Thursday, 11 April 2013

Kisahnya bermula di sini....

Ececeh tajuk macam  lagu pulak...Mulanya di sini...hehe
Sebenarnya tadi masa dok godek pendrive terjumpa satu artikel. Artikel ni dah lama di tulis. Kalau tak salah 2 tahun lepas. Rasa macam teringin nak share. Saya tak pandai sangat tulis artikel dan ini hanya sekadar suka-suka. Kalau sudi baca, bacalah dan kalau sudi komen, komenlah...kalau infonya tak up to date jangan marah ye sebab seperti yang saya nyatakan dekat atas artikel ni sudah 2 tahun dirtulis. Enjoy guys...:) 


____________________________________________________________

ADAPTASI NOVEL : PERMULAAN SEBUAH KISAH
OLEH : TIA KIRANA

Setelah mengalami zaman yang suram, industri perfileman Malaysia kini dilihat kembali meriah. Pelbagai genre filem yang diketengahkan oleh penggiat-penggiat filem bagi menarik para penonton ke pawagam. Antara genre yang popular ialah seram, komedi, romantik dan juga aksi. Terbaru, filem yang diadaptasi dari novel pula menjadi perhatian.
            Sebenarnya trend filem yang diadaptasi daripada novel telah lama bermula di Malaysia. Filem-filem seperti ‘Langit Petang’ dan ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ misalnya merupakan filem yang diadaptasi dari naskah novel pada tahun 1982 dan 1983.  Kedua-dua novel ini merupakan karya Datuk A. Samad Said dan Shahnon Ahmad yang cukup berkualiti tinggi. Naskah sastera ini cukup bernilai dan atas sebab itu karya ini telah diadaptasi ke Layar Perak. Selepas itu, trend adaptasi ini semakin berkurangan dan hanya beberapa buah karya yang diadaptasi ke dalam bentuk drama televisyen.
            Benar, filem-filem adaptasi dari naskah novel telah lama berkembang di negara barat. Malah filem-filem seperti ‘Harry Potter’, ‘Lord Of The Ring’ dan ‘Twilight’ mendapat sambutan cukup hangat di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Namun, penulis lebih suka melihat trend adaptasi ini dari sudut pembikinan filem di Malaysia yang semakin meningkat mutakhir ini. Bermula dengan filem ‘Lagenda Budak Setan’ karya Ahadiat Akashah yang mendapat sambutan memberangsangkan dari orang ramai, penerbit dan penggiat filem dilihat berlumba-lumba mencari naskah novel yang boleh diadaptasikan dalam bentuk filem dan drama.
Penulis mendapati kebanyakkan novel yang dipilih merupakan karya yang telah mendapat sambutan memberansangkan daripada khalayak. Setiap novel ini telah dicetak berkali-kali dan hal ini membuktikan karya-karya ini mempunyai ramai pengikut setia. Novel ‘Kasih Yang Suci’ karya Meen Zulaikha misalnya mula dikeluarkan pada tahun 2009. Empat tahun kemudian drama bersiri ‘Nora Elena’ yang diadaptasikan daripada novel ini pula telah dihasilkan dan dalam tempoh tayangannya di TV3, drama bersiri ini telah berjaya mencapai rating yang cukup membanggakan. Kebanyakkan khalayak yang menonton ‘Nora Elena’ merupakan pengikut novel ini dan juga peminat novel yang pernah membaca karya tersebut. Walaupun novel ini telah berusia hampir empat tahun, namun para peminat ‘Kasih Yang Suci’ tetap mengingati kisah ini dan setia menunggu tayangannya pada setiap petang.
Sekiranya anda merupakan peminat novel ‘Ombak Rindu’, pastinya anda sedia maklum mengenai fenomena yang telah dicetuskan oleh filem adaptasi dari karya Fauziah Ashari ini. Setelah di tayangkan selama 26 hari di pawagam seluruh negara, filem ini telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM 10.90 juta. Jumlah ini dikatakan berjaya mencapai kutipan pecah panggung. Walaupun tidak dapat menyaingi kutipan filem ‘KL Gangster’ yang berjumlah RM 11.74 juta, tetapi jumlah ini juga membuktikan bahawa filem ini mempunyai pengaruhnya yang tersendiri.
Novel keluaran alaf 21 ini telah 23 kali diulang cetak sejak dihasilkan pada tahun 2002. Apabila tarikh tayangan filem semakin dekat, cetakan semula telah dilakukan dan novel ini tetap mendapat sambutan ramai. Bayangkan betapa ramai pembaca yang akan ke pawagam untuk melihat ‘Ombak Rindu’ direalisasikan di layar lebar. Justeru, tidak hairanlah sekiranya filem ini telah berjaya mencapai kejayaan yang sungguh luar biasa.
            Jalan cerita yang menarik juga merupakan faktor utama dalam meraih sambutan khalayak. Antara tema yang sering menjadi pilihan penulis adalah cinta dan kekeluargaan. Kadangkala penceritaanya juga agak Cliché. Tetapi, ini bukan satu masalah sekiranya penulis novel bijak menggunakan gaya bahasa yang mampu membuai perasaan khalayak. Seterusnya apabila penerbit menjadikan karya-karya ini sebuah filem atau drama, penonton dengan mudah akan tertarik untuk menonton jalan cerita tersebut. Hal ini kerana mereka mahu melihat sejauh mana ‘jiwa’ cerita dalam novel itu berjaya dihidupkan seperti mana imaginasi yang diwujudkan oleh mereka sendiri.
            Novel ‘Ombak Rindu’ misalnya mempunyai konflik sejak permulaan cerita. Boleh dikatakan apabila khalayak terlalu menghayati novel ini, mereka seolah-olah dapat merasai penderitaan yang dilalui oleh watak utamanya ‘Izzah’. Apabila novel ini diangkat ke filem, khalayak dapat melihat sendiri bagaimana ‘Izzah’ mengharungi segala kesusahan itu dan melalui garapan yang baik serta muzik latar yang mendayu-dayu dapat membuatkan jiwa mereka tersentuh dan mengalirkan air mata kesedihan. Malah, ada kalangan penonton yang menonton filem ini lebih dari sekali kerana terpikat dengan jalan ceritanya.
            Peranan pengarah juga tidak dapat dinafikan. Pengarah yang baik dapat menghasilkan filem yang menepati citarasa dan keinginan penonton. Walaupun sesebuah novel mempunyai jalan cerita yang menarik tanpa setuhan pengarah yang berbakat, sesebuah filem atau drama tidak akan dapat berjaya memikat penonton. Osman Ali merupakan pengarah yang cukup tersohor di Malaysia. Beliau terkenal dengan hasil pengarahannya dengan filem seperti ‘Bukak Api’, ‘Anak Halal’, ‘Cun’ dan banyak lagi. Walaupun pertama kali mengarahkan filem adaptasi, ternyata naskah ‘Ombak Rindu’ ditangannya tidak menghampakan. Kini, Osman Ali sedang mengarahkan drama bersiri ‘Bicara Hati’ yang juga merupakan adaptasi novel karya Damya Hanna dengan tajuk yang sama. Selain ‘Ombak Rindu’, drama ini juga merupakan terbitan Tarantella Picture.
            Tidak dinafikan trend adaptasi ini memberikan pelbagai kesan yang pelbagai terhadap industri perfileman dan masyarakat. Misalnya, populariti pelakon yang membintangi drama dan filem adaptasi ini mudah meningkat naik. Penulis mengambil contoh aktor Aaron Aziz yang telah membintangi filem ‘Ombak Rindu’ dan drama ‘Nora Elena’. Kedua-dua filem dan drama ini ternyata menaikkan popularitinya. Khalayak telah dibuai dengan keromantikan watak ‘Seth Tan’ yang dipegangnya dalam ‘Nora Elena’. Aaron juga telah membintangi filem paling meletup 2011 iaitu ‘KL Gangster’ arahan Syamsul Yusof.  Kemunculannya sebagai ‘Hariz’ dalam filam ‘Ombak Rindu’ kemudiannya membuatkan Aaron Aziz menjadi fenomena pada tahun 2011. Malah, teater ‘Badai Semalam’ yang dibintanginya di Istana Budaya telah menjadi produksi teater yang mempunyai paling ramai penonton. Buat pengetahuan anda, teater ‘Badai Semalam’ juga merupakan adaptasi dari Novel Badai Semalam karya Khadijah Hashim yang diterbitkan pada 1968. Malah, pihak media juga telah melabelkan tahun 2011 sebagai ‘Tahun Aaron Aziz’.
            Seterusnya, sambutan menggalakkan yang diberikan terhadap filem ‘Ombak Rindu’ menunjukkan khalayak mula menunjukkan minat terhadap filem yang bergenre melodrama setelah sekian lama disogokkan dengan filem seram dan komedi. Bukan mudah untuk filem-filem yang bercorak seperti ini untuk memberikan impak mendalam kepada penonton. Lazimnya, penonton lebih menggemari filem yang bercorak ringan seperti komedi untuk dijadikan bahan tontonan. Apabila filem ‘Ombak Rindu’ ini mencipta fenomena dengan tayangannya yang luar biasa, ternyata khalayak mula meminati kembali filem-filem yang bercorak melodrama dan membuai perasaan seperti ini. Apatah lagi, setelah sekian lama filem melodrma seperti Azura(1984), Sembilu(1994) dan Sembilu 11(1995) dihasilkan.
            Tidak dapat dinafikan, dunia penulisan novel juga semakin meriah apabila filem dan drama yang yang diangkat dari naskah novel ini mendapat sambutan menggalakkan. Khalayak kembali mendapatkan semula novel-novel tersebut untuk menjiwai kisah yang akan atau sedang ditayangkan. Novel-novel ini telah diulang cetak dan bergilir-gilir menduduki carta teratas buku yang terlaris. Menariknya, melalui adaptasi seperti ini penulis novel yang selama ini kurang menonjol semakin dikenali. Antaranya Fauziah Ashaari, Anis Ayuni, Damya Hana dan Meen Zulaikha. Walaupun kadangkala cerita yang dikeluarkan oleh media adalah mengenai kisah yang kurang enak didengar, tetapi kita tidak dapat menafikan hal ini juga membantu memperkenalkan penulis kepada masyarakat.
            Walaupun filem dan drama ini diadaptasi daripada novel, ada penulis skrip dan pengarah yang tidak mengambil keseluruhan jalan cerita secara bulat-bulat. Hal ini untuk menyesuaikan dengan situasi masyarakat atau juga untuk penambahbaik jalan cerita. Adakala penulis novel akan menjadi tidak berpuas hati apabila novel garapannya diubah, namun pengarah tetap mempunyai alasan tersendiri. Bagi penulis, wajar kiranya semua pihak yang terlibat dalam proses penerbitan filem atau drama ini melakukan perbincangan dengan teliti supaya sebarang kesulitan dapat dielakkan pada masa depan.
            Secara koklusinya, kita tidak dapat menafikan bahawa trend adaptasi novel ke filem dan drama ini semakin menjadi fenomena dalam masyarakat. Jika dilihat pada situasi sekarang, lebih banyak naskah novel yang akan diangkat untuk dijadikan filem atau drama. Setakat ini sudah terdapat usahasama antara syarikat penerbitan buku dengan produksi filem dan drama yang bersama-sama mahu mengangkat naskah novel berkualiti menjadi sebuah filem atau drama. Masyarakat juga sudah semakin bijak menilai setiap naskah yang disajikan sebagai bahan tontonan mereka. Oleh itu, penerbit filem atau drama yang mahu mengadaptasi novel harus lebih peka dengan citarasa penonton dan tidak hanya melakukan kerja secara ‘tangkap muat’ sahaja. Pastinya para penonton tidak mahu dikecewakan setelah menunggu naskah novel kegemaran mereka dijadikan drama atau filem sejak sekian lama.  
Yahoo! Images

RUJUKAN

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm

No comments:

Post a Comment