Sunday, 27 January 2013

Cinta, Kasih Kita 14


RANIA menarik nafas dalam-dalam sebelum dilepaskan kemudiannya. Uratnya yang seakan bersimpul diregangkan. Sepagi duduk menghadap komputer membuatkan dia terasa keletihan. Matanya kemudian menatap jam di dinding. Sudah hampir pukul 1 petang.
            Patutlah badannya terasa lenguh-lenguh. Rupa-rupanya sudah hampir 5 jam dia menumpukan perhatian terhadap kerjanya tanpa henti.  Sekarang sudah pun hampir masuk waktu makan tengah hari.
            Fikirannya tiba-tiba melayang mengingati Ian Rafiq. Sudah hampir 2 minggu sejak pertemuannya dengan pemuda itu. Janjinya Ian Rafiq akan menghubunginya untuk memulangkan gelang tangannya itu, namun langsung tiada khabar berita sehingga kini. Mungkinkah lelaki itu menipunya? Hmm, entahlah, dia sendiri tidak punya jawapannya. Yang pasti dia teringin untuk mendapatkan semula gelang kesayangannya itu. Gelang tanda cinta.
            Uh! Tanda cinta? Agaknya bagaimana kalau Baihaqi tahu yang dia masih memakai gelang itu sedangkan berbakul-bakul penafian dibuat tentang perasaannya terhadap lelaki itu. Di mulut tak suka sedangkan di hati cintanya tidak pernah berubah walau bertahun dia mencuba untuk membuangnya.
            Sedang dia mengelamun, telefon bimbitnya berbunyi. Ada mesej masuk. Pantas dia membuka peti masuk. Pengirimnya tidak dikenali.

            Berhenti dekati Baihaqi. Dia milik aku.

            Rania kerut dahi. Siapa pula yang mengirim SMS ini? Mengaku Baihaqi adalah miliknya. Betul ke? Rania terasa sesuatu di hati. Hatinya walang tiba-tiba.
            Akhirnya dia mengeluh. Memang beginikah nasibnya bila jarak dengan Baihaqi semakin dekat. Ada saja yang tidak suka. Ada saja yang memberi amaran. Yang paling menyakitkan hati, pengirim ini tak sedar ke bukan dia yang mendekati Baihaqi, bahkan hal sebaliknya yang berlaku. Berkali dia menolak, tapi Baihaqi tidak pernah lelah mengejarnya. ‘Cinta Hatinya’ itu sentiasa berusaha memenangi hatinya semula. Dia tahu itu. Mahu saja dia melafazkan rasa kasih yang bersarang di jiwanya pada Baihaqi, tetapi dia sedar, semua itu tidak semudah yang difikirkan. Banyak halangan yang menanti. Malah, sekarang ada masalah lain pula yang timbul. Hampir satu syarikat mengetahui yang Baihaqi cuba memikatnya. Dia jadi malu pula dengan kawan-kawan. Namun apa yang mampu dia lakukan? Pekakkan telinga dan teruskan kerja seperti biasa.
            Ikut hati, dia mahu saja berhenti kerja,. Biar dia pergi jauh dari semua ini. Tapi, bukan senang mahu mendapatkan perkejaan pada masa sekarang. Berapa ramai yang menganggur walaupun bergelar graduan. Dia boleh dikira sangat bernasib baik diterima bekerja di Sutera Holding.
            Akhirnya, dia masih juga di sini.
            Sakitnya hati! Bentak Rania. Entah siapa yang mengirim SMS ini. Mahu saja dia mendail nombor itu dan menyatakan dia tidak mahukan Baihaqi tapi untuk apa? Buang masa saja melayan SMS itu. Langsung tidak berfaedah. Lantas mesej itu dipadamkan.
            “Nia, jom pergi makan. Dah lunch time,” Ajak Sharifah. Dia tercegat di depan Rania. Dipandang wajah cemberut gadis itu. “Kenapa pulak dengan kau ni? Macam siput sedut je muka tu.” selamba Sharifah mengutuk.
            “Tak ada apa la. Perut aku masuk angin. Tu muka aku macam ni.” Rania berselindung.
            “Aik, tak akan masuk angin muka macam tu sekali. Aku tengok macam tension je,” Sharifah serkap jarang.
            “Betullah. Perut aku sakit sangat. Jom pergi makan cepat.”Rania mencapai beg tangannya dan ,menarik tangan Sharifah. Malas dia mahu terus bersoal jawab dengan minah gosip itu. Nanti entah apa pulak berita yang tersebar. Dia sudah cukup penat dengan semua yang dilaluinya sekarang!

            KAFETARIA yang terletak di tingkat bawah bangunan Sutera Holding kelihatan sibuk. Kebanyakan pekerja di syarikat itu lebih suka membeli makanan yang disediakan di kafe itu daripada makan di luar. Makanan yang dijual juga sedap dengan harga yang berpatutan.
            Rania dan Sharifah memilih tempat duduk di sudut tepi kafe itu. Niza tidak bersama mereka hari ini. Gadis itu bercuti 2 hari kerana menghidap demam panas.
            “Sunyi pulak bila Niza tak ada kan Nia?” Sharifah menyuap nasi ke mulut. Asam pedas ikan pari menjadi pilihannya hari ini. Rania hanya tersenyum. Dia tahu pasti Sharifah merasa kehilangan kerana teman gosipnya tiada. Tetapi, tanpa Niza memang suasana terasa sedikit suram.
            “Sunyilah sebab kau tak boleh gosip dengan dia kan?” Rania mengusik. Sharifah tersengih.
            “Kau ni Nia, tak baik cakap macam tu tau. Maksud aku, kalau ada dia mesti riuh dengan mulut dia yang macam murai tercabut ekor tu,” Sharifah ketawa mengekeh.
            “Eii, kutuk kawan sendiri.” Rania juga tergelak. “Murai-murai pun, dia juga yang kau cari bila nak meluahkan perasaan, betul tak” sambungnya.
            “Ala, dia aje yang memahami aku,” Sharifah memuji pula. Rania hanya geleng kepala. Kadang-kadang kelakar dia melihat telatah Niza dan Sharifah. Kalau hilang salah seorang, mesti seorang lagi macam kucing hilang anak saja rupanya. Kalau dengan Rania, mereka jarang bergosip kerana tahu Rania tidak suka ambil pusing hal orang lain. Penat saja bercerita dengan orang macam itu.
            Seketika mereka terdiam sambil menumpukan perhatian kepada makanan masing-masing. Hanya sesaat sebelum dikejutkan dengan salam dari seseorang yang hampir-hampir membuatkan Rania tercekik.
            Sharifah menjawab salam dengan senyuman manis di bibir. Hanya Rania yang masih mendiamkan diri.
            “Berdua aje ke?” soal Baihaqi. Matanya tertumpu ke arah Rania yang hanya menundukkan wajahnya.
            “Ha’ah berdua aje, tuan. Niza cuti hari ni. Syak pun entah ke mana perginya.” Ramah Sharifah bercerita. Rania pura-pura menikmati makanannya walaupun sebenarnya seleranya telah lama mati apabila Baihaqi tiba-tiba muncul.
            “So, can I join you all?” pinta Baihaqi. PErmintaan itu bagai pucuk dicita ulam mendatang bagi Sharifah. Namun, tidak bagi Rania. Dia tahu jika Baihaqi menyertai mereka, pasti ada mulut-mulut jahat yang akan mengatanya selepas ini. Entah mesej apa pulak yang akan memenuhi telefon bimbitnya nanti.
            “Boleh,”
            “Tak boleh!” tukas Rania. Baihaqi dan Sharifah serentak memandang Rania.
            “Kenapa pulak Nia? Biarlah tuan duduk sini.” Bisik Sharifah pada Rania yang duduk di depannya.
            “Err..kami dah nak habis makan pun,” balas Rania kemudiannya. Sharifah angkat kening.
            “Mana ada, kami baru nak makan tuan,” Sharifah menafikan. Rania menyepak kaki kawannya itu. Aduh, tak faham pulak minah ni!
            “Adoi!” Sharifah mengaduh.
            “Kenapa Ifa?” soal Baihaqi.
            “Kaki kebas. Semut-semut,” jawab Sharifah spontan. Baihaqi yang masih berdiri di situ, kerut dahi. “Duduklah tuan.” Sambung Sharifah kemudian setelah sakit di kakinya reda. Rania sudah tidak kuasa membantah.
            “Thank You,” Baihaqi tersengih sambil mengambil tempat di sebelah Rania. Merah padam muka gadis itu menahan malu. Baihaqi menyedarinya, tetapi sengaja dia buat tidak peduli.
            “Err…tuan tak nak ambil makanan ke?” Sharifah pula terlebih prihatin.
            “Saya dah order makanan panas tadi.” Jawab Baihaqi pendek.
“Order apa?”
“Chiken Chop.” Balas Baihaqi.
“Tengah hari makan chicken  Chop? Kenyang ke tuan?” ramah Sharifah berbicara. Peluang yang ada digunakan sebaik mungkin. Lepas ini boleh berlagak dengan Niza.
“Itulah, tekak terasa nak makan,” Baihaqi tersengih. Sesekali matanya melirik ke arah Rania yang keras di sebelahnya. Dia berharap agar Rania membuka mulut dan berbual dengannya seperti mana Sharifah. Namun, harapan sajalah.
“Awak apa khabar Nia?” akhirnya dia yang memulakan perbualan. Kalau tunggu gadis itu memulakan sampai esok pun belum tentu dia itu akan membuka mulutnya.
“Baik,” jawab Rania sepatah.
“Nampak macam tak ada selera aje? Dari tadi tak luak pun saya tengok,” ujarnya. Bukan dia tidak nampak sedari tadi Rania menguis makanan di dalam pinggannya.
“Saya okay aje,” Rania terus menyuap makanan. Ketika itu ada pelayan datang membawa makanan yang dipesan Baihaqi. Baru sahaja mahu menjamu selera, dia dikejutkan pula dengan satu suara.
“Haq, kat sini you rupanya! Penat I tunggu kat sana” Suhaila tiba-tiba muncul di depan mereka. Kali ini selera Sharifah pula yang mati.
“Sorry. I nampak Sharifah dengan Rania tadi. So, I decide nak join diorang aje. You pun tak sampai lagi tadi,” balas Baihaqi tenang sedangkan wajah Suhaila sudah kelihatan merah menahan marah.
“I lambat sikit you dah duduk dengan orang lain,” Suhaila seakan tidak puas hati. “How could you,” Sharifah sudah menyumpah dalam hati. Sakit mata melihat perangai Suhaila. Macamlah Baihaqi kekasihnya. Rania pula masih seperti tadi.
“Kenapa pulak dengan you ni? Kan I dah duduk sini. You pun duduklah kat sini. Apa masalahnya?” Baihaqi sedikit bengang dengan ulah Suhaila yang mengada-ngada. Suhaila hanya berpeluk tubuh. Dia mengharapkan Baihaqi akan memujuknya.
“Masalahnya I tunggu you lama tadi. Kenapa tak cakap you dekat sini,” Suhaila menarik muka masam. Yang sebenarnya dia sakit hati melihat Baihaqi duduk di sebelah Rania. Dia cemburu.  
“I’ve already said sorry right? Tak akan pasal tu pun nak marah? Benda kecik aje kan?” Baihaqi teras menyesal pula bersetuju makan bersama Suhaila. Entah mengapa hari ini gadis itu berubah laku. Selalu lemah lembut aje.
Suhaila akhirnya akur. Dia mengambil tempat di sebelah Sharifah.
“Cik Su makan apa?” Tanya Rania. Sekadar berbasi-basi.
“Chicken Chop.” Balasnya. “ Eh, sama pula dengan you Haq. Nampaknya, kita ni sehati sejiwa kan Haq?” Sharifah terasa mual mendengar kata-kata Suhaila. Rania hanya mengangguk.
“Sedap tak Chicken Chop kat sini Haq? I rasa sikit ok?” belum sempat Baihaqi berkata apa-apa, Suhaila terlebih dahulu mencapai garpu di tangan Baihaqi dan memasukkan daging ayam ke dalam mulutnya. Kemudian dicuit isi ayam dan disuakan ke arah Baihaqi pula.
“Buka mulut Haq,” arahnya dengan lembut. Mahu tidak mahu Baihaqi terpaksa juga menerima suapan daripada Suhaila.
Baihaqi menggigit bibir sambil ekor matanya menjeling ke arah Rania.
Kenapalah Suhaila ni jadi macam ni hari ni? Baihaqi berbisik sendiri. Sudahlah Rania tidak mahu melayannya. Sekarang Suhaila pula sengaja menunjukkan gelagat mesra dengannya.
Habislah kau Haq, dia menggeleng.
            Rania hanya memerhatikan gelagat Suhaila dan Baihaqi. Dia tahu Suhaila ada hati terhadap Baihaqi. Malas rasanya dia mahu terus melayan karenah kedua-dua manusia itu. Hatinya terasa bagaikan dijerut. Daripada dia makan hati lebih baik dia beredar dari situ secepat mungkin.  
“Ifa, kau dah sudah ke? Jomlah naik,” Rania bangun dan menolak kerusi. Sharifah hanya menurut. Malas pula dia menonton drama percuma. Getik melihat perangai Suhaila yang menyakitkan mata. Bukan sahaja mereka, malah orang-orang di sekeliling mereka.
“Okaylah Tuan. Kami naik dulu,” ujar Sharifah sambil berlalu.
“Dah nak naik dah?” Rania hanya mengangguk mendengar soalan Baihaqi. Saya tak sanggup tengok awak dengan Suhaila tu, mahu sahaja dia berkata begitu, namun semua itu hanya bergema di dalam hati. Mana mungkin dia meluahkan di depan Baihaqi.
“Baik-baik ye,” sambung Baihaqi. Rania hanya terdiam memandang Baihaqi. Tanpa sedar di bibirnya terlukis segaris senyuman ikhlas buat Baihaqi untuk pesanannya itu. Di telinga Rania, dia senang bila Baihaqi sering menitipkan pesanan untuknya.
Dan bagi Baihaqi pula, dia seolah terpana melihat senyuman itu. Senyuman paling manis pernah Rania lemparkan setelah mereka bertemu semula. ‘Confirm malam ni, aku mengigaukan si Rania ni’ sempat dia bermonolog sendiri.
“Ehem,” deheman Suhaila menyedarkan Baihqi dari lamunan. Rania dan Sharifah sudah berlalu. “Ceria nampak?” Suhaila menyedari keceriaan di wajah Baihaqi. Cemburunya membakar lagi.
Baihaqi pula terus tersenyum. Di matanya hanya dihiasi senyuman Rania sahaja kini.

No comments:

Post a Comment