Friday, 9 December 2011

Cinta, Kasih Kita...7

Rania merenung wajahnya di cermin. Pucat dan tidak bermaya. Matanya juga kurang bercahaya. Tangannya naik memicit kepala yang terasa berdenyut-denyut. Sudah hampir tiga hari dia terkena demam selsema. Semuanya gara-gara terkena hujan pada malam sabtu lepas. Malam ketika dia terserempak Baihaqi. Dan, malam itu juga dia kehilangan gelang pemberian Baihaqi. Rania ralat. Dia langsung tidak sedar gelang itu hilang sehingga dia masuk ke bilik tidur. Puas juga dia mencari gelang itu dalam rumah sewanya tetapi tetap gagal ditemui.
            Setelah itu, baru dia teringat insiden perlanggarannya dengan seorang pemuda. Mungkin gelangnya terjatuh ketika itu dan untuk mendapatkannya kembali memang sangat mustahil. Rania akhirnya pasrah. Mungkin ada baiknya gelang itu jauh dari matanya kerana dengan cara itu dia dapat melupakan terus Baihaqi.
            Rania keluar dari bilik dan melangkah ke dapur. Kelihatan Misha sudah menunggu di meja makan yang siap tersedia sarapan pagi.
            “Kau nak pergi kerja jugak ke?” soal Misha setelah Rania duduk di depannya. Rania hanya menggangguk lemah. Dia mencapai cawan yang berisi air milo. Dihirupnya sedikit dan kemudian diletak semula di atas meja. Mulutnya terasa pahit. Seleranya mati. “Aku rasa kau tak payah pergi lagilah. Pucat sangat muka kau tu. Risau aku,” sambung Misha. Dia agak risau dengan kesihatan Rania. Sudah dua hari gadis itu demam tetapi masih juga belum sembuh. Bagaimana mahu sembuh kalau Rania tidak mahu ke klinik. Puas Misha mengajak tetapi Rania tetap berdegil.
            “Aku demam sikit aje. Lepas makan panadol Solubel, baiklah ni,” itu kata Rania setiap kali Misha mengajaknya ke klinik. Tetapi selepas dua hari, demam Rania masih belum kebah juga.
            “Tak boleh Misha. Aku ada kerja yang nak kena hantar pagi ni. Urgent!” suara Rania memetikan lamunan Misha.
            “Ofis kau dah tak ada orang ke samapai aku juga nak kena siapkan kerja kau tu? Kau tak sihat, janganlah paksa diri,” pujuk Misha lagi. Rania menggeleng.
            “Maklumat semua ada dekat aku. Aku memang kena siapkan hari ni jugak sebab Encik Zaidi nak guna untuk mesyuarat nanti,” terang Rania. Mahu tidak mahu dia tetap perlu ke pejabat dan menyiapkan kerja itu. Dia tidak mahu ketuanya dapat susah hanya kerana dia tidak menyelesaikan kerja pada waktu yang ditetapkan.
            “Tapi, kau larat ke? Aku risaulah. Aku ajak kau ke klinik, kau tak nak. Sesekali cubalah kau dengar cakap aku ni Nia,” suara Misha sudah separuh merayu. Rania terdiam. Dia memandang wajah risau Misha. Sahabatnya itu memang prihatin. Kenapalah aku suka menyusahkan dia? Apa salahnya kalau aku dengar cakap dia, Rania bermonolog.
            “Yalah, nanti petang aku pergi klinik,” balas Rania kemudian.
“Betul?” Misha ragu-ragu. Mana tahu Rania sekadar mahu menyedapkan hatinya.
“Betul,” jawab Rania. Dia kemudian melihat jam di tangannya. “Aku dah lambat ni. Aku pergi dulu.” Rania mencapai beg tangannya dan mula melangkah perlahan.
            “Kejap!” panggil Misha. Rania memandangnya pelik. “Aku hantar kau.” Sambung Misha. Tidak sanggup dia membiarkan Rania bersesak dengan orang ramai di dalam tren LRT. Silap-silap pengsan pula temannya itu. Rania hanya mengangguk.  


Mesyuarat ahli lembaga pengarah baru sahaja selesai. Baihaqi kini secara rasmi telah dilantik sebagai pengarah urusan Sutera Holding yang baru bagi menggantikan Datuk Zainal yang kini bertindak sebagai Pengerusi.
            Baihaqi tarik nafas dalam-dalam. Ada debar dalam dada. Tanggunjawab yang diserahkan padanya bukan calang-calang. Amanah untuk memajukan syarikat kini terpikul dibahunya. Bagi Baihaqi, dia amat menghargai kepercayaan yang diberikan padanya. Mereka langsung tidak meragui keupayaannya walaupun dia masih muda dan kurang berpengalaman walaupun sebelum ini dia pernah bekerja dengan syarikat lain. Tetap banyak bezanya.
            “Tahniah Baihaqi. Harap-harap Sutera Holding akan terus maju di bawah pentadbiran awak.” Datuk Bakri salah seorang pemegang saham menghulurkan tangan. Baihaqi tersenyum dan  menyambut huluran Datuk Bakri. Seketika mereka berjabat tangan.
            “Terima kasih Datuk. InsyaAllah, saya akan cuba sedaya upaya saya untuk memberikan yang terbaik kepada Sutera Holding,” balas Baihaqi. Datuk Bakri mengangguk-angguk kepalanya. Melihat ketrampilan Baihaqi yang penuh karisma membuatkan dia yakin akan keupayaan anak muda itu. Saling tidak tumpah seperti ayahnya, Datuk Zainal. Datuk Bakri kemudian meminta diri kerana ada urusan yang perlu diselesaikan.
            Datuk Zainal menepuk bahu Baihaqi. Akhirnya, tercapai juga impiannya untuk menyerahkan Sutera Holding kepada Baihaqi. Kredibiliti Baihaqi sendiri membuatkan dia yakin yang keputusannya adalah tepat. Lagipun, siapa lagi akan mewarisi syarikat ini kalau bukan anak-anaknya?
            “Secara rasmi Haq dah jadi CEO Sutera Holding. Daddy harap daddy boleh harapkan Haq,” kata Datuk Zainal. Baihaqi merenung wajah ayahnya. Dari sinar matanya jelas terpancar pengharapan.
            “Haq akan cuba daddy. InsyaAllah, Haq tak akan hampakan daddy dan juga semua ahli lembaga pengarah. Haq akan pastikan Sutera Holding akan terus berkembang seperti yang daddy usahakan selama ni.” Baihaqi memasang tekad. Itu janji yang akan dikotakannya.
            Datuk Zainal tersenyum bangga. Bangga kerana mempunyai anak seperti Baihaqi yang sedia menyambung legasinya.
            “Daddy tahu, daddy boleh harapkan Haq,” katanya kemudian. Baihaqi tersenyum. Datuk Zainal kemudian memanggil seorang gadis yang turut berada di situ. “Haq, ini Suhaila. Mulai hari ni, Sue akan menjadi setiausaha Haq. Kalau Haq perlukan apa-apa, beritahu aje pada Sue.” Sambung Datuk Zainal. Baihaqi dan Suhaila berjabat tangan.
            “Nice to meet you Sue. Harap kita boleh bekerjasama.” Baihaqi berbahasa.
            “Nice to meet you too. InsyaAllah.” Balas Suhaila.
            “Sue, tolong tunjukkan bilik Haq,” Suhaila mengangguk mendengar arahan itu. “Daddy ada hal nak diuruskan. Nanti kita jumpa di rumah. Okay,” kata Datuk Zainal kepada Baihaqi.
            “Okay daddy,” Datuk Zainal meninggalkan mereka berdua dan keluar dari bilik mesyuarat itu.
            “Shall we, tuan Baihaqi?” tanya Suhaila. Baihaqi tidak memberi respon. Ada sesuatu di fikirannya.
            “Sue, saya rasa saya nak melawat semua department dulu. Sekadar nak berkenalan dengan staff,” usul Baihaqi. Hari ini hari pertamanya di Sutera Holding, jadi dia mahu melihat suasana syarikat dan berkenalan dengan pekerja Sutera Holding secara sepintas lalu. Ini adalah permulaan baginya. Sebagai bakal pemimpin syarikat, dia perlu tahu siapa yang bekerja dengannya.
            “Sure. Saya akan bawa tuan ke setiap bahagian,” kata Suhaila. Dia mepersilakan Baihaqi dan mereka seiring meninggalkan bilik mesyuarat itu.
******************************************************************************
Rania bersandar di kerusi. Sakit kepalanya semakin menjadi-jadi. Panadol Soluble yang diambilnya tadi sudah tidak memberi kesan. Apatah lagi, badannya sudah terasa sejuk akibat penghawa dingin yang kuat terpasang. Baju sejuk yang tersangkut di kerusi disarung ke tubuhnya.
            “Nia, kalau kau tak larat, baliklah dulu. Biar aku habiskan kerja kau tu,” kata Sharifah. Sedari tadi dia perhatikan Rania. Gadis itu kelihatan lemah benar. Terasa kasihan pula.
            “Tak apalah, Sha. Dah nak siap pun.” Balas Rania.
            “Tapi kau nampak tak sihat sangat tu,” Ujar Sharifah.
            “Betul apa kak Sha cakap tu, kak Nia. Dalam keadaan lemah macam tu, boleh ke akak focus? Syak takut lain jadinya nanti,” sokong Syakir. Dia juga risau melihat wajah pucat Rania. 
            “Tak adalah. Dah siap ni akak baliklah. Jangan risau ya?” Rania masih berdegil.
            “Degilnya kau ni Nia. Karang jadi apa-apa, jangan kata kami tak nak tolong kau pulak.” Niza memberi amaran. Geram betul dia dengan sikap degil Rania. Langsung tidak mahu mendengar kata.
            “Bukan macam tu. Tinggal sikit aje lagi ni. Aku tak nak susahkan kau orang aje,” kata Rania. Terharu dia melihat keprihatinan teman sepejabatnya itu. Tetapi, dia rasa dia masih mampu melaksanakan kerjanya yang hanya tinggal sedikit sahaja lagi.
            “Suka hati kaulah, Nia.” Aniza malas lagi mahu memaksa. Bukan orang dengar pun.
Rania hanya tersenyum tawar. Dia kembali menumpukan perhatian terhadap kerjanya yang terhenti seketika tadi. Kesakitan yang dirasainya menyebabkan dia tidak dapat menyiapkan tugasannya dalam masa yang singkat. Namun, digagahkan juga kudratnya. Dia mahu kerjanya cepat selesai dan ke klinik. Rania sudah tidak tahan lagi. Dua hari lalu, demamnya tidaklah terlalu kuat. Sebab itu dia menolak ke klinik. Fikirnya dengan hanya menelan ubat-ubatan yang ada di rumah, demamnya akan baik. Tapi dia tersilap. Dia sepatutnya berjumpa doktor sebelum sakitnya melarat. Bukankah mencegah itu lebih baik dari merawat? Rania rasa menyesal pula kerana tidak mendengar nasihat Misha.
            Belum pun sakit di kapalanya reda, tekaknya tiba-tiba terasa mual. Rania terus bangun dan bergegas ke tandas. Sampai sahaja di tandas dia terus muntah, namun tiada apa yang keluar selain angin. Rania bersandar di tepi sinki. Kali ini, badannya terasa letih benar. Itulah, orang larang jangan datang kerja, degil! Kan dah tersadai dekat tandas ni.
Baihaqi meleretkan senyuman kepada pekerja di bahagian perakaunan. Di sampingnya, Suhaila setia menemani. Manakala, Encik Zaidi pula sedang memberi penerangan serba sedikit tentang fungsi bahagian itu. Baihaqi tekun mendengar.
            “Jumlah staff di bahagian ini ialah 5 orang termasuk saya sendiri.Yang ini…” Encik Zaidi memperkenalkan pekerjanya satu persatu. “Ini Aniza dan Sharifah Suria. Mereka berdua kerani akaun.” Niza  dan Sharifah mengangguk kepala. Kedua-duanya mempamerkan senyuman yang paling manis terhadap Baihaqi. CEO mereka ini memang sangat kacak. Boleh mengingau dibuatnya.
            “Ini Syakir, pembantu am pejabat.” Baihaqi mendekati dan bersalam dengan mereka semua. “dan lagi seorang…” Encik Zaidi terdiam seketika apabila melihat meja Rania yang kosong. Mana pulak perginya gadis itu?
Baru sahaja Encik Zaidi mahu bertanya tentang Rania, gadis itu tiba-tiba muncul. Langkahnya terhenti di belakang Baihaqi apabila menyedari ada orang lain di dalam jabatan itu. Dia tidak tahu ada orang akan melawat jabatan mereka hari ini. Sudahlah dia berada dalam keadaan agak kurang selesa. Encik Zaidi tersenyum melihat Rania.
            “Dan, ini Rania Nafisa pembantu saya. Rania, ini CEO baru kita, Tuan Baihaqi Arasy,” kata Encik Zaidi memperkenalkan tetamu mereka. Baihaqi pula pantas menoleh apabila nama Rania disebut. Terkedu dia melihat insan yang dinanti selama ini berdiri di depan mata. Dia benar-benar tidak percaya.
            “Rania…” seakan berbisik bibirnya menyebut nama gadis itu.
            Rania juga tergamam melihat Baihaqi. Detak jantungnya mula terpalu tidak sekata. Darah terasa menyerbu ke kepala. Rania memegang kepalanya yang mula terasa pening. Dunia pula seakan berpusing. Akhirnya, Rania rebah tidak sedarkan diri.

No comments:

Post a Comment