak tinggal aje semua kerja kat pejabat tu, tapi tanggungjawabkan? Tetaplah kena buat. Lepas kerja terus Sue datang sini. Tak sempat nak ajak staff lain,” panjang lebar Suhaila bercerita.
            “Bagus betul Sue ni. Bukan senang nak dapat staff macam Sue ni. Dahlah cantik, komited, ambil berat pasal bos lagi. Betul tak Haq?” Baihaqi yang sedang memegang kepalanya terkejut apabila namanya disebut. Tidak semena-mena tangannya tertekan luka dikepalanya.
            “Aduh!”
            “Sayang, you okay ke?” Suhaila bertanya cemas. Tangannya menyentuh kepala Baihaqi.
“I okay” balas Baihaqi pula. Dia malu apabila Suhaila memanggilnya begitu dihadapan mamanya. Fikirny, jika Datin Afifah ada bersama, Suhaila akan menjaga tingkah lakunya. Tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Ah! Gadis ini terlalu berani.
Datin Afifah pula termanggu mendengar panggilan Suhaila kepada Baihaqi. Namun, dia tersenyum seketika kemudian setelah diamula mengerti apa sebenarnya yang sedang berlaku. Dalam hati dia sudah merencana sesuatu.
Baihaqi yang melihat senyuman Datin Afifah mula berasa gusar. Pasti sesuatu akan berlaku selepas ini. Dan yang lebih merisaukan perkara itu pasti akan menyusahkan hidupnya nanti. Dia sangat pasti!