Baihaqi dan Ian Rafiq mengambil tempat di satu sudut Restoran Nasi Kandar Pelita. Orang ramai kelihatan memenuhi segenap ruang restoran itu. Mungkin ada perlawanan bola sepak yang akan berlangsung pada malam itu.
Baihaqi memeluk tubuh yang kesejukan. Hujan lebat yang turun sejak tadi membuatkan cuaca malam itu menjadi dingin.
Seorang pelayan datang mengambil pesanan mereka. Baihaqi dan Ian Rafiq sekadar memesan minuman untuk menghilangkan dahaga. Mereka memang selalu melepak di restoran mamak atau sering dipanggil ‘Mapley’ oleh kebanyakkan orang jika ada masa terluang.
“Ramai orang malam ni. Ada bola ke?” soal Baihaqi. Kepalanya tertinjau-tinjau ke arah peti televisyen dalam restoran itu. Mana tahu pasukan kegemaran dia yang bermain.
“Kalau tak silap aku. Malam ni Man U lawan Manchester City,” Balas Ian Rafiq.
“Hmm...bukan team aku,” Baihaqi terdiam apabila pelayan datang membawakan pesanan.
“Kau ni Haq, dalam banyak-banyak tempat, mapley ni jugak yang kau bawak aku. Ingatkan dah jadi ahli korporat bolehlah merasa makan dekat restoran 5 bintang.”tingkah Ian Rafiq. Dia menyedut minumannya. Segar terasa bila air mengalir ke tekaknya.
“Aku masuk kerja pun belum lagi, ahli korporat apanya. Lagipun dah cukup baik aku nak belanja kau tau. Harapkan kau nak belanja aku, kucing bertanduk pun belum tentu.”Baihaqi mempertahankan diri.
“Ceh, setakat air pun nak berkira,” tempelak Ian Rafiq. Baihaqi tersengih. Mereka berdua memang sudah biasa begitu. Cakap tidak berlapik. Persahabatan yang di bina sejak belajar di London berlanjutan sehingga kini membuatkan mereka sudah memahami perangai masing-masing. Tidak ada istilah terasa hati yang wujud antara dua sahabat itu.
“Apa punya kawanlah kau, dah seminggu balik baru nak cari aku,” Ian Rafiq meluahkan rasa tidak puas hati.
“Aku sibuk sikitlah,”balas Baihaqi pendek.
“Apa yang sibuk sangat tu? Jadi pengiring adik kau ke sibuk hadiri pertemuan jodoh?” perli Ian Rafiq. Baihaqi mencebik.
“Banyaklah kau punya jodoh,”tukasnya. Namun seketika kemudian dia ketawa. “Pertemuan jodoh? Gila skema ayat kau,” sambungnya kemudian.
“What? Betulkan apa aku kata.” Ian Rafiq mengerut dahi. Salah ke bahasa aku? Baihaqi masih tergelak.
“Tapi kau betul-betul selamatkan aku tadi. Thank’s buddy,” kata Baihaqi kemudian.
“Tahu pun. Itu pun kedekut nak belanja aku,” sela Ian Rafiq. Baihaqi senyum. Fikirannya melayang mengingati peristiwa sebentar tadi. Kalau dia tahu Basheera ada agenda tersendiri dengan memanggilnya ke Mid Valley, tentu dia tidak akan ke situ. Entah sejak bila adiknya itu bekerja sebagai ajen ‘match maker’ pun dia tidak tahu. Yang pasti, bila dia sampai saja di Mid Valley, Basheera sengaja membiarkan Baihaqi bersama Dahlia, kawannya sementara dia pula menghilang entah ke mana. Kononnya ada hal kecemasan.
Baihaqi mati kutu. Dia memang tidak suka keluar dengan perempuan yang tidak dikenalinya. Apatah lagi untuk tujuan suai kenal seperti ini. Sudahlah perangai Dahlia yang sering merenungnya terasa sangat merimaskan.
‘Manalah kau dah tersangkut ni, Haq. Sheera siap kau. Balik nanti, abang kerjakan kau,’ Baihaqi bermonolog di dalam hati. Di sebelahnya Dahlia sedang senyum malu-malu. Dari tadi, sepatah di tanya sepatah dijawab gadis itu. Aduh! Baihaqi betul-betul semak dengan situasi ini.
Senyuman meleret di bibir Baihaqi apabila dia ternampak Ian Rafiq sedang berjalan melintasinya. Dia mula mendapat idea untuk melepaskan diri dari terus menemani Dahlia.
“Dahlia, tak lapar ke?” soal Baihaqi. Gadis itu mengangguk.
“ Lapar,” jawab Dahlia.
“Kita makan dulu ya?” Baihaqi pura-pura mesra.
“Boleh,” sepatah lagi Dahlia menjawab. Baihaqi sudah mula pening dengan Dahlia.
“Kita makan dekat Mc Donald nak tak?” Baihaqi memberi cadangan. Dia sudah tidak mahu berlengah lagi. Dahlia mengangguk setuju.
Ketika Dahlia membeli makanan di kaunter, Baihaqi terus menghubungi Ian Rafiq.
“Tolong aku Ian. Entah dekat mana aku dah tersangkut ni,” kata Baihaqi.
“Amboi! salam tak bagi, tiba-tiba mintak tolong. Apa kena dengan kau ni Haq?” soal Ian Rafiq.
“Kau dekat Mid Valley kan?” Baihaqi menjawab dengan soalan juga.
“Yalah, tapi macam mana kau tahu ni?”
“Aku perlukan pertolongan kau ni. Sekarang ni aku pun ada dekat Mid Valley. Tengah lepak dekat Mc D tingkat 3. Adik aku la pandai-pandai match maker aku dengan kawan dia. Aku nak lepaskan diri ni. Tolong aku Ian” terang Baihaqi. Sesekali dia menjeling ke arah Dahlia yang masih beratur di kaunter.
“La yeke? Baguslah macam tu. Apahal pulak yang kau nak lepaskan diri ni?” Ian Rafiq masih mahu bersoal jawab sedangkan Baihaqi sudah seperti cacing kepanasan.
“Hish, tak naklah aku. Kau nak tolong ke tak nak ni? Aku dah malas nak duduk sini. Nak tinggal aku kasihan pula,” kata Baihaqi.
“Pulak. Tak apalah, lagi 5 minit aku datang,” kata-kata Ian Rafiq melegakan hati Baihaqi. Ketika Ian Rafiq sampai, Dahlia sedang menjamu selera. Seperti biasa, gadis itu makan dengan malu-malu. Tertekan Baihaqi dibuatnya.
“Lu kat sini rupanya! gua mau lu ikut gua. Gua ada benda nak setel dengan lu!,” tak ubah seperti gangster, Ian Rafiq menarik kolar baju Baihaqi. Tersentak mereka seketika. Dahlia yang melihat adegan itutelan liur. Apa yang sedang terjadi antara mereka? Macam hal gangster saja. Dahlia mula berasa takut. Dengan siapa aku keluar ni? Dia mula kalut.
“Apahal ni? Mana kau nak bawak aku?” Baihaqi mengikut rentak Ian Rafiq yang sedang berlakon. Ekor matanya menjeling wajah Dahlia yang kelihatan pucat. Tahu takut, bisik hatinya.
“Lu jangan banyak cakap. Lu nak ikut gua atau lu nak gua selesaikan lu dekat sini? Dengan awek lu ni sekali gua kerjakan,” Ian Rafiq menekan suaranya supaya kedengaran ganas. Padahal dalam hatinya sudah ketawa besar.
“Tak, saya… bu…bukan awek dia. Saya…tak ada kena mengena pun dengan dia. Jangan apa-apakan saya,”Dahlia menjawab tergagap-gagap. Baihaqi memandang Dahlia. Gadis untuk menunduk. Dia boleh bercakap lebih dari sepatah rupanya. Dah tu boleh pulak pura-pura tak kenal aku. Ish! Memang tak boleh buat bini betul, Baihaqi geleng kepala.
“Dahlia, sampai hati awak cakap macam tu. Kan awak suruh saya temankan awak, nak berkenalan dengan lebih dekat?” Baihaqi pura-pura sedih.
“Tak…tak saya tak kenal pun dia,” Dahlia masih menafikan kata-kata Baihaqi.
“Apa tunggu lagi! lu nak gua buat kecoh kat sini ke?” Ian Rafiq masih memainkan peranannya.
“Baik, aku ikut kau.” Baihaqi kemudian memandang ke arah Dahlia dengan wajah sayu “Selamat tinggal Dahlia,” ucapnya sebelum melangkah sementara Ian Rafiq sengaja menayang muka bengisnya kea rah Dahlia. Terkulat-kulat gadis itu dibuatnya.
“Haq, kau dah ke mana ni?” Ian Rafiq melayang-layangkan tangannya di depan Baihaqi yang mengelamun. Penat dia bercakap seorang diri dari tadi. “Dah sampai planet marikh ke?” sindir Ian Rafiq.
“Apa dia?” Tanya Baihaqi yang baru tersedar dari lamunannya.
“Apa hal la dengan kau ni Haq? Penat aje aku bercakap dari tadi. Kau tak dengar pun aku cakap. Sia-sia air liur aku.” Ian Rafiq membebel.
“Bukan aku tak dengarlah,” tukas Baihaqi.
“Habis tu?”Ian Rafiq angkat kening.
“Tak perasan aje,” Baihaqi ketawa. Ian Rafiq menggeleng kepalanya.
“Kau teringat perempuan tadi ke? cantik juga kawan adik kau tu. Kenapa kau tak nak?” Soal Ian Rafiq kemudian.
“Kau tak tengok ke tadi? Baru je aku kena susah sikit, terus kata tak kenal. Macam tu ke nak buat bini?” Baihaqi menyedut minumannya.
“Habis tu perempuan macam mana kau nak cari?” soalan Ian Rafiq tidak dijawab Baihaqi. Dia hanya tersenyum. “Atau kau masih menunggu kekasih zaman remaja kau tu?” teka Ian Rafiq. Dia memang mengetahui kisah cinta Baihaqi dengan gadis di kampungnya. Cuma apa nama gadis itu, tidak diketahuinya. Sengaja Baihaqi rahsiakan. Ian Rafiq juga tidak ambil pusing. Baginya, kisah Baihaqi itu hanya sekadar cinta monyet yang akan dilupakan suatu masa nanti.
Baihaqi melepaskan keluhan. Dia memeluk tubuh.
“Mungkin,” jawabnya sepatah. Jawapan Baihaqi menarik perhatian Ian Rafiq. Dia membetulkan posisi duduknya yang sejak tadi bersandar malas di kerusi.
“Kau biar betul Haq? Dah dekat sepuluh tahun kau tak jumpa dia. Tak akan kau masih harapkan dia?” balas Ian Rafiq.
“Entahlah Ian. Kadang-kadang aku rasa aku patut lepaskan semua kenangan antara aku dan dia. Biarkan dia hilang dari ingatan aku. Tapi, aku tak boleh…aku tak boleh nak tipu yang dia sentiasa ada di hati aku.” Baihaqi menepuk dadanya.
“Kau tak terfikir ke kemungkinan dia dah kahwin, dah ada anak. Sia-sia aje penantian kau. Lagipun, mana kau nak cari dia? Maaf kalau kata-kata aku menyakitkan hati kau, tapi aku rasa penantian kau ni satu benda yang mustahil,” Ian Rafiq meluahkan perasaannya. Dia tidak mahu Baihaqi terus menunggu sesuatu yang tidak pasti dan belum tentu membahagiakan.
“Aku sedar semua tu. Tapi, setiap kali aku terfikir hakikat yang dia mungkin sudah jadi isteri orang, setiap kali itu juga aku dapat rasa seperti mana aku, dia juga sedang menanti masa untuk kami bertemu.” Kata Baihaqi. Dia memang tidak pernah bercerita soal ini dengan sesiapa kecuali Ian Rafiq. Hanya Ian Rafiq yang memahami perasaanya.
“Macam mana kalau hasilnya tak seperti apa yang kau harapkan? Aku tak mahu kau kecewa Haq” Baihaqi tersenyum. Ian Rafiq memang sahabat yang prihatin.
“Aku tak mahu fikirkan perkara yang negatif. Biarlah, masa aje yang yang tentukan,” Mereka berdua terdiam. Suasana hening seketika. “Kau pula macam mana? Tak akan tak terfikir nak kahwin lagi?” giliran Baihaqi pula bersoal jawab. Ian Rafiq yang sedang menyedut minumannya tersedak.
“Kenapa kau tanya soalan ni masa aku tengah minum? Aduh, sakit tekak aku,” Ian Rafiq menyapu tekaknya. Perit!
Baihaqi angkat bahu. “Salah ke?” katanya selamba.
“Tak salah. Tapi soalan tu sensitif tau. Pantang betul aku kalau orang tanya pasal kahwin ni,” Balas Ian Rafiq.
“Apa masalahnya? Hidup kau tu dah stabil. Kerja ada, siap ada studio sendiri. Kewangan pun okay. Dah elok sangat kalau kau nak settled down pun,” Baihaqi meluahkan pandangannya. Sesekali kepalanya tertinjau-tinjau televisyen apabila orang ramai bersorak.
“Hish, malaslah aku nak fikir pasal kahwin ni dulu. Banyak lagi benda yang aku nak capai dalam hidup aku,” ujar Ian Rafiq.
“Macamlah kau tak boleh capai semua tu bila kau dah kahwin,” kata Baihaqi.
“Memanglah, tapi pintu hati aku ni belum terbuka lagi. Mungkin sebab aku belum jumpa lagi perempuan yang boleh dijadikan calon isteri,” terang Ian Rafiq namun seketika senyuman bergayutan di bibirnya. Mindanya terlakar wajah gadis yang berlanggar dengannya sebentar tadi. “Atau mungkin juga aku dah jumpa,” bisiknya perlahan.
“Apa dia? aku tak dengar,” Tanya Baihaqi. Pekik sorak suara orang ramai menenggelamkan suara Ian Rafiq.
“Tak ada apa-apa” kata Ian Rafiq. Baihaqi mengangkat bahu.
Rania merenung wajah Misha yang masam. Sahabatnya itu masih bengang dengan kejadian tadi. Misha langsung tidak mahu bercakap dengan Rania.
“Misha, aku minta maaf sangat-sangat. Bukan aku sengaja nak ajak kau balik, tapi aku memang ada hal penting yang nak kena selesaikan tadi,” pujuk Rania. Misha masih membatu. Dia mengeringkan rambutnya yang basah dek terkena hujan sebentar tadi. Sakit hatinya mengenangkan perangai Rania tadi masih belum hilang. Sudahlah filem yang ditunggu-tunggu tidak dapat ditonton, basah kuyup pula terkana hujan. Puas juga disabarkan hatinya.
Terkejut juga dia apabila Rania tiba-tiba mengajaknya balik sedangkan ketika itu dia sudah berada di depan kaunter untuk membeli tiket. Lama juga dia dan Rania bersoal jawab sehingga pekerja kaunter itu menegur mereka supaya tidak melengahkan masa. Renungan orang ramai yang sedang beratur di belakang juga akhirnya menyebabkan mereka keluar barisan. Sedih benar dia tidak dapat menonton filem ‘Aku Bukan Tomboy. Sudahlah dia peminat Shaheizy Sam.
“Misha, please. I’m sorry. Truly sorry,” Rania masih terus memujuk. Misha meletakkan tualanya ke riba. Dia menghadap Rania.
“Cuba kau cakap dengan aku apa benda yang penting sangat sampai kau tak menyempat-nyempat nak balik rumah? Sampai tak boleh tunggu seminit pun. Cuba kau cerita dekat aku. Aku nak tahu!” tegas Misha. Geram dia apabila soalan dia dari tadi tidak berjawab. Kalau sekadar tidak dapat menonton wayang, dia masih boleh bersabar lagi tapi bila Rania memaksanya meredah hujan lebat untuk balik ke rumah, dia memang panas hati. Teman serumahnya ini tidak sedarkah yang dia cuma menunggang motor skuter Ego? bukan memandu kereta yang ada bumbung. Akibatnya mereka berdua basah kuyup sampai di rumah.
“Aku…aku,” tersekat-sekat Rania bersuara. Dia tidak tahu bagaimana mahu menerangkan perkara sebenarnya. Dia sedar dia telah menyusahkan Misha. Bukan dia tidak tahu berbahaya menunggang motosikal dalam keadaan hujan lebat. Tetapi dia tetap berdegil untuk pergi dari situ walaupun puas dipujuk Misha agar menunggu sehingga hujan reda sedikit.
“Aku, aku…aku apa?” bentak Misha. Rania terdiam. “Kau tahu tak Nia, kalau setakat tak boleh tengok Shaheizy Sam tu aku boleh tahan lagi tau. Tapi, bila hujan yang lebat gila tu pun kau ajak aku redah memang aku dah hilang sabar. Kau tahu tak betapa bahayanya bawa motor tengah petir yang memancar-mancar tu?” sambungnya.
“Tahu,” Rania menjawab sepatah.
“Tahu, tapi kenapa kau nak redah juga?” soal Misha lagi.
“Aku ada hal tadi. Aku terpaksa ajak kau. Maaflah Misha,” terang Rania. Wajahnya keruh.
“Tengok tu. Dari tadi aku tanya hal apa, tapi kau tak nak jawab. Ikut suka kaulah Nia.” Misha kembali mengeringkan rambutnya. Malas dia mahu berbicara lagi.
Rania menarik nafas. Dia sepatutnya bercerita dengan Misha hal sebenar. Sekurang-kurangnya Misha lebih memahami kenapa dia bertindak begitu.
“Tadi…aku namapak Haq,” kata Rania akhirnya. Tangan Misha terhenti. Dia berpaling ke arah Rania. Gadis itu menunduk.
“Maksud kau Baihaqi?” Misha meminta kepastian. Rania mengangguk. “Kau pasti ke itu dia? Kau jumpa dia dekat mana? Dia nampak kau tak?” Bertubi-tubi soalan Misha. Rania memang ada bercerita tentang Baihaqi kepada Misha.
“Aku nampak dia dekat McD. Mujur dia tak perasan aku,” jawab Rania perlahan. Dia masih mengingati Baihaqi. Sungguh dia rindu untuk terus menatap wajah itu. Hatinya mula terasa sebak.
“Sebab tu kau beriya-iya ajak aku balik? Hanya kerana tak nak jumpa Baihaqi?” sekali lagi Rania mengangguk. “Tapi kenapa? Bukan kau memang nak jumpa dia ke? kau tak rindu dekat dia?”seperti tadi, berdas-das soalan keluar dari mulut Misha.
“Memang aku nak jumpa dia. Tapi, aku tak boleh Misha. Tak boleh,” air mata mula mengalir di pipi Rania. Misha memeluk bahu Rania. Dia mahu menenangkan Rania yang sedang gundah. “Aku hampir-hampir terlupa janji aku pada Soffiya. Aku kena pegang pada janji pada dia, Misha. Sekalipun hati aku meronta-ronta mahu bertemu Haq, aku tetap kena jauhkan diri dari dia, sampai bila-bila,” ujar Rania lagi. Mengingatkan janji antara dia dan Soffiya hanya mengundang pedih di hati. Misha menyapu belakang Rania. Dia tidak mahu sahabatnya itu terus bersedih.
“Siapa Soffiya sampai macam ni sekali kau berkorban untuk dia. Apa yang dia dah buat pada kau?” Misha meluahkan perasaan tidak puas hatinya. Kadangkala dia tidak faham mengapa Rania sanggup mengenepikan perasaannya sendiri semata-mata kerana perempuan yang bernama Soffiya ini.
“Kau tak akan faham Misha. Cukuplah, kau tahu aku terikat dengan janji pada dia dan aku tak boleh memungkiri janji tu,” Rania menyapu air mata yang tidak henti mengalir dari tadi. Pertemuan dengan Baihaqi hanya menyemarakkan perasaan yang sekian lama ingin dipadamkannya.Dia benar-benar letih.
Misha melepaskan nafas panjang. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya. Cukup setakat itu dia mendengar kisah Rania. Dia tidak mahu memaksa Rania untuk bercerita lagi. Jiwa gadis itu masih terlalu rapuh jika kisah cintanya diungkit. Dari sinar matanya Misha boleh meneka betapa dalam cinta Rania terhadap Baihaqi walaupun sudah hampir 10 tahun kisah itu berlalu.
Tetapi acapkali nama Soffiya terlintas di telinganya, pelbagai persoalan menerpa di ruang minda. Siapa Soffiya? Apa yang sudah dilakukan gadis itu kepada Rania? Kenapa Rania sanggup berkorban demi Soffiya? Apa pula kaitan Soffiya dengan Baihaqi? Misha memang tidak mampu memahaminya.
“Rania,” panggil Misha. Rania memandang wajah Misha. “Kau selalu cakap kau tak boleh mungkir janji dengan Soffiya tapi macam mana pula dengan janji kau pada Haq” Rania tergamam mendengar soalan Misha. Tiada jawapan yang diberikan. Rania akhirnya mengeluh berat.

No comments:
Post a Comment