BAIHAQI meneguk air mineral yang dibelinya. Peluh ternyata membasahi wajah dan badannya setelah bermain futsal sebentar tadi. Baihaqi kemudian duduk bersandar di kerusi untuk membuang lelah setelah hamper setengah jam beraksi digelanggang futsal.
Dia melemparkan pandangan ke tengah gelanggang. Ian Rafiq sedang beraksi menunjukkan skill bermain bolanya. Seronok benar sahabatnya itu. Tidak sepertinya. Baihaqi melepaskan keluhan kasar. Dadanya terasa sesak. Sesak dengan hal berkaitan Rania. Hatinya rasa terguris dan pedih bila mengingati kata-kata Rania tempoh hari.
“Saya hargai perasaan awak pada saya. Saya pun kadang-kadang ingat jugak kenangan lama tu tapi bagi saya semua tu cuma cinta monyet. Cinta zaman sekolah. Saya harap awak faham,”
Baihaqi seakan tidak percaya dengan ayat yang singgah di telinganya. Susah benar dia hendak menerima kenyataan bahawa Rania sudah melupakan dirinya, melupakan segala janji yang telah mereka bina 10 tahun dahulu. Kala ini, Baihaqi rasa menyesal pula kerana membiarkan kenangan ini menggenggamnya sekian lama. Sekarang yang menanggung rasa perit adalah dia.
Mungkin benar seperti kata Rania, cinta yang digenggamnya hanyalah sekadar cinta monyet. Cinta yang akan hilang apabila mereka meningkat dewasa. Seiring usia yang kian bertambah, auranya akan semakin pudar. Tapi, bagaimana pula dengan beban perasaan yang ditanggungnya sekian lama? Rasa hatinya terhadap Rania tidak pernah pudar. Malah semakin kuat walaupun mereka berpisah untuk jangka masa yang lama.
Tidak! Perasaan yang wujud di hatinya bukan sekadar cinta monyet. Dia benar-benar kasihkan Rania. Sejak pertama kali mereka bersua muka di perpustakaan sekolah dulu, hatinya telah bersama Rania dan sejak itu telah disimpan kemas dalam sanubarinya, Rania akan tetap jadi miliknya. Dia tidak akan pernah melepaskan gadis itu kepada sesiapa. Apatah lagi Rania sendiri berjanji akan menunggunya tidak kira berapa lama pun.
Tapi sekarang bagaimana? Rania telah menolaknya dengan begitu mudah. Dia sudah berubah hati. Semuanya hancur begitu sahaja. Dan, dia harus menerimanya walaupun sakitnya hanya Allah yang tahu. Siapa dia untuk memaksa Rania kembali bersamanya?
‘10 tahun Haq. Apa yang kau harap dari Rania? Kau ingat dia nak tunggu kau selama itu? Dia pun ada hidup sendiri. Lepaskan dia Haq,’ kata hati Baihaqi berbisik. Baihaqi melepaskan nafas berat. Dia menekur lantai. Lengannya diletakkan di atas lutut.
Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya sekarang. Bagaimana caranya dia dapat membuang Rania dari hatinya sedangkan selama ini gadis itu sudah begitu sebati dalam kehidupannya. Rania sebahagian dari hidupnya. Menyingkirkan bayangannya pun payah apatah lagi menghilangkan terus ingatan terhadap gadis itu. Baihaqi benar-benar berasa dirinya tidak lengkap tanpa Rania.
Sedang dia berfikir sendirian, Baihaqi terasa bahunya ditepuk.
“Kenapa ni Haq? muka macam orang mati bini aje? Ada masalah ke?” Ian Rafiq sudah mengambil tempat di sisi Baihaqi. Tuala kecil di capai dan peluh di mukanya dikesat.
“Tak ada apalah. Aku okay aje.” Baihaqi cuba beralasan.
“Tak payahlah kau nak temberang dengan aku, bro. Aku bukan kenal kau sehari dua. Dah bertahun pun. Kalau dah muka macam cekodok basi ni, tak lain mesti ada masalah. Ceritalah kat aku bro,” balas Ian Rafiq sambil meneguk air. Baihaqi senyum hambar. Ian Rafiq memang bijak meneka. Ah! Bukan Ian Rafiq saja, kalau orang lain tengok muka dia pun, pasti mereka boleh tahu dia ada masalah. Ketara sangat.
“Kau ingatkan kekasih zaman remaja yang aku cerita kat kau dulu?” soal Baihaqi. Ian Rafiq mengangguk. “Aku dah jumpa dia, Ian” sambungnya kemudian. Mata Ian Rafiq terbeliak.
“Serius?” Baihaqi mengangguk mendengar soalan Ian Rafiq yang seolah-olah tidak percaya. “Wah, kawan aku dah jumpa soulmate dia. Congrates bro.” Ian Rafiq menepuk-nepuk bahu Baihaqi. Tetapi, dia yang berdiri akibat teruja tadi duduk semula apabila melihat Baihaqi langsung tidak bereaksi.
“Kenapa kau ni? Sepatutnya kau happy dapat jumpa kekasih hati yang terpisah. Ini monyok aje. Apa masalahnya?” Ian Rafiq pelik. “Dia dah kahwin ye?” tekanya pula.
“She’s single.” Balas Baihaqi pendek.
“Then?” Ian Rafiq garu kepala. Baihaqi ni suka bagi orang tertanya-tanya. Cuba cerita betul-betul. Baihaqi berdiri menghadap Ian Rafiq. Nafas di tarik dalam-dalam.
“Dia dah tak ada perasaan pada aku, Ian. Hati dia dah berubah. Bagi dia semuanya hanya cinta monyet aje. Pedih betul hati aku ni. Macam di siat-siat,” luah Baihaqi. Ian Rafiq terkelip-kelip memandang Baihaqi. “Aku tak tahu apa nak buat sekarang Ian. Selama 10 tahun, aku menyimpan harapan untuk bertemu dan bersama dia kembali, tapi aku tak tahu akan jadi macam ni,” keluh Baihaqi lagi. Ian Rafiq masih terdiam. Dia mencari-cari ayat yang sesuai untuk dikatakan kepada Baihaqi yang kelihatan seperti lelaki putus harapan.
“Dari dulu lagi, aku dah nasihatkan kau. Jangan terlalu berharap sebab macam-macam boleh terjadi. 10 tahun tu bukan sekejap. Hati manusia pun boleh berubah dalam tempoh tu,” ujar Ian Rafiq. Baihaqi meraup mukanya. Dia tahu, kata-kata Ian Rafiq ada benarnya. Bukan dia tidak pernah cuba melupakan segala harapannya terhadap Rania, tetapi ada satu keyakinan yang terpahat di sudut hatinya. Rania akan kembali dan mereka akan tetap bersama. Sekarang apa dah jadi dengan keyakinan itu?
“Aku tahu Ian. Bukan aku tak cuba, tapi masalahnya aku tak boleh. Naluri aku selalu menyakinkan aku satu hari nanti aku dan dia akan bersama,”terang Baihaqi.
“Sekarang ni apa naluri kau kata?” soal Ian Rafiq seakan-akan memerli. Baihaqi hanya terdiam. Ian Rafiq menggeleng. Bukan dia tidak kasihan dengan Baihaqi, tetapi dia sendiri tidak tahu apa cara yang boleh dilakukannya untuk menolong sahabatnya itu. Dia bangun dan berdiri di sebelah Baihaqi. “Don’t be like this. You look like a…” Ian Rafiq tidak jadi menyambung ayatnya bila Baihaqi lebih dulu memotong.
“What? A loser?” Baihaqi angkat kening. Ian Rafiq tersengih.
“Kau kena lupakan dia. Tak akan kau nak terus hidup dengan kenangan dia. You should have you own life,” Ian Rafiq cuba memberi dorongan.
“Aku tahu, Ian. Tapi, macam mana aku nak lupakan dia kalau hari-hari aku akan terjumpa dengan dia di Sutera Holding? Makin aku tengok dia makin kuat rasa sayang aku pada dia,” bergetar suara Baihaqi.
“Apa pulak dia buat dekat syarikat kau tu?” Ian Rafiq menyoal.
“Aku lupa nak cakap, dia staff dekat Sutera Holding. Dekat sanalah aku jumpa dia. Masa tu hari pertama aku masuk kerja,” terang Baihaqi. Ian Rafiq mengangguk-angguk tetapi tidak lama kemudian senyuman nakal mula bergayutan di bibirnya. Baihaqi pelik melihat Ian Rafiq tesenyum semacam. “Apahal kau ni?”
“Dia staff Sutera Holding?” Baihaqi angguk. “Single lagi?” Baihaqi angguk. Dia memang pasti akan hal itu kerana Misha pernah memberitahunya. Ian Rafiq senyum lagi.
“Senyum, senyum. Apa yang kau fikirkan ni?” marah Baihaqi.
“Macam manalah kau boleh jadi CEO. Benda simple macam ni pun tak boleh fikir,” gerutu Ian Rafiq. Baihaqi mencebik. “You still have your chance, bro. Just go and grab it. Kalau kau tak boleh lupakan dia, kau buatlah sampai dia jadi milik kau,” sambung Ian Rafiq. Baihaqi pada mulanya tidak dapat menangkap maksud Ian Rafiq. Tapi, apabila dia mula memahami, senyum manis mula menghiasi wajahnya yang sugul sejak dari tadi.
“Untuk sekali ini, aku rasa naluri kau benar Haq. Mungkin Allah sengaja meletakkan dia dekat Sutera Holding supaya kau dan dia dapat bersatu semula. Sekarang, terserah pada kau bagaimana untuk merealisasikannya,” ujar Ian Rafiq penuh bermakna.
“Thanks Bro atas nasihat kau. Aku pasti tak akan mengaku kalah. InsyaAllah, dia akan jadi milik aku satu hari nanti.” Baihaqi berkata penuh keyakinan. Dia benar-benar berharap esok akan terbit sinar baru dalam hidupnya.
MISHA sedang berdiri di balkoni. Dahinya berkerut-kerut seperti sedang memikirkan sesuatu. Sesekali dia mencongak dengan jejari tangannya. Rania yang baru selesai memasak spaghetti, memandang Misha pelik. Apa pulak yang perempuan ni buat.
Dua pinggan berisi spaghetti diletakkan di atas meja kopi. Sambil makan sambil melayan televisyen. Seketika kemudian dia masuk semula ke dapur dan mengambil dua gelas berisi air.
“Misha, mari makan,” panggil Rania. Misha yang sedang khusyuk mengira, tersengih. Pantas kaki di orak ke ruang tamu. “ Apa kau buat kat balkoni tu? Apa yang kau kira? Aku tengok tak cukup jari tangan, dengan jari kaki kau masuk sekali,” usik Rania. Misha menjeling.
“Mana ada jari kaki. Pandai-pandai je kau,” tukas Misha. Rania ketawa. “Aku tengah fikir ni. Patut atau tak aku jual skuter aku tu,” Terang Misha. Dia mencapai garpu lalu dililit spaghetti sebelum dimasukkan ke mulut. Emm, sedap.
“Jual skuter? Kenapa pulak tiba-tiba nak jual. Nanti kau nak naik apa pergi kerja?” soal Rania.
“Aku rasa aku nak pakai kereta la. Senang sikit kalau hujan. Tak kena hujan. Tak adalah orang demam,” perli Misha. Rania menjeling. Lengan Misha dicubit. “Adoi, sakitlah. Tercekik aku ni nanti,”
“Perlilah aku lagi,” kata Rania. Sesudu spaghetti dimasukkan ke dalam mulut. Matanya terarah ke televisyen yang sedang menayangkan cerita korea ‘My Girfriend Gumiho’. Rania memang meminati drama ini. Kena pula hero kegemaran dia di Lee Seung Gie berlakon, tak adanya dia tengok cerita lain.
“Tahulah hero dia berlakon, aku bercakap ni boleh dia buat tak layan,” Misha mencebik. Apalah yang best sangat dengan Lee Seung Gie ni, tak faham aku!
“Kau cakap dengan aku ye?” Tanya Rania. Dia tidak perasan Misha berbual dengannya kerana terlalu memberi tumpuan pada cerita di televisyen.
“Tak adalah. Aku cakap dengan kerusi depan aku ni,” balas Misha. Sekali lagi Rania menjelingnya. “Mestilah aku cakap dengan kau. Kau kalau dah tengok hero kau tu, bom jatuh pun kau tak dengar,” sambung Misha.
“Alah, sorry ye Misha. Kau macam tak faham pulak perangai aku. Apa kau cakap tadi?” Tanya Rania. Misha menolak pinggan spaghetti yang sudah licin ke tengah meja.
“Aku tanya, pada pendapat kau, patut tak aku jual skuter aku tu dan beli kereta?” ulang Misha. Rania berfikir sejenak.
“Terserahlah dekat kau. Dari dulu lagi aku suruh kau beli kereta, tapi kau degil. Bukan kau tak mampu. Kata minat habis dengan skuter. Sekarang ni sibuk pulak nak jual. Tapi, bukan kau sayang ke skuter kau tu?” soal Rania semula.
“Memanglah sayang, tapi aku rasa ada masa-masa tertentu skuter tu tak berguna pun. Contohnya, masa dekat Mid Valley hari tu. Alah, time kau meroyan nak balik cepat tu. Terpaksa redah hujan petir semua. Habis kita basah kuyup,” Misha tersengih apabila Rania sekali lagi menjelingnya. “Okay, seriously aku rasa lebih praktikal pakai kereta. Kita tak payahlah harapkan orang lain lagi kalau urgent nak guna kereta. Tengok macam hari tu. Harap dekat abang Alif, last minute cancel. Bengong punya boyfriend. Terpaksa pulak tumpang si Haq,” panjang lebar dia menerangkan.
“Kau yang nak tumpang. Boleh aje nak naik teksi,” tukas Rania. Dia rasa lain macam bila nama Baihaqi di sebut.
“Bukan aku saja-saja nak tumpang, tapi aku fikirkan kesihatan kau. Dengan keadaan kau yang lemah, aku rasa lebih baik kalau kita balik dengan dia aje. Ingat senang nak tunggu teksi?” Misha cuba menjelaskan sebab dia bertindak begitu. Bukan saja-saja tahu, walaupun dia memang nak bagi peluang Baihaqi mendekati Rania. Tapi, lain pula jadinya.
“Aku dah sihatlah masa tu. Aku tak kisah pun tunggu teksi lama. Asalkan kita tak payah tumpang Haq,” kata Rania. Matanya disorotkan ke kaca televisyen tetapi fikirannya melayang mengingati Baihaqi. Misha bangun dan duduk di sofa sebelah Rania.
“Kenapa kau buat Haq macam tu? Aku tengok dia memang nak dengan kau. Tapi, kau layan dia nak tak nak aje walaupun aku tahu kau memang nak dekat dia,” ulas Misha. Rania diam. Dia sendiri tidak suka dengan perbuatannya pada Baihaqi. Tapi, dia terpaksa.
“Biarlah dia. Aku malas nak peduli. Aku nak lupakan semuanya,” balas Rania. Spghetti yang tinggal sedikit di dalam pinggan dihabiskan.
“Boleh ke kenangan yang kau pegang selama bertahun-tahun dilupakan macam tu aje?” sinis Misha berkata. Kadangkala dia tidak berpuas hati dengan Rania. Entah apa yang sebenarnya dimahukan oleh gadis ini? Sejak bertahun dia mendengar Rania menyebut nama Baihaqi. Kini, bila mereka sudah bertemu, dia mahu melupakan semuanya sedangkan peluang untuk mereka bersama sudah terbuka luas. Apa yang menghalang mereka dari bersama sebenarnya? Soffiya? Misha sendiri tidak tahu apa kena mengenanya Soffiya dalam kisah Rania-Baihaqi. Kalau Soffiya tu isteri Baihaqi, tidak mungkin kerana setahunya semasa dia berbual bersama Baihaqi, lelaki itu ada menyatakan dia masih bujang. Single and available. Jadi, apa kaitan Soffiya dalam hal ini?
“Boleh atau tidak, aku kena cuba. Tak akan selamanya aku nak hidup dalam kenangan?” Rania berkata tegas.
“Kau tak perlu hidup dalam kenangan lagi Nia sebab Haq yang kau tunggu dah ada depan mata. Tutup buku lama dan mulakan saja kisah baru dengan dia.” Misha bangun mengekori Rania apabila gadis itu bangun membawa pinggan kotor ke dapur.
“Tak semudah itu Misha. Kau tak akan faham.” Kalaulah semudah itu, sudah lama dia laungkan yang dia amat mencintai Baihaqi Arasy. Tapi, dia ada sebab kenapa dia perlu menjauhkan diri daripada lelaki yang sekian lama berada di hatinya itu.
“Then, tell me. Make me understand,” pinta Misha. Rania merenung Misha. Dia masih belum bersedia untuk bercerita semuanya.
“Cukuplah kau tahu, aku tak layak untuk mendampinginya. Tak mungkin sampai bila-bila,” Rania berkata perlahan. Dada terasa sebak bila menuturkan ayat itu. Ya, dia tidak layak untuk bersama dengan Baihaqi. Lelaki itu berhak mendapat gadis yang lebih baik darinya.
“Tapi…”
“Cukup Misha. Aku tak nak cakap pasal hal ni lagi. Berikan aku masa. Satu hari nanti, kau akan tahu juga kenapa aku bertindak begini,” Rania kesat air mata yang mula mengalir. Dia tidak mahu menangis lagi. Misha yang menyedari hal itu menarik Rania dalam pelukannya. Dia rasa bersalah pula membangkitkan soal itu.
“Maafkan aku Nia kalau aku buat kau bersedih. Aku tak akan paksa kau. Aku cuma nak kau bahagia. Tak apalah kalau kau tak nak cerita. Aku akan tunggu sampai kau bersedia,” kata Misha cuba menenangkan perasaan Rania.
Pelukan dileraikan. Rania menggangam tangan Misha. Dia tahu Misha berniat baik.
“Aku tahu kau pentingkan kebahagiaan aku. Kau memang sahabat aku dunia akhirat. Bertuah abang Alif dapat kau,” tutur Rania.
“Kau jangan sebut nama dia. Aku nak break dengan dia lepas ni. Serabut aku dengan mamat tu,” garang Misha berkata namun ia hanya mengundang tawa Rania. Akhirnya mereka berdua sama-sama tergelak.

No comments:
Post a Comment