RANIA bersandar di kepala katil. Rasa pening di kepala masih bersisa walaupun panas di badannya semakin menurun. Dia benar-benar tidak menyangka demam biasa boleh membuatkan dia terbaring di dalam wad ini. Rania mendengus. Demamnya memang biasa pada mulanya tetapi selepas melihat wajah CEO barunya sebentar tadi, terus sahaja penyakitnya itu jadi luar biasa.
Ketika tersedar tadi, Rania menyangka dia hanya bermimpi bertemu Baihaqi. Tetapi apabila dia mendapati Baihaqi ada bersamanya, Rania mula sedar yang dia bukan bermimpi. Baihaqi sudah muncul di depan matanya setelah sekian lama. Tambah mengejutkan, Baihaqi adalah anak tuan punya syarikat tempat dia bekerja. Dia tidak tahu apa yang akan dilakukan selepas ini. Bekerja di bawah satu bumbung yang sama dengan orang yang ingin dia jauhkan diri, entah apa yang bakal dia tempuhi.
Rania melepaskan keluhan halus. Dia sukar mempercayai hakikat ini. Fikirnya, dia tidak akan bertemu lelaki itu lagi. Tetapi, jangkaannya meleset sama sekali. Selepas ini dia terpaksa menghadap wajah lelaki itu setiap hari. Walaupun bekerja di tingkat yang berlainan, kemungkinan untuk terserempak tetap ada. Dia tidak tahu reaksi bagaimana yang harus ditunjukkan jika keadaan itu berlaku. Berpura-pura selamba atau bersikap dingin. Rania benar-benar buntu.
Semasa mereka berdua di dalam bilik wad itu sebentar tadi pun, tidak banyak yang dibualkan. Rania benar-benar kekok. Sudahnya, dia hanya menjawab apabila ditanya oleh Baihaqi dan lelaki itu juga akhirnya terdiam apabila menyedari Rania kurang berminat untuk bercakap dengannya. Mungkin juga dia menyangka Rania masih lemah dan tidak mahu terus mengganggu gadis itu berehat. Sebab itu juga dia meminta diri sebentar untuk bersolat Asar di surau hospital itu.
Pintu bilik wad itu tiba-tiba dikuak dari luar. Misha menjengulkan kepalanya. Apabila dia melihat sahaja Rania yang sedang bersandar di kepala katil, terus sahaja gadis itu diterkamnya. Risau betul hatinya apabila mendapat tahu Rania telah dimasukkan ke hospital.
“Ya Allah, Nia! apa dah jadi dengan kau ni? Kenapa sampai boleh masuk hospital ni?” soal Misha yang cemas melihat Rania. Dipegangnya bahu Rania, dirasanya dahi gadis itu. Tidak terlalu panas.
“Aku tak ada apa-apa, Misha. Demam sikit aje,” balas Rania. Misha menggeleng kepalanya. Dia duduk di kerusi sebelah katil pesakit.
“Doktor kata apa?” Tanya Misha lagi.
“Tadi suhu badan aku tinggi tapi sekarang dah makin stabil. Kalau tak ada apa-apa masalah, esok aku dah boleh keluar,”jelas Rania.
“Itulah kau, banyak kali aku nasihat. Pergi klinik, jumpa doktor. Tapi kau degil. Tengok sekarang ni apa dah jadi?” Misha mula membebel. Perasaan risaunya sebentar tadi menyebabkan dia ringan mulut meluahkan kekesalannya. Rania senyum tawar. Dia sendiri kesal dengan sikapnya yang suka sangat mengambil mudah soal kesihatan. Kasihan pula dia melihat Misha yang cemas sebantar tadi. Bukan dia tak tahu Misha memang sahabat yang prihatin. Malah, terlebih prihatin. Kalaulah, Misha tahu sebab dia pengsan sebentar tadi, mesti bertambah-tambah lagi prihatin gadis itu. “Sorry, aku berleter pulak. Kau rasa macam mana sekarang? Sakit kat mana- mana lagi?” Sambung Misha. Rasa bersalah pula dia. Rania sedang sakit dan dia pula sibuk meleteri sahabatnya itu.
“Tak apa aku faham.Kau risaukan aku kan?” Rania membetulkan kedudukannya. “Tapi aku dah makin baik. Kepala aje pening-pening sikit,” kata Rania kemudian. Misha mengangguk. Lega hatinya apabila mendengar kata-kata Rania. Terkejut dia apabila mendapat panggilan dari pejabat Rania sebentar tadi. Sudahlah dia sedang berada di Tanjung Malim bersama ketuanya ketika itu.Mahu tidak mahu, dia terpaksa menunggu urusan ketuanya hingga selesai. Mujur, Encik Razi, ketuanya itu memahami dan berusaha menyelesaikannya secepat mungkin. Yang lebih mengharukan, Encik Razi sudi menghantarnya ke hospital ini walaupun terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya sebentar tadi.
“Lega hati aku dengar kau cakap macam tu. Masa ofis kau telefon tadi, aku ada kat Tanjung Malim. Sebab tu lambat sampai sini. Sorry ye,” ujar Misha. Rania mengangguk.
“Hmm, kasihan kau Misha. Susahkan kau aje,” luah Rania pula. Sudah tentu Misha penat mengejar masa untuk ke sini.
“Tak ada hal lah. Kau kan sahabat aku. Kita pun dah macam saudara. Kenalah saling ambil berat. Sekarang ni kau kena banyakkan berehat. Biar cepat baik.” Misha tersenyum.
Pintu wad kedengaran dibuka. Rania dan Misha serentak memandang ke arah itu. Kelihatan Baihaqi sedang masuk ke situ setelah keluar sebentar tadi. Baihaqi juga baru perasan akan kehadiran Misha.
“Assalamualaikum,” ucapnya. Seulas senyuman dilemparkan kepada kedua gadis itu. Misha dan Rania menjawab salam sejahtera itu. Misha kerut kening. Dia seolah-olah pernah melihat lelaki ini tetapi dia tidak ingat di mana. Wajahnya ditala ke arah Rania. Kening diangkat meminta jawapan kepada Rania. Kawannya itu sekadar tersenyum tawar sebelum matanya di hala kearah Baihaqi yang duduk di kerusi yang terletak berhadapan dengan katil pesakit.
“Ini housemate saya, Misha,” Rania memperkenalkan Misha kepada Baihaqi. Lelaki itu mengangguk. “Misha, ini Baihaqi. CEO baru Sutera Holding,” sambung Rania. Mendengar nama Baihaqi di sebut, Misha sekali lagi memandang Rania. Mungkinkah ini Baihaqi yang sering diceritakan oleh Rania. Tapi, macam mana pula dia boleh jadi CEO Sutera Holding? Misha keliru.
“Saya juga kawan lama Rania. Satu sekolah.” Baihaqi pula memberi penjelasan dan kali ini Misha semakin pasti, inilah buah hati Rania yang masih belum dapat dilupakan gadis itu. Tetapi kecelaruan tentang status Baihaqi sebagai CEO Sutera Holding masih belum terjawab.
“Oh.” Itu sahaja yang terkeluar dari mulut Misha. Dia memang kehilangan kata-kata sekarang. Orang yang cuba dijauhi Rania, rupanya sudah menjadi ketuanya. Sungguh kecilnya dunia. “Emm, encik Baihaqi ke yang bawak Rania ke hospital ni?” soal Misha kemudian.
“Tak payahlah berencik-encik dengan saya. Panggil Haq aje,” balas Baihaqi sambil tersenyum. Misha angkat bahu. “Bukan saya, tapi staff yang satu department dengan Nia yang bawak. Masa dia pengsan tadi, memang kecoh juga department akaun tu. Semua cemas betul,” tutur Baihaqi kemudiannya.
“Awak tak cemas?” Misha sengaja menduga. Rania mencuit lengan Misha apabila soalan itu diutarakan. Sengaja nak kenakan orang la tu, bisik Rania di dalam hati.
“Mahu tak cemas. Nia pengsan bila tengok muka saya. Nanti orang kata muka saya bawak penyakit pulak,” Baihaqi berseloroh. Misha ketawa kecil manakala Rania pula ketap bibir.
“Tak akanlah muka awak yang hensem ni bawak penyakit, Haq. Jadi penawar lagi adalah,” Balas Misha pula. Baihaqi tarik senyum. Rania menjeling dengan ekor mata. Perasanlah tu, bisiknya lagi. “Sebenarnya, Nia ni dah 3 hari demam. Saya ada ajak pergi klinik, tapi dia tak nak. Degil ni”sambung Misha. Rania membeliakkan matanya. Suka hati saja kutuk orang!
“Dia ni memang degil dari dulu lagi. Susah nak dengar cakap orang,” kata Baihaqi. Matanya merenung Rania sehingga gadis itu keresahan. Rania pantas menunduk. Apalah renung-renung macam tu.
Misha hanya tersengih melihat gelagat dua manusia itu.
“Haq, saya rasa elok awak balik sekarang. Dah lama awak dekat sini,” kata Rania tiba-tiba. Baihaqi tidak menjawab. Dia memandang Rania.
“Awak tak suka saya dekat sini ke?”soalnya kemudian. Entah mengapa dia merasa Rania kurang selesa dengan kehadirannya. Sepatah ditanya, sepatah juga dijawab. Selepas itu, gadis itu lebih banyak mendiamkan diri.
“Tak adalah. Cuma saya nak berehat. Awak pun dah lama dekat sini. Lagipun hari ni hari pertama awak kerja dekat Sutera Holding. Mesti awak pun letihkan?” jawab Rania. Kalau ikutkan hati mahu saja dia menyuruh Baihaqi duduk di situ menemaninya. Dia mahu melihat wajah Baihaqi, melepaskan segala rasa rindu di hati. Tetapi, dia harus melakukan sesuatu untuk menyingkirkan rasa yang kembali bersemarak. Dia terpaksa!
“Tak adalah. Saya sihat aje. Awak yang saya risaukan.” Ujar Baihaqi. Dia tetap mahu berada di sini menemani Rania.
“Saya tak apa-apa. Tak ada apa yang perlu dirisaukan. Lagipun Misha ada. Dia boleh tolong saya. Awak baliklah berehat,” Balas Rania. Baihaqi terdiam sejenak. Seketika dia mengangguk-angguk. Dia perlu memahami kehendak Rania. Lagipun, gadis itu masih lemah.
“Baiklah.saya balik dulu. Tapi, awak kena jaga diri betul-betul. Kalau ada apa-apa, cepat-cepat beritahu saya tau.” Baihaqi memberi pesanan. Rania sekadar mengangguk.
“Jangan risau, Haq. Kalau ada apa-apa saya dengan pantas akan inform pada awak,” pujuk Misha cuba menceriakan Baihaqi yang nyata kecewa. Baihaqi tersenyum.
“Boleh bagi nombor telefon awak? In case, kalau ada hal apa-apa, boleh saya call,” pinta Baihaqi. Misha memandang Rania. Gadis itu menggeleng, isyarat tidak bersetuju sekiranya Misha memberi nombor telefonnnya kepada Baihaqi. Tetapi, akhirnya Misha tetap memberitahu nombor telefonnya kepada Baihaqi. Itu pun setelah dia memikirkan baik dan buruknya.
“Terima kasih. Saya balik dulu,” kata Baihaqi. Sebelum keluar sekali lagi pandangannnya dilemparkan ke arah Rania yang sengaja memandang ke arah lain. Baihaqi mengeluh halus sebelum meninggalkan wad itu.
“Tak baik kau buat dia macam tu, Nia. Kasihan dia. Apa salahnya kalau dia ada sekat sini pun,” tukas Misha setelah Baihaqi keluar.
“Kau tak faham Misha. Aku tak selesa,” jawab Rania. Dia menarik selimut ke dadanya.
“Tak selesa ke atau kau takut?” soal Misha sinis.
“Takut?” Rania kerut kening.
“Takut cinta kau pada dia berkembang semula?” kata Misha tanpa berselindung.
“Tak adalah,” Rania menafikan walaupun itu adalah hakikat yang sebenarnya.
“Aku kenal kau Rania. Kau tak boleh nak tipu aku tentang perasaan kau tu,” ujar Misha lagi.
“Lain kalilah kita cakap pasal ni. Aku rasa pening. Aku nak rehat kejap,” Rania kembali berbaring. Matanya dipejam. Misha menggeleng. Geram juga dia dengan perangai Rania. Tetapi, dia juga tidak mahu memaksa gadis itu. Biarlah dia berfikir sendiri apa yang terbaik untuk dirinya.
BEG pakaiannya yang sederhana besar itu dikemas dan dizipkan. Barang-barang lain juga sudah dimasukkan ke dalam beg plastik. Rania kemudian duduk di birai katil. Hari ini dia sudah dibenarkan keluar setelah dua hari berada di hospital. Sepatutnya semalam dia sudah dibenarkan keluar tetapi doktor masih mahu memantau kesihatannya. Rania terpaksa akur.
Jam ditangannya direnung. Sudah hampir pukl 5.30. Bayang Misha masih belum kelihatan. Kata Misha, dia dan Alif akan datang menjemputnya di hospital hari ini walaupun Rania menolak mulanya. Dia tidak mahu menyusahakan teman lelaki kawannya itu. Tetapi setelah dipujuk, Rania bersetuju juga.
“Nia. kau dah lama tunggu? Sorrylah, aku lambat. Jalan jammed.” Misha terus duduk di kerusi melepaskan lelah.
“Tak apa. Eh, abang Alif mana?” kepala Rania tecangak-cangak mencari kelibat Alif yang sepatutnya datang bersama Misha.
“Ini yang aku nak beritahu kau ni. Abang Alif ada hal pulak. Entah kena keluar dengan klien mana entah sampai tak boleh tunggu sekejap. Nampaknya kita kena balik naik teksi la, Geram aku dengan perangai dia tu.”Misha mendengus . Sakit hati pula dia dengan Alif yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran itu. Terlalu komited dengan kerjanya sehingga sanggup memungkiri janjinya hari ini.
“Oh. Dia ada hal penting la tu. Janganlah marah dia. Lagipun, aku memang tak kisah naik apa pun. Asalkan dapat balik rumah. Dah naik boring aku duduk dekat hospital ni,” pujuk Rania. Bahu Misha ditepuk perlahan.
“Aku bukan apa. Kalau tak boleh tolong, tak payahlah nak berjanji. Ini last minute, cancel. Angin betul aku. Tak kiralah, aku nak merajuk. Aku mogok tak mahu cakap dengan dia. kau tengoklah.” Misha peluk tubuh. Rania tergelak dengan perangai Misha yang kadangkala agak kebudak-budakan.
“Sudahlah tu. Nak merajuk ke, nak mogok ke, jom balik rumah dulu. Dah lewat ni. Nak tunggu teksi lagi,” ujar Rania.
“Yalah. Jom cepat.” Misha mengambil barang dari tangan Rania. Mereka mula bergerak ke pintu.
“Misha, berapa bill hospital ni? Nanti aku bayar balik.” langkah Misha terhenti.
“Ha? Bill hospital?” Misha garu kepala.
“Yalah, tadi aku nak pergi bayar bill, tapi cashier cakap dah ada orang bayarkan. Aku agak kaulah,” kata Rania. “ Kau yang bayar kan?” soalnya semula. Misha tersengih.
“Err...bukan aku tapi…” Misha tersekat-sekat.
“Eh, dah boleh balik ke?” Baihaqi tiba-tiba muncul di depan mereka. Rania pada mulanya terkejut tetapi apabila melihat Baihaqi, dia mula tahu siapa yang membayar kos hospitalnya.
RANIA tayang muka cemberut. Bunga Mawar yang diberikan oleh Baihaqi diletakkan ke tepi. Pandangannya ditala ke luar tingkap kereta Honda Civic milik Baihaqi itu. Dia sengaja duduk di belakang dan membiarkan Misha duduk di sebelah Baihaqi di bahagian depan. Dia sedang memprotes tindakan Misha yang suka-suka hati menerima pelawan Baihaqi untuk menghantar mereka pulang.
Puas dia memberi isyarat kepada Misha supaya menolak pelawaan tersebut tetapi gadis itu hanya buat tidak tahu. Katanya dia punya alasan tersendiri untuk menerima pelawaan tersebut. Akhirnya, Rania terpaksa juga menurut kehendak Misha.
Sesekali Misha berpusing ke belakang memandang Rania. Dia tersengih melihat Rania menjelingnya tajam. Marahlah tu!
“Dah lama awak berdua tinggal dekat Pantai Dalam tu?” soal Baihaqi. Matanya masih fokus ke arah pemaduan walaupun sesekali dia juga sempat mencuri pandang Rania melalui cermin pandang belakang.
“Emm…tak adalah lama sangat. Baru 7 bulan. Lepas kami berdua tamat belajar, terus kami sewa dekat situ.” jujur Misha menjawab.
“Okay tak tinggal dekat situ?”
“Okaylah jugak. Ada pak guard jaga.”Misha tersenyum. Baihaqi senyum segaris. Dia sebenarnya cuba memancing Rania berbual tetapi gadis itu langsung tidak bersuara. Senyum juga tidak. Baihaqi dapat merasakan Rania seolah-olah tidak suka bertemunya. Gadis itu langsung tidak teruja sepertinya. Tetapi kenapa?
Kereta itu akhirnya memasuki perkarangan Bangunan Vista Angkasa. Rania keluar dari kereta diikuti Misha. Apabila semua barang sudah dikeluarkan, Rania mahu segera berlalu ke rumahnya tetapi cepat-cepat di halang Misha.
“Sekurang-kurangnya ucaplah terima kasih. Dia dah susah payah hantar kita tu,” tegur Misha sambil berbisik. Rania tidak jadi melangkah. Dia memandang wajah Misha yang mengharap. Kemudian pandangannya jatuh pula kepada Baihaqi yang sedang bersandar pada keretanya.
“Terima kasih,”ucapnya sepatah. Dia berkira-kira mahu pergi sahaja dari situ tetapi sekali lagi dia dihalang. Kali ini oleh Baihaqi pula.
“Nia, boleh kita cakap sekejap?” Tanya Baihaqi. Rania berfikir seketika.
“Lain kalilah. Saya penatlah.” Jawabnya kemudian.
“Sekejap aje. Saya tak akan ambil masa lama,” Baihaqi memberi jaminan.
“Err..Nia, aku naik dulu. Haq, terima kasih ye untuk pertolongan awak,” Misha meminta diri. Dia tahu dia tidak diperlukan untuk waktu-waktu begini. Baihaqi dan Rania perlukan ruang.
“Misha, tunggu dulu,” Rania menghalang.
“Kau cakaplah dengan Haq dulu. Tak apa, aku boleh bawak semua barang naik.” Belum sempat Rania membalas, Misha sudah melangkah pergi.
“Ada apa?” soal Rania kemudian.
“Awak cantik, Nia.” kata Baihaqi. Matanya tidak lepas dari merenung wajah Rania.
“Apa?” Rania meminta kepastian untuk meastikan dia tidak salah dengar. Jantungnya memeng sudah berdegup kencang.
“Awak makin cantik sekarang dan saya tak sangka selepas hampir 10 tahun, kita akan berjumpa lagi,” kata Baihaqi. Rania rasa kedua-dua pipinya kebas dengan pujian Baihaqi. Bagaimanapun, dia tetap cuba mengawal dirinya. “Awak tahu walaupun kita dah lama berpisah, saya tak pernah lupakan awak. Saya masih sayangkan awak dan saya terlalu rindukan awak, Nia,” pengakuan itu nyata mencarik-carik hati Rania. Dia terharu mendengar ungkapan Baihaqi. Sepertinya, Baihaqi juga menanggung rasa yang sama. Ya Allah, kalaulah aku juga boleh mengucapkan yang sama padanya., bisik hati Rania.
“Jadi?” Rania cuba mengawal suaranya. Dia sebak sebenarnya.
“Awak tak rindukan saya ke Nia?” soal Baihaqi. Dia kecewa melihat riak wajah Rania yang selamba. Langsung tidak terusik dengan pengakuannya tadi.
“Haq, awak sendiri tahu kita dah berpisah hampir 10 tahun. Dalam tempoh tu, macam-macam boleh jadi. Hati manusia pun boleh berubah.” Balas Rania.
“Maksud awak, hati awak pun dah berubah? Macam tu?” Rania tidak bereaksi. Dia masih cuba berselindung.
“Mungkin jugak. Saya hargai perasaan awak pada saya. Saya pun kadang-kadang ingat jugak kenangan lama tu tapi bagi saya semua tu cuma cinta monyet. Cinta zaman sekolah. Saya harapa awak faham,” Rania pura-pura melihat jam di tangan untuk menyembunyikan perasaan sedihnya. “Dah lewat ni. Baik awak balik dulu. Saya pun nak naik atas. Penat. Terima kasih sekali lagi sebab hantar saya.” sejurus melafazkan ayat itu, Rania terus berpaling dan melangkah laju. Air mata mengalir ke pipi.
“Nia, Nia” Baihaqi memanggil namanya namun Rania langsung tidak mengendahkannya. Dia tidak mahu melihat wajah Baihaqi lagi. Sekurang-kurangnya untuk ketika ini kerana dia tahu sekali lagi dia berpaling dan memandang wajah itu dia pasti tertewas!

No comments:
Post a Comment